Mahkamah Persekutuan Putuskan Hanya Mahkamah Syariah Boleh Kendalikan Kes Murtad

Laja Laing
2018.02.27
Kuching, Malaysia
180227-MY-religion-620.jpg Orang ramai menantikan keputusan mahkamah tertinggi Malaysia mengenai mahkamah mana yang boleh mendengar kes murtad di Kuching, ibu negeri Sarawak, 27 Feb, 2018.
[Laja Laing/BeritaBenar]

Mahkamah tertinggi Malaysia pada Selasa memutuskan bahawa hanya Mahkamah Syariah negara ini yang boleh mendengar kes-kes penukaran agama daripada Islam, semasa menolak petisyen empat orang Islam yang memohon untuk dibenarkan menjadi penganut Kristian mengikut undang-undang negara.

Dalam keputusan sebulat suara, panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan, yang turut melibatkan hakim bukan Islam, memutuskan bahawa Mahkamah Syariah Sarawak adalah mahkamah yang sesuai untuk mengendalikan kes-kes murtad.

Zulkefli Ahmad Makinudin, yang merupakan presiden Mahkamah Rayuan Malaysia serta ketua panel hakim yang bersidang itu berkata, walaupun tidak ada peruntukan dalam undang-undang agama Sarawak supaya Mahkamah Syariah negeri mengendalikan kes-kes murtad, namun, ada undang-undang yang membenarkannya.

"Seksyen 68 dan 69 dalam Ordinan Majlis Islam Sarawak boleh digunakan oleh Mahkamah Syariah Sarawak untuk mendengar kes-kes murtad," katanya semasa membuat keputusan itu.

Malaysia mempunyai dua sistem perundangan di mana Mahkamah Syariah kebanyakannya mendengar kes-kes pertikaian keluarga dan warisan yang melibatkan orang Islam. Mahkamah Syariah dikendalikan sama seperti mahkamah sivil negara ini, tetapi orang bukan Islam tidak boleh menghadiri  perbicaraannya.

"Kes murtad adalah perkara yang sensitif di kalangan umat Islam dan cara untuk mengatasinya adalah terkandung dalam undang-undang Islam. Keputusan Mahkamah Persekutuan dianggap penting kerana ia mengiktiraf kuasa mahkamah Syariah, "kata penganalisis geopolitik Azmi Hassan kepada BeritaBenar.

"Jika tidak, apabila kes-kes murtad dihakimi di mahkamah sivil, kemungkinan ada keputusan yang tidak mematuhi syarat-syarat Syariah dan senario ini tidak terbatas kepada kes murtad sahaja malah, melibatkan hal-hal lain yang berkaitan dengan Islam," katanya.

Keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa bermakna bahawa empat orang yang membuat rayuan - Salina Jau Abdullah, Jenny Peter, Mohd Syafiq Abdullah (alias Tiong Choo Ting) dan Syarifah Nooraffyzza Wan Hosen - perlu  ke Mahkamah Syariah untuk mendengar kes murtad mereka.

Syarifah Nooraffyzza dilahirkan sebagai seorang Muslim, manakala tiga yang lain dibesarkan sebagai penganut Kristian tetapi memeluk agama Islam untuk berkahwin dengan orang Islam. Mereka meninggalkan agama itu setelah pasangan mereka meninggal dunia atau perkahwinan mereka berakhir dengan perceraian.

Kes itu bermula di Mahkamah Tinggi Sarawak pada 2015 apabila empat petisyen dikemukakan bagi memohon menukar agama dari Islam kepada Kristian secara rasmi untuk membolehkan nama dan agama mereka diubah pada kad pengenalan nasional mereka.

Peguam-peguam kerajaan membantah permohonan itu atas alasan bahawa Mahkamah Tinggi sivil tidak mempunyai bidang kuasa terhadap kes murtad atau kes-kes agama yang biasanya dikendalikan oleh Mahkamah Syariah.

Oleh kerana dokumen-dokumen rasmi mengenal pasti mereka sebagai umat Islam, empat pempetisyen itu mesti terlebih dahulu mendapatkan Surat Murtad daripada Mahkamah Syariah sebelum mereka boleh menukar identiti sah mereka.

Tetapi, Mahkamah Syariah di Sarawak menyebabkan mereka yang mahu meninggalkan Islam untuk menganut agama Kristian dalam dilema selepas ia sebelum ini memutuskan bahawa ia hanya mempunyai kuasa meluluskan kes bagi menukar agama kepada Islam, tetapi bukan dari agama Islam kepada agama lain.

Keputusan pada Selasa bermakna Mahkamah Syariah kini akan bertindak mengikut keputusan Mahkamah Persekutuan.

Kritikan lantang

Keputusan itu menguatkan lagi kritikan bahawa kekurangan kebebasan agama di negara ini, yang majoriti penduduknya adalah beragama Islam, melanggar satu daripada prinsip perlembagaan Malaysia.

Lebih daripada 60 peratus daripada 32 juta rakyat Malaysia adalah umat Islam dan perkara berkaitan agama adalah sensitif walaupun di Sarawak di mana umat Islam berada dalam kumpulan minoriti.

Aktivis hak asasi manusia, Peter John Jaban, menggesa supaya undang-undang agama seperti itu dimansuhkan, dengan berkata bahawa perkara itu harus  menjadi pilihan peribadi dan keluarga.

"Kami tidak mahu negara kita yang tercinta terlibat dalam konflik yang timbul daripada agama," kata Jaban dalam reaksinya terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan.

Hata Wahari di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.