Bekas PM Mahathir Cadang Parti Baru Untuk Kalahkan BN
2016.07.15
Kuala Lumpur

Cadangan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad untuk melancarkan sebuah parti baru boleh menarik minat mereka yang tidak berpuas hati dengan dakwaan rasuah yang membelenggui perdana menteri sekarang dan yang mempersoalkan kepimpinan parti pemerintah yang diterajui Najib Razak, kata penganalisis kepada BeritaBenar.
Cadangan itu, yang diumumkan Mahathir minggu ini, boleh berhasil kerana mereka yang ingin keluar dari Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) mungkin mendapati parti-parti pembangkang sedia ada tidak menarik dan sukar untuk berhubung, kata Wong Chin Huat, yang mengetuai unit sains politik dan sains sosial di Penang Institute, kepada BeritaBenar.
"Sesetengah orang akan merungut tentang penubuhan sebuah parti baru [tetapi] selepas seketika, mereka akan menyedari bahawa hanya satu lagi parti serpihan boleh menggugat asas sokongan UMNO. Parti serpihan sebelum ini, Parti Keadilan Rakyat (PKR), mungkin telah mencapai tahap maksimumnya buat masa ini," katanya.
Sivamurugan Pandian, seorang penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, bersetuju dengan pendapat itu, dan mengatakan parti baru mungkin merekrut ahli-ahli yang menyakini matlamatnya.
"Ia juga perlu bergantung kepada apa yang diperjuangkan parti politik itu. Jika ia adalah sesuatu yang melangkaui apa yang telah kita lihat pada pihak-pihak yang sedia ada, maka, orang mungkin berminat untuk melihat apa yang boleh ditawarkan parti itu," kata profesor itu kepada BeritaBenar.
Cabaran paling besar adalah untuk mendapatkan sokongan dari seluruh negara, kata Sivamurugan.
Mahathir, yang menjadi perdana menteri dari 1981 hingga 2003 dan menerajui gerakan Selamatkan Malaysia dengan tujuan menggulingkan Perdana Menteri Najib daripada jawatannya, pada Khamis mengumumkan bahawa usaha sedang dilakukan untuk menubuhkan sebuah parti baru yang akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-14 Malaysia.
Walaupun pilihan raya itu dijadualkan pada 2018, kemenangan dalam pilihan raya negeri dan pilihan raya kecil baru-baru ini boleh menarik Najib untuk mengadakan pilihan raya awal pada tahun depan, kata para pemerhati.
Reaksi pembangkang
Cadangan Mahathir tentang penubuhan parti baru itu membawa saranan kerjasama daripada pemimpin pembangkang yang lain.
Pakatan Harapan (PH), blok pembangkang sedia ada, terdiri daripada PKR - yang diketuai oleh ketua pembangkang yang sedang dipenjarakan Anwar Ibrahim - Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Amanah Nasional (PAN). Sebuah parti berasaskan agama, Parti Islam Se-Malaysia (PAS), yang keluar daripada pakatan itu pada Jun 2015, menegaskan bahawa ia akan bertindak sebagai pakatan pembangkang kedua bagi menentang gabungan parti pemerintah Barisan Nasional yang diterajui Najib.
"Satu pakatan pembangkang yang bersatu dan kuat tidak perlu berada dalam satu gabungan yang formal. Ia boleh menjadi Pakatan Harapan yang terdiri daripada lebih daripada tiga parti sedia ada, ia boleh menjadi Pakatan Harapan dan parti-parti lain," kata ketua sekretariat PH, Saifuddin Abdullah, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jumaat, lapor Malay Mail.
Seorang pemimpin PKR memberi maklum balas positif kepada cadangan itu.
"Kami membincangkan banyak perkara dengan beliau dan kami bersetuju untuk bergerak ke arah kerjasama yang mempunyai gabungan dengan semua parti pembangkang di Malaysia," kata Naib Presiden PKR Chua Tian Chang kepada Agence France-Presse.
Mahathir tolak terajui parti baru
Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat tiga jam dengan beberapa pemimpin pembangkang dan bekas ahli UMNO di Putrajaya, Mahathir, 91, pada Khamis menolak gesaan supaya beliau menerajui parti baru itu atau menjadi calon dalam pilihan raya umum akan datang.
"Saya rasa adanya keperluan untuk penubuhan sebuah parti baru, bagi mewakili mereka yang belum lagi berada dalam kumpulan ini tetapi berharap dan mempunyai objektif yang sama seperti kumpulan ini," katanya.
Mahathir, perdana menteri paling lama berkhidmat di Malaysia, telah berkempen menentang Najib berhubung dakwaan rasuah terhadap Perdana Menteri itu, termasuk laporan bahawa hampir AS$700 juta disalurkan ke dalam akaun bank peribadi Najib melalui entiti yang dikaitkan dengan dana pelaburan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Najib telah menafikan sebarang salah laku atau menggunakan wang tersebut untuk kepentingan peribadi. Pada Januari, Peguam Negara Malaysia telah membersihkan Perdana Menteri daripada sebarang potensi tuduhan rasuah, dan berkata bahawa wang itu adalah sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi.
Beberapa ahli UMNO dijangka sertai
Azizuddin Mohd Sani, seorang profesor politik dan hubungan antarabangsa di Universiti Utara Malaysia, meramalkan bahawa hanya beberapa ahli UMNO sahaja yang akan menyertai parti baru itu walaupun adanya pengaruh besar Mahathir di seluruh negara.
"Persoalannya adalah sama ada parti ini akan menerima sokongan daripada rakyat," katanya kepada BeritaBenar. "Sebenarnya, bagaimana parti baru ini boleh menyumbang kepada rakyat."
Sementara itu, penganalisis politik Mohamad Redzuan Othman meramalkan bahawa parti baru tidak akan bertahan lama kerana, pada pendapatnya, satu-satunya matlamat Mahathir adalah untuk menyingkirkan Najib daripada jawatan. Jika matlamat itu boleh dicapai, Mahathir akan menyertai semula UMNO, sama dengan apa yang beliau lakukan apabila penggantinya, Abdullah Ahmad Badawi, terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2009.
"Beliau memerlukan sebuah parti baru kerana objektifnya adalah berbeza daripada DAP dan PKR. Menyingkirkan Najib adalah matlamat tunggal beliau," kata penganalisis itu kepada BeritaBenar.