Pameran Karikatur UMNO Bangkitkan Kemarahan Kartunis Satira Malaysia

Hadi Azmi, N. Nantha & Hata Wahari
2017.12.06
Kuala Lumpur
171206-MY-satire-620.jpg Gambar menunjukkan poster pakatan parti pembangkang Malaysia yang di bawah telunjuk Lim Kit Siang dari Parti Tindakan Demokratik. Poster itu merupakan satu daripada 26 karya satira yang dipaparkan dalam pameran karikatur pada perhimpunan agung tahunan parti pemerintah, UMNO, di Kuala Lumpur, 6 Dis, 2017.
(N. Nantha/BeritaBenar)

Buat pertama kalinya pada perhimpunan agung tahunannya, parti pemerintah Malaysia, UMNO, mengadakan pameran kartun, poster dan karya seni satira yang menyerang musuh politiknya, tetapi dua kartunis pembangkang yang menghadapi pertuduhan hasutan mendakwa ia sebagai tindakan berat sebelah.

Sebanyak 26 karya menampilkan para pemimpin pembangkang pada pameran itu, ketika Malaysia bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum pada tahun depan. Pada Rabu, Perdana Menteri Najib Razak dan timbalannya merasmikan pameran karikatur itu, ‘Koridor Penerangan’, sebagai sebahagian daripada perhimpunan setahun sekali parti pemerintah berkenaan, yang berlangsung sehingga Jumaat ini di Pusat Dagangan Dunia Putra di Kuala Lumpur.

"Karya ini dihasilkan berdasar isu-isu semasa dan telah diterjemahkan kepada karya seni. Terdapat dua hingga tiga kartunis yang menghasilkannya tetapi ini hanyalah untuk paparan kepada ahli-ahli UMNO," kata seorang jurucakap pameran itu, yang tidak mahu dikenali, kepada BeritaBenar.

"Ia adalah kali pertama kami mempamerkan karya seni pada perhimpunan ini," kata jurucakap itu.

Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) telah menguasai politik Malaysia sepanjang 60 tahun yang lalu. Perhimpunan tahun ini, yang biasanya menarik ribuan ahli dan penyokong parti itu dari seluruh Malaysia, adalah yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-14, yang mesti diadakan pada pertengahan 2018.

Pameran itu menampilkan karya tanpa nama pelukis dengan mempersendakan para pemimpin pembangkang menerusi karikatur termasuk bekas Perdana Menteri dan penentang UMNO Mahathir Mohamad, dan Anwar Ibrahim, pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sedang dipenjarakan. Kedua-dua pemimpin itu bergabung dalam pakatan pembangkang yang baru untuk menentang gabungan parti Barisan Nasional yang memerintah.

Ada di antara karya itu kelihatan seperti membangkitkan isu perkauman dan agama di negara yang mempunyai pelbagai etnik tersebut. Ada yang menampilkan Lim Kit Siang, pemimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang dikuasai etnik Cina, dengan mendakwa bahawa DAP ‘mengawal’ para pemimpin Melayu seperti ‘kuda tunggangannya’ untuk saling ‘menghentam’ satu sama lain, seperti yang ditampilkan poster (dalam gambar di bawah).

Satu lagi karya, yang merupakan hasil multimedia, mengandungi paparan yang menyatakan bahawa DAP dan penyokongnya telah "memutar belit fakta kerana mereka tidak sukakan Islam," agama yang diamalkan oleh majoriti orang Melayu.

Gambar poster yang dipaparkan pada perhimpunan agung tahunanUMNO menunjukkan karikatur bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad (kiri) dan bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan Lim Kit Siang, pemimpin parti pembangkang Parti Tindakan Demokratik, sebagai pengadil dan tertera berkata "Bagus! Melayu Screw Melayu" 6 Dis, 2017. (N. Nantha/BenarNews)

Gambar poster yang dipaparkan pada perhimpunan agung tahunanUMNO menunjukkan karikatur bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad (kiri) dan bekas Timbalan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dengan Lim Kit Siang, pemimpin parti pembangkang Parti Tindakan Demokratik, sebagai pengadil dan tertera berkata "Bagus! Melayu Screw Melayu" 6 Dis, 2017.(N. Nantha/BenarNews)


Satira: 'Senjata bagi mereka yang tidak berdaya'

Tetapi dua pelukis satira Malaysia yang terkenal, pereka bentuk grafik Fahmi Reza dan kartunis politik Zunar, mempersoalkan mengapa parti pemerintah dibenar mempamerkan karya sedemikian sedangkan  mereka  berdepan masalah dengan pihak berkuasa kerana mempamerkan karya yang mengkritik Najib dan pemimpin UMNO lain.

"Satira sentiasa menjadi senjata bagi mereka tidak berdaya untuk menentang mereka yang berkuasa," kata Fahmi, yang dituduh melakukan hasutan dengan menggambarkan Najib dalam wajah badut, kepada BeritaBenar paad Selasa semasa mengulas mengenai pameran UMNO itu.

"Sebagai pereka bentuk grafik, saya akan terus mempertahankan seni satira dan parodi yang saya hasilkan. Satira dan parodi bukanlah suatu jenayah, "katanya.

Zunar, penyumbang BeritaBenar yang nama penuhnya adalah Zulkiflee Anwar Ulhaque, menuduh UMNO bertindak berat sebelah.

"Apabila saya dan Fahmi Reza mengadakan pameran, anda datang dan menangkap kami dengan menuduh kami melanggar undang-undang hasutan dan multimedia tetapi senyap pula semasa UMNO yang melakukannya," kata Zunar kepada BeritaBenar.

Kartunis itu telah didakwa dengan pelbagai tuduhan melanggar Akta Hasutan dan dilarang kerajaan daripada ke luar negara.

"Persoalan saya ialah kenapa, apabila saya melakukan pameran yang sama dengan subjek berbeza di Pulau Pinang, UMNO datang dan menyerang saya secara fizikal?" kata Zunar yang merujuk kepada serangan yang didakwa dilakukan oleh ahli-ahli Pemuda UMNO pada pamerannya yang diadakan di negeri Pulau Pinang pada November 2016 .

Bagaimanapun, katanya, polis tidak seharusnya menangkap artis yang menyumbang kepada pameran pada perhimpunan agung UMNO itu.

Zunar, yang komik satiranya yang ke-11 telah diharamkan oleh kerajaan pada Oktober lalu, terpaksa membatalkan satu lagi pameran di Pulau Pinang pada Julai 2017 selepas mendakwa menerima ancaman serupa daripada kumpulan yang sama.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.