AS Curigai Motif Beijing Tentang ‘Kod Tata Laku’ Laut China Selatan

Noah Lee
2019.04.26
Kuala Lumpur, Malaysia
190426-MY-code-620.jpg Anggota-anggota Tentera Amerika Syarikat berehat seketika selepas menjalani latihan ketenteraan bersama AS-Filipina di wilayah Zambales, yang menghadap kawasan pertikaian Scarborough Shoal di Laut China Selatan, 11 April 2019.
[AP]

Seorang pegawai Pertahanan Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat mempersoalkan motif China dalam menyatakan persetujuannya untuk membentuk satu kod tata laku di Laut China Selatan, ketika beliau menggesa blok negara-negara Asia Tenggara supaya terus berusaha memuktamadkan satu kod yang dapat mengawal tindakan negara-negara yang membuat tuntutan terhadap wilayah yang menjadi pertikaian itu.

Randall Schriver, penolong setiausaha pertahanan bagi hal ehwal keselamatan Indo Pasifik-AS, memberitahu sidang berita di Kuala Lumpur bahawa Washington akan menggalakkan 10 anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) supaya berusaha mewujudkan satu kod tata laku (COC) yang "selaras dengan undang-undang dan norma-norma antarabangsa sedia ada."

"Kami sememangnya ada rasa curiga tentang motif China," kata Schriver kepada pemberita sebelum pertemuannya dengan Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia Liew Chin Tong dan pegawai-pegawai keselamatan lain.

"Cara mereka bertindak menunjukkan mereka tidak konsisten dalam mengambil bahagian untuk menegakkan undang-undang antarabangsa," kata Schriver, yang merujuk kepada Beijing. "Jadi, kita merasa curiga tentang apa yang mereka mahu mahukan daripada kod  tata laku itu."

Selain China dan Taiwan, Filipina dan negara-negara ASEAN lain iaitu Brunei, Malaysia dan Vietnam mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan.

Negara-negara yang membuat tuntutan itu, selain China, telah berusaha untuk mewujudkan satu kod tata laku sah, yang akan menghuraikan langkah-langkah yang boleh diambil oleh setiap negara berkenaan dalam mengelak pertikaian yang tidak dapat dikendalikan. Sesetengah negara mahu kod itu dimuktamadkan dan tertakluk kepada pengesahan oleh negara-negara yang menandatanganinya.

Pada Ogos 2018, China telah menyatakan persetujuannya terhadap satu draf yang akhirnya akan menjadi asas kepada penggubalan kod itu.

Schriver berkata walaupun Washington mencurigai motif Beijing yang mengambil bahagian dalam perbincangan itu, Amerika Syarikat percaya bahawa kod tata laku itu boleh menjadi satu mekanisme untuk meningkatkan keselamatan di wilayah yang dipertikaikan itu.

Amerika Syarikat tidak terlibat dalam menggubal kod tata laku itu, katanya.

Washington sering menghantar kapal perangnya berhampiran kawasan yang diduduki China di Laut China Selatan, di mana  perdagangan global bernilai kira-kira $5 trilion melalui kawasan itu setiap tahun. Beijing pula telah membina struktur ketenteraan di tujuh pulau buatan manusia yang didudukinya dalam wilayah yang kaya minyak itu.

Schriver membuat kenyataan itu dua hari selepas Beijing mempamerkan kapal pengangkut pesawat pertama yang dibinanya, Liaoning, semasa satu acara perarakan maritim di luar bandar pelabuhan utara Qingdao. Lebih daripada 30 bot, kapal selam, kapal perang dan hampir 40 pesawat perang mengambil bahagian dalam acara itu, menurut laporan.

Acara itu, yang diadakan sempena ulang tahun ke-70 Tentera Laut China, merupakan sebahagian daripada langkah perhubungan awam utama yang diketuai angkatan tenteranya di tengah-tengah kebimbangan mengenai kegiatan negara itu di Laut China Selatan, lapor Associated Press.

Lebih daripada 12 negara lain turut menghantar kapal-kapal perang masing-masing ke perarakan maritim  itu termasuk Thailand, Australia, Jepun dan Rusia, menurut agensi berita China, Xinhua. Amerika Syarikat tidak menghantar kapalnya ke acara itu.

Dalam ucapannya selepas acara mempamerkan kapal-kapal itu pada Rabu, laksamana tentera laut China, Shen Jinlong,  mengkritik Washington dan sekutunya dengan menyatakan bahawa kebebasan maritim tidak boleh digunakan untuk mencabuli hak negara-negara lain.

"Menghormati peraturan adalah asas kepada pematuhan undang-undang maritim," lapor gensi berita Reuters yang memetik Shen sebagai berkata demikian.

Shen juga menegaskan bahawa China akan meneruskan perbincangannya dengan negara-negara Asia Tenggara mengenai cadangan kod tata laku itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.