Yang di-Pertuan Agong Ke-15 Malaysia Ditabalkan

Hadi Azmi
2017.04.24
170424-my-msiaking-1000.jpg Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V berkenan mengucup Keris Kerajaan sebagai simbolik penerimaan kuasa Yang di-Pertuan Agong pada Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong Ke-XV di Istana Negara, Kuala Lumpur, 24 April 2017.
[Asraf Affandi Azlan/Jabatan Penerangan Malaysia /AFP]

Malaysia menyaksikan pertabalan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 dalam satu istiadat penuh dengan tradisi Kesultanan Melayu di Istana Negara pada Isnin.

Upacara pertabalan yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen negara, Radio Televisyen Malaysia [RTM] disempurnakan dengan penuh istiadat dengan Sultan Muhammad V melafaz sumpah memegang jawatan dan menandatangani surat memegang jawatan sejak 13 Disember lepas.

Sultan Muhammad V, yang berusia 47 tahun, menggantikan Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tamat tempoh pemerintahan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 12 Disember lalu.

“Dengan ini, Beta akan menjalankan seadil-adilnya pemerintahan bagi Malaysia mengikut undang-undang dan perlembagaan negara, serta memelihara dengan sempurna setiap masa, agama Islam, dan berdiri teguh di atas pemerintahan yang adil dan aman dalam negara,” ikrar Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 di Balairong Seri, Istana Negara di ibunegara.

Ikrar itu disambut dengan laungan 'Daulat Tuanku' serta disusuli dengan tembakan Meriam sebanyak 21 das yang menandakan secara rasminya pemahsyuran Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.

Sebelum majlis pertabalan bermula, satu istiadat penuh ketenteraan oleh Angkatan Tentera Malaysia dimana Yang di-Pertuan Agong adalah Pemerintah Tertinggi angkatan itu telah berlangsung di Peterana Diraja di mana Baginda telah diberi Hormat Diraja oleh Barisan Kawalan Kehormatan Utama oleh seramai 108 anggota dari Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Sejurus kemudian lagu kebangsaan Malaysia Negaraku telah dimainkan dan satu istiadat yang menyaksikan bendera Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dikibarkan.

Seterusnya, Yang di-Pertuan Agong membuat pemeriksaan kawalan kehormat yang terdiri daripada empat pegawai dan 103 anggota dalam perbarisan tentera dengan lagu kebangsaan  dimainkan sekali lagi.

Seri Paduka Baginda yang berpakaian rasmi Yang di-Pertuan Agong yang dikenali sebagai ‘Muskat’ seterusnya berarak memasuki Balairong Seri yang disambut dengan alunan muzik tradisional dengan lagu ‘Raja Berangkat'.

Paluan gendang dan tiupan seruling lagu 'Menjunjung Duli' kemudian memenuhi segenap ruang Balairong Seri Istana Negara bersama keris, Al-Quran dan alatan kebesaran lain di bawa masuk ke Balairong Seri untuk Istiadat Pertabalan Sultan Muhammad V sebagai Yang di-Pertuan Agong.

Yang di-Pertuan Agong dalam titah ucapannya menyentuh mengenai peranan rakyat dalam pembangunan Malaysia dengan berkata, kualiti modal insan negara adalah penentu utama kejayaan Malaysia pada masa hadapan.

“Setiap dari rakyat Malaysia memainkan peranan dan tanggungjawab mereka dan rakyat tidak boleh cuai dan alpa dalam melaksanakannya kepada negara. Kepada generasi muda, pelapis negara, lengkapkanlah diri dengan pelbagai ilmu dan kemahiran.

“Beta percaya bahawa tidak ada noktah dalam menuntut dan mencari ilmu. Justeru, Beta menyeru kepada setiap rakyat Malaysia, khususnya generasi muda untuk terus mendalami ilmu pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan negara,” titah Baginda.

Seri Paduka juga bertitah "Beta berharap rakyat Malaysia terus berpegang teguh kepada nilai akhlak, moral dan etika yang baik. Jadilah insan yang mulia, insan yang berilmu dan berpekerti tinggi serta menyedari akan tanggungjawabnya kepada negara."

 

Sementara itu, Perdana Menteri Najib Razak turut mempersembahkan ucapan tahniah serta ikrar taat setia kerajaan dan rakyat Malaysia kepada Yang di-Pertuan Agong.

"Patik bagi pihak kerajaan bersama-sama dengan Timbalan Perdana Menteri, berserta anggota pentadbiran dan rakyat sekalian, akan sentiasa mendoakan Tuanku terus dikurniakan taufik dan hidayah serta keafiatan untuk bertakhta di singgahsana sebagai lambang kebesaran dan kebanggaan negara,” kata Najib semasa menyembahkan ucapan tahniah dan taat setia.

Kata Najib, Baginda adalah jelmaan ideologi Rukun Negara yang menjadi asas kepada negara Malaysia yang mempunyai rakyat yang berbilang bangsa,makmur dan merdeka.

"Sesungguhnya, institusi Yang di-Pertuan Agong ini adalah unik kepada Malaysia, kerana ia bukanlah amalan di negara-negara beraja lain di dunia. Ia tidak melalui sistem undian oleh rakyat dan bukan juga diwarisi secara keturunan.” tambahnya.

Dalam upacara hampir tiga jam itu seramai 800 tetamu hadir menyaksikan istiadat penuh adat itu yang turut Sultan-Sultan, Raja-Raja dan Yang di-Pertua negeri serta tetamu negara yang lain.

Sembah Tahniah

Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industrial Mustapa Mohamed berkata, “ Alhamdulillah, rakyat Malaysia bersyukur dan sembah tahniah kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-15, Sultan Muhammad V yang ditabalkan hari ini,”.

“Semoga Allah sentiasa merahmati and memberkati Tuanku dan dikurniakan taufiq dan hidayah memerintah negara dengan adil, bijaksana dan ehsan,” tulis beliau dalam laman media sosial Facebook miliknya.

Duta Belanda ke Malaysia, Karin Mossenlechner melahirkan rasa bangga menjadi tetamu istiadat pertabalan itu dalam satu naik muat status di Twitternya.

“Hari yang indah untuk istiadat pertabalan,” tambahnya lagi.

Pelantikan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong sebelum ini juga disertai dengan perlantikan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sebagai Timbalan Yang di-Pertuan Agong.

Kedua-dua Sultan Muhammad V dan Sultan Nazrin Shah dipilih bagi tempoh lima tahun bermula Selasa pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-243 (Khas) di Istana Negara, 14 Okt lepas.

Malaysia menggunakan sistem penggiliran yang ditetapkan Majlis Raja-Raja dengan tempoh takhta selama lima tahun bagi setiap Yang di-Pertuan Agong dan timbalannya.

Sultan Muhammad V sering dipuji sebagai pemerintah berjiwa rakyat dan prihatin dengan kebajikan rakyat jelata, termasuk kebajikan Orang Asli di kawasan pedalaman seperti Gua Musang dan Jeli di Kelantan.

Sultan Muhammad V juga sering terlibat dalam kerja sosial dan sebagai penaung Yayasan Sultan Kelantan, baginda membantu golongan kurang bernasib baik seperti anak yatim, golongan miskin dan golongan kurang upaya.

Baginda juga ialah seorang yang amat mementingkan hal ehwal agama Islam di Kelantan dan memelihara kebajikan masjid di negeri itu, menurut laporan.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.