Barisan Nasional Kekalkan Kuasa di Sarawak

Dennis Wong
2016.05.10
Kuching, Sarawak
160510-my-adenan-620 Ketua Menteri Sarawak, Adenan Satem (tengah) yang baru saja memenangi pilihan raya dewan undangan negeri, dan dilantik semula ke jawatannya itu, bersama kakitangan beliau pada majlis kesyukuran di pejabatnya di Kuching, 9 Mei 2016.
Ihsan Pejabat Ketua Menteri Sarawak

Kemaskini pada 12.00 tengahari, ET - 2016-11-05

Parti gabungan Barisan Nasional baru saja melanjutkan kuasa pemerintahan ke 53 tahun ke atas negeri Sarawak dengan kemenangan muktamad pada pilihan raya Dewan Undangan Negerinya, tetapi timbul tuduhan rasuah terbaru dari luar negara yang memberi tamparan kepada Gabenornya, yang juga bekas ketua menteri paling lama memerintah.

Parti gabungan BN memenangi 72 daripada 82 kerusi pada pilihan raya DUN pada Sabtu lalu, dan undi tersebut dilihat sebagai ujian litmus di peringkat kebangsaan kepada  BN, yang memerintah Malaysia, tetapi kerajaan persekutuan di Kuala Lumpur terperangkap dengan skandal rasuah.

Di peringkat negeri pula, penduduk Sarawak, negeri yang kaya dengan hasil bumi serta diliputi kawasan hutan yang luas telah mengundi Adenan Satem untuk kembali ke pejabat pada pilihan raya pertamanya sebagai Ketua Menteri.

Dua tahun lepas, Adenan telah mengantikan Abdul Taib Mahmud, yang telah dilantik menjadi Gabenor negeri itu, walaupun dakwaan rasuah mengelilingi Taib, yang menjadi ketua menteri lebih 33 tahun. Kedua-dua mereka adalah daripada parti yang sama iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Kini, sebuah jawatankuasa Senat Australia telah memulakan siasatan mengenai dakwaan pengubahan wang haram terhadap keluarga Taib, berhubung tawaran harta dan pemilikan aset bernilai jutaan dolar di Australia, menurut laporan media tempatan Malaysia pada Selasa.

Laporan media itu berkata, jawatankuasa berkenaan sedang meneliti mengenai pemberian AU$55 juta kepada Hilton Hotel Adelaide, yang dimiliki oleh keluarga Taib.

Taib, yang lebih dikenali sebagai Pak Uban (berambut putih), secara berasingan berhadapan dengan pelbagai dakwaan rasuah dengan mengaut keuntungan melalui pembalakan haram secara besar-besarann. Beliau menafikan semua tuduhan tersebut sama ada dari dalam atau luar negara.

Nampaknya pengundi Sarawak setakat ini, berpuas hati dengan prestasi kerja Adenan sebagai Ketua Menteri, sehingga beliau memenangi pilihan raya itu, walaupun dakwaan rasuah membelenggui Ketua Menteri terdahulu.

Pengundi Heyward Maxwell Pengabang, 32, berkata beliau gembira dengan prestasi Adenan setakat ini, sambil menambah bahawa ketua menteri itu telah membantu mengekalkan kos sara hidup rakyat Sarawak, lebih rendah daripada negeri-negeri lain di Malaysia.

Terima kasih kepada Adenan, rakyat Sarawak tidak perlu membayar tol di jalan raya dan utility lain dengan bil cukai yang agak rendah, katanya.

"Dengan isu peningkatan kos sara hidup, perubahan ini benar-benar membantu sebahagian besar orang biasa seperti saya," kata Heyward kepada BeritaBenar.

Pemimpin progresif?

Sejak mengambil alih jawatan pada tahun 2014, Adenan juga telah melaksanakan pelbagai dasar dalam pentadbirannya yang sangat berlainan dengan pemimpin terdahulu, termasuk dasar memerangi pembalakan haram dan rasuah, termasuk memulakan beberapa dasar mesra rakyat.

Sebagai contoh, pentadbiran Adenan telah mengiktiraf Sijil Pendidikan Bersepadu Persendirian Cina di negeri itu. Ini adalah isu kontroversi di seluruh negara kerana kelayakan pendidikan yang menjurus kepada etnik Cina Malaysia tidak diterima oleh universiti awam dan agensi perkhidmatan awam.

Adenan juga melaksanakan dasar yang membawa kepada pelbagai komuniti suku kaum di Sarawak - yang membentuk 50 peratus daripada populasi penduduk negeri itu - yang diiktiraf secara rasmi dalam borang kerajaan.

Lim Kit Siang, pemimpin kebangsaan Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan orang kuat pembangkang - yang partinya hanya memenangi tiga kerusi pada pilihan raya di Sarawak - mengakui dalam sidang media selepas pilihan raya itu bahawa Adenan telah melakukan pelbagai perubahan yang membawa kepada peningkatan terhadap Sarawak yang kurang membangun.

'Unsur tidak baik'

Namun, populariti Adenan bukanlah antara sebab beliau memenangi pilihan raya itu,  semata-mata.

Adenan, yang juga bekas menteri kabinet dalam kerajaan persekutuan, membantu BN mengekalkan cengkaman ke atas politik negara dengan mengharamkan pemimpin pembangkang dan aktivis dari semenanjung Malaysia memasuki negeri itu semasa musim berkempen.

Mereka yang dihalang daripada menjejak kaki ke negeri itu termasuk Menteri Besar  Selangor Mohamed Azmin Ali.

Beberapa sebelum hari pengundian berlangsung, Adenan memberitahu bahawa larangan itu diperlukan "untuk melindungi kepentingan Sarawak dari unsur-unsur tidak baik."

Berbanding dengan Semenanjung Malaysia, Sarawak menikmati tahap autonomi dalam pentadbiran, imigresen dan perkara-perkara kehakiman, termasuk mengawal kemasukan dan kediaman bukan rakyat Sarawak.

‘Pembangkang retak’

Blok pembangkang yang bertanding pada pilihan raya itu, telah retak di belakang BN sebelum pilihan raya diadakan, menurut seorang pakar sains politik.

"Kegagalan [parti pembangkang] untuk berunding dalam pembahagian kerusi membawa kepada pepecahan undi walaupun dalam kawasan yang boleh dimenangi mereka," kata Prof Madya Universiti Kebangsaan Malaysia Mohd Faisal Syam Abdol Hazis kepada BeritaBenar.

Di samping itu, parti-parti pembangkang yang sepatutnya bersatu menentang "musuh" yang sama, pertelingkahan sesama mereka juga telah melemahkan perjuangan blok pembangkang itu, tambah beliau.

“Saya percaya, ia adalah antara satu sebab mengapa peratusan pengundi keluar mengundi adalah rendah. Parti-parti pembangkang juga gagal untuk meyakinkan pengundi bahawa mereka adalah pilihan yang lebih baik. Sebaliknya, mereka menunjukkan bahawa mereka tidak boleh bekerjasama untuk mencapai matlamat yang satu, " kata Mohd Faisal.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.