Follow us

Pesara Kapten TUDM Dipenjara Tujuh Tahun Salur Wang Kepada Pengganas

Hata Wahari
Kuala Lumpur
2018-02-06
E-mel
Komen
Share
Pasukan keselamatan Syria berjalan di sepanjang landasan keretapi selepas mengawal kampung Abu al-Duhur di pinggir timur Idlib, di mana mereka terus berperang dengan militan, 3 Februari 2018.
Pasukan keselamatan Syria berjalan di sepanjang landasan keretapi selepas mengawal kampung Abu al-Duhur di pinggir timur Idlib, di mana mereka terus berperang dengan militan, 3 Februari 2018.
AFP

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun keatas seorang pesara Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) berpangkat Kapten atas kesalahan membenarkan akaun banknya digunakan oleh pengganas Negara Islam (IS) Muhammad Wanndy Mohamed Jedi yang terbunuh di Syria dua tahun lalu.

Hakim Mohd Sofian Abd Razak menjatuhkan hukuman itu ke atas Azuddin Mahmud, 54 yang mengaku bersalah terhadap tuduhan itu pada Selasa. Hakim memerintahkan hukuman itu berkuatkuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 25 Jun 2017.

Mengikut kertas pertuduhan, Azuddin didakwa membenarkan kemasukan dan pengeluaran wang RM3,500 dalam akaun bank miliknya yang dipercayai keseluruhan atau sebahagian daripada jumlah itu dimanfaatkan untuk pengganas.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Maybank Cawangan Kompleks Dayabumi, F1/26 & 27, City Point Kompleks Dayabumi, Jalan Sultan Hishamuddin di sini, antara 27 dan 29 Januari 2016.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 130O(1)b Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 130O(1)(bb) kanun sama, jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara minimum tujuh tahun dan maksimum 30 tahun dan denda.

Ketika membuat keputusan itu, Mohd Sofian berkata, perbuatan tertuduh membenarkan akaun banknya digunakan untuk memasukkan wang ke akaun milik pengganas menyebabkan rekod perkhidmatan cemerlang tertuduh selama 27 tahun tercalar.

"Tertuduh sepatutnya tahu perbuatannya itu menyalahi undang-undang dan ia boleh mengancam keselamatan negara. Atas apa alasan sekali pun, membantu kumpulan pengganas Daesh adalah satu kesalahan," katanya dengan menggunakan terma lain untuk IS.

Terdahulu, peguam Leftenan Komander (B) Norhasham Hasan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah memberikan hukuman ringan kepada anak guamnya dengan mengambil kira faktor latar belakang tertuduh yang cemerlang dalam perkhidmatannya, usia serta keinsafan tertuduh.

"Anak kedua tertuduh telah melanjutkan pelajaran ke Syria dan apabila di sana dia telah terikut-ikut dengan kegiatan keganasan. Pada 2016, anak tertuduh mengadu padanya bahawa kehidupan di Syria sangat susah dan dia meminta bantuan kewangan. Atas sebab yang tidak dinyatakan tertuduh perlu memasukkan wang ke dalam akaun tertentu," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustaffa P Kunyalam bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman berat, sesuai dengan kesalahan yang dilakukan.

Berdasarkan fakta kes, siasatan pihak polis yang membuat semakan di institusi kewangan Maybank memperolehi penyata kewangan yang didaftarkan atas nama tertuduh termasuk terdapat tiga transaksi mencurigakan pada 27 hingga 29 Januari 2016.

Transaksi itu membabitkan jumlah RM3,500 yang dikreditkan kepada adik Wanndy, Mohamed Danny dan kemudian didebitkan kepada Wanndy.

Dalam tempoh empat tahun yang lepas, pihak berkuasa Malaysia telah menahan kira-kira 370 orang yang disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas termasuk IS.

Selain itu, seramai 34 rakyat Malaysia dilaporkan terbunuh semasa berjuang untuk IS di Iraq dan Syria manakala 24 lelaki, 12 wanita dan 17 kanak-kanak dipercayai masih berada di Syria, tetapi mungkin telah melarikan diri dari bandar-bandar di mana berlaku pertempuran.

Para pegawai berkata, rakyat Malaysia itu mungkin mendapatkan perlindungan di kem-kem yang berada di sempadan Jordan dan Turki.

Malaysia, yang mempunyai kira-kira 32 juta penduduk termasuk 19.5 juta umat Islam, telah menggagalkan sembilan rancangan pengeboman yang berkaitan dengan IS sejak 2013, kata pegawai keselamatan. Satu serangan berkaitan IS berlaku di sebuah kelab malam berhampiran Kuala Lumpur pada Jun 2016 yang mengakibatkan lapan orang cedera.

Lihat Laman Penuh