AS Kenakan Sekatan Terhadap Perekrut IS Asia Tenggara

Roni Toldanes
2018.08.24
Washington, District of Columbia
180824-MY-ID-IS-treasury-1000.jpg Anggota militan Negara Islam mengibarkan bendera ketika mereka melakukan rondaan dengan sebuah kenderaan tentera Iraq yang dirampas di Fallujah, Iraq, 30 Mac, 2014.
[AP]

KEMASKINI pada 8.45 am waktu tempatan pada 2018-08-25

Amerika Syarikat pada Jumaat mengenakan sekatan terhadap seorang rakyat Malaysia, seorang rakyat Filipina dan seorang rakyat Indonesia dengan mendakwa mereka adalah perekrut kanan bagi Negara Islam (IS), yang muncul dalam video propaganda pada 2016 yang menunjukkan mereka memenggal kepala tiga tawanan.

Jabatan Perbendaharaan AS mengisytiharkan Mohamad Rafi Udin, Mohammed Karim Yusop Faiz dan Mohammad Reza Lahaman Kiram sebagai Pengganas Global Tentuan Khas, dengan mendakwa mereka merekrut pejuang asing untuk berikrar setia kepada pemimpin IS, Abu Bakr al-Baghdadi.

"Perbendaharaan menyasarkan para perekrut ISIS yang terlibat dalam video memenggal kepala itu dan tindakan kejam lain sebagai sebahagian daripada kempen propaganda untuk menarik mereka yang radikal supaya menyertai kumpulan pengganas militan di Asia Tenggara," kata Sigal Mandelker, ketua setiausaha rendah keganasan dan risikan kewangan jabatan itu, yang menggunakan akronim lain bagi IS.

"Sekatan terhadap para pengganas ini kami kenakan bersama-sama dengan PBB dan rakan-rakan antarabangsa sebagai sebahagian daripada usaha bersepadu untuk membendung rangkaian global ISIS yang membolehkan kumpulan itu merekrut pejuang asing untuk melakukan serangan pengganas antarabangsa," kata Mandelker.

Ketetapan itu menghendaki negara-negara anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), antara lain, menghalang perjalanan tiga lelaki itu dan menyekat akses mereka kepada sistem kewangan antarabangsa.

Kenyataan itu nampaknya merujuk kepada video Negara Islam yang dimuat naik pada pertengahan 2016 di mana militan dari ketiga-tiga negara itu, termasuk Udin, mengisytiharkan sokongan kepada militan Filipina, Isnilon Hapilon.

Video itu menunjukkan rakaman pemenggalan kepala pertama oleh ahli-ahli Indonesia dan Malaysia yang menganggotai kumpulan yang dikenali sebagai Negara Islam itu, dan menandakan perpaduan yang semakin meningkat di kalangan pejuang jihad di rantau berkenaan, kata penganalisis ketika itu.

Hapilon mengetuai sekumpulan pejuang, termasuk militan dari Asia Tenggara dan Timur Tengah, menawan Marawi di selatan Filipina pada Mei 2017, yang membawa kepada pertempuran selama lima bulan dengan tentera Filipina dan menyebabkan hampir 1,200 orang mati dan puluhan ribu lagi kehilangan tempat tinggal.

Hapilon dan pembantunya terbunuh pada Oktober tahun lalu, yang membolehkan krisis itu diakhiri dengan berkesan.

Kenyataan itu tidak menyatakan lokasi semasa ketiga-tuiga militan itu tetapi memaklumkan bahawa sehingga November 2017, Udin dipercayai menjadi pemimpin IS Malaysia yang paling kanan di Syria.

Udin terlibat dalam kegiatan militan sejak 1998. Dia pernah ditangkap dan ditahan sejak 2003 hingga 2006 kerana berjuang bagi pihak Jemaah Islamiyah (JI), sebuah organisasi pengganas di Asia Tenggara, kata Jabatan Perbendaharaan.

Faiz, seorang rakyat Indonesia, muncul dalam video IS di mana dia turut mengambil bahagian dalam melaksanakan pemenggalan kepala itu, kata kenyataan tersebut. Dia sebelum ini dipenjarakan di Filipina selama sembilan tahun kerana memiliki bahan letupan dan senjata haram.

Kiram, seorang rakyat Filipina, dipercayai berada di Syria dan berjuang untuk IS sehingga Januari tahun lepas.

Polis Filipina menuduh Kiram terlibat dalam kejadian pengeboman bas pada 2012 di mana tujuh penumpang cedera di Zamboanga, wilayah selatan Filipina. Dia adalah ahli kumpulan militan pro-IS di Filipina dan dilihat melatih perekrut pada 2014 sebelum dia ke Syria bersama-sama isteri dan anak perempuannya pada tahun berikutnya, kata Jabatan Perbendaharaan AS.

Sementara itu Ayob Khan Mydin Pitchay, Ketua Cawangan Khas Anti-Pengganas Polis Diraja Malaysia berkata, penyenaraian Rafi tidak mengejutkan pihak berkuasa Malaysia kerana beliau dianggap pengerak utama sel IS Malaysia yang masih berada di Syria.

"Rafi juga mempunyai hubungan baik dengan elemen IS Indonesia di Syria serta di rantau Asia Tenggara, selain sebagai bekas  anggota kanan KMM, JI dan IS berasal dari Malaysia yang masih berada di negara itu [Syria].

"Penyenaraian ini memudahkan pihak berkuasa Malaysia untuk mengambil tindakan susulan keatas mana-mana individu sama ada di Malaysia atau di negara lain yang masih berinterasi serta menyalurkan bantuan kewangan kepada beliau," kata Ayub kepada BeritaBenar semasa dihubungi dari Washington pada Sabtu.

Nani Yusof di Washington turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.