Mahkamah Malaysia Bebas Setiausaha Agung UMNO Dari Pertuduhan Jenayah Berkait 1MDB

Ahmad Maslan adalah pemimpin ketiga daripada UMNO yang dilepaskan daripada kes mahkamah selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang.
Hadi Azmi
Kuala Lumpur
2021-09-29
Share
Mahkamah Malaysia Bebas Setiausaha Agung UMNO Dari Pertuduhan Jenayah Berkait 1MDB Setiausaha Agung UMNO, Ahmad Maslan melambai tangan kepada media semasa berjalan keluar bersama penyokongnya daripada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 29 September 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu membebaskan Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), parti utama dalam kerajaan baharu Malaysia, daripada dua pertuduhan jenayah yang berkaitan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sekaligus menjadikannya pemimpin ketiga parti itu yang dilepaskan sejak kerajaan Perikatan Harapan ditumbangkan tahun lalu.

Ahmad Maslan, yang juga bekas timbalan menteri sebelum ini telah dituduh di mahkamah itu atas kesalahan pengubahan wang haram melibatkan hampir setengah juta dolar AS wang dari dana syarikat pelaburan negara 1MDB, manakala pertuduhan kedua pula menyaksikan ahli politik itu didakwa memberikan keterangan palsu kepada pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa disiasat pada 2019.

Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh membuat keputusan untuk membebaskan Ahmad apabila pihak pendakwa raya menarik balik kedua-dua pertuduhan tersebut selepas pemimpin UMNO itu membayar kompaun sejumlah RM1.1 juta (AS$262,856) sebagai penyelesaian terhadap kesnya.

"Dalam membuat permohonan untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap tertuduh, Timbalan Pendakwa Raya mengesahkan bahawa tertuduh tidak akan dihadapkan semula dengan pertuduhan-pertuduhan yang sama pada masa akan datang. Ini berikutan fakta bahawa tertuduh telah menerima tawaran kompaun dan menjelaskan bayaran kompaun tersebut.

"Mahkamah dengan ini memerintahkan agar tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan pertama dan kedua. Semua tarikh bicara yang telah dijadualkan dilapangkan," kata Hakim Ahmad Shahrir Mohd Salleh dalam penghakiman beliau yang dibaca di mahkamah, seperti dipetik agensi berita kerajaan Bernama.

Disebabkan oleh kekangan untuk mencegah penularan pandemik COVID-19, kehadiran di dalam bilik mahkamah dihadkan kepada hanya beberapa agensi berita yang menempatkan wartawan secara tetap untuk liputan berita di mahkamah.

Firma guaman Messrs Shahrul Hamidi dan Haziq yang mewakili Ahmad berkata bahawa walaupun anak guam mereka bersetuju untuk membayar kompaun, ia bukan bermaksud Anggota Parlimen Pontian itu mengaku bersalah kepada pendakwaan terhadapnya.

"Penyelesaian ini adalah bukan pengakuan bersalah Ahmad Maslan terhadap pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atas beliau.

"Proses penyelesaian ini telah dibuat menurut undang-undang dan telah melalui proses yang telus dan teratur. Proses penyelesaian ini adalah semata-mata bagi tujuan kes ini dan tiada sebarang kaitan dengan apa-apa faktor politik atau luaran dan tidak melibatkan mana-mana orang atau agensi lain selain agensi siasatan dan agensi pendakwaan yang terlibat," kata firma tersebut dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan selepas keputusan mahkamah.

Mereka turut menegaskan bahawa proses penyelesaian seperti dalam kes Ahmad Maslan adalah satu amalan yang sah disisi undang-undang serta diterima secara meluas dalam sistem perundangan Malaysia.

"Proses penyelesaian ini telah mengambil masa hampir setahun lebih sebelum ia diterima dan direkodkan di Mahkamah pada hari ini," tambah firma itu.

Ahmad telah didakwa di mahkamah pada 21 Jan 2020 di bawah Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 kerana menerima wang sebanyak RM2 juta (AS$477,920) dari bekas Perdana Menteri Najib Razak. Wang itu dikatakan sebahagian daripada hasil aktiviti haram.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu pada 27 Nov 2013 apabila menerima sekeping cek daripada Najib.

Beliau turut menghadapi pertuduhan bawah Seksyen 32(8)(C) akta sama kerana didakwa memberikan keterangan palsu ketika disoalsiasat pegawai penyiasat SPRM Mohd Zairi Zainal pada 4 Julai 2019.

Ahmad adalah pemimpin UMNO yang ketiga dilepaskan daripada pendakwaan di mahkamah sejak kerajaan Pakatan Harapan jatuh pada Mac 2020, disebalik janji Perdana Menteri yang mengambil alih kerajaan pada ketika itu, Muhyiddin Yassin bahawa beliau tidak akan campur tangan dengan perjalanan kes mahkamah.

Pada Julai lepas, Mahkamah Rayuan telah melepaskan bekas menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Putrajaya, Adnan Mansor daripada pertuduhan rasuah membabitkan RM2 juta yang dimasukkan ke dalam akaun sebuah syarikat yang berada dalam kawalannya.

Pada Jun 2020, bekas ketua menteri Sabah, Musa Aman dilepas dan dibebaskan daripada 46 pertuduhan jenayah terhadapnya berkaitan kontrak konsesi balak di negeri itu, selepas Pejabat Peguam Negara menggugurkan kesemua pertuduhan terhadap beliau.

Pemimpin UMNO lain yang telah dituduh di mahkamah termasuk presiden parti Ahmad Zahid Hamidi dan bekas presiden, Najib Razak.

Persoal perjanjian

Bercakap kepada BenarNews, Oh Ei Sun, felo kanan di Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, menyatakan bahawa pembebasan Ahmad telah membawa kepada persoalan mengenai keberkesanan satu perjanjian yang dibuat antara kerajaan dengan blok pembangkang yang antara lainnya menyeru kebebasan sistem kehakiman daripada sebarang campur tangan politik.

"Sebab itu saya tidak bersetuju dengan perjanjian persefahaman itu dari awal lagi. Jadi perkara ini dan isu penting lain yang patut dibantah kerajaan, pihak pembangkang kini terpaksa bersikap 'low profile' ketika mereka sepatutnya menjadi elemen semak dan imbang," kata Oh.

Beliau berkata bahawa perkara itu juga mungkin satu cubaan oleh Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob untuk menguji tahap perjanjiannya dengan pembangkang.

"Ismail Sabri sedang cuba bermain cabaran dengan Pakatan Harapan dalam isu ini serta perkara lain, seperti cadangan (kerajaan) untuk meminda undang-undang syariah bagi memperketatkan hukuman, undang-undang untuk mengawal agama bukan Islam, serta beberapa cadangan lain," kata penganalisis politik itu.

Baru-baru ini, Ahmad telah dicalonkan oleh UMNO untuk mengisi jawatan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, selepas Azalina Othman Said meletakkan jawatan pada Ogos lepas, dengan alasan bahawa ia memberikan konflik terhadap peranan dan tanggungjawabnya kepada parti serta kerajaan.

Bagaimanapun, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merupakan sekutu UMNO dalam kerajaan dan mempunyai 31 daripada 222 kerusi Parlimen telah mencantas peluang Ahmad untuk menjawat jawatan tersebut kerana ia memegang prinsip untuk tidak bekerjasama dengan mereka yang menghadapi kes mahkamah.

Najib yang telah didapati bersalah di mahkamah pada Julai tahun lepas atas tujuh pertuduhan berkaitan anak syarikat 1MDB, SRC International, telah memuatnaik status di laman Facebooknya, mengulangi bahawa wang yang diberikannya kepada Ahmad adalah untuk kerja-kerja tanggungjawab korporat dan datang daripada sumbangan oleh kerajaan Arab Saudi.

"Wang yang saya bayar kepada Ahmad Maslan dan kesemua pihak diatas kerja CSR itu berasal dari dana sekurang-kurangnya RM642 juta(AS$153.4 juta) yang saya terima dari Kementerian Kewangan Arab Saudi dan ini telah dibuktikan banyak kali dalam perbicaraan mahkamah," kata Najib.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Nazlan Ghazali yang mendengar perbicaraan kes SRC bagaimanapun telah menolak hujah mengenai derma dari Arab Saudi itu sebagai satu perkara yang tidak dapat disahkan serta tidak mencukupi syarat untuk diambil sebagai bukti, logik asas serta akal fikiran.

Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh