Malaysia Gesa Negara Anggota OIC Tangani Ancaman Keganasaan

Melati A. Jalil
2016.09.23
Kuala Lumpur
160923-my-anifah-620.jpg Menteri Luar Malaysia, Anifah Aman memberi gerak isyarat semasa menjawab soalan media pada satu sidang akhbar di Putrajaya, 1 Julai 2014.
AFP

Kerajaan Malaysia menggesa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menangani ancaman keganasan ekstremis melalui perang saraf bagi meyakinkan orang ramai, terutamanya generasi muda, bahawa perbuatan tersebut terpesong daripada ajaran Islam, Menteri Luar Anifah Aman berkata.

Anifah dalam ucapannya di Mesyuarat Penyelarasan Tahunan OIC sesi ke-71 di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu di New York berkata, kumpulan ekstremis seperti Negara Islam (IS) tidak sepatutnya diberi ruang untuk mengeksploitasi situasi yang tidak stabil dan yang bergolak di beberapa negara Islam.

“Tindakan keganasan oleh kumpulan ekstremis itu bertentangan dengan ajaran dan prinsip Islam yang sebenar,

“Sehubungan itu, kita perlu prihatin supaya gologan muda tidak mudah terpedaya dengan ideologi dan pujukan untuk menyertai perjuangan mereka, rayuan itu perlu dihakiskan," kata beliau di New York, pada Khamis.

Anifah menambah untuk berbuat demikian, tumpuan yang perlu dilakukan adalah membina sumber ekonomi yang mampan dan inklusif, yang mampu memberi peluang kepada rakyat di masa hadapan.

“Kita perlu menyebarkan jalan yang betul secara berterusan - bahawa keganasan dan kekejaman yang dilakukan atas nama agama sememangnya tidak boleh diterima langsung dan amat dikesali,” beliau berkata.

Beliau berkata Malaysia telah mengetengahkan kepentingan mengambil pendekatan sederhana atau ‘wasatiyyah’ didalam melawan keganasan oleh puak pelampau, dimana konsep kesederhanaan dalam Islam diamali oleh umat Islam.

Malaysia dan negara-negara lain di Asia Tenggara telah menyuarakan kebimbangan bahawa pengaruh kumpulan pelampau Negara Islam  (IS) semakin meningkat di rantau ini dan menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara.

Kerajaan negara itu juga sedang aktif menahan dan menangkap mereka yang percayai terlibat dalam aktiviti keganasan yang turut melibatkan warga asing.

Menurut para pegawai, memang ada risiko bahawa generasi muda yang beragama Islam dari Malaysia direkrut melalui media sosial untuk menyertai perjuangan IS di Timur Tengah, serta penyokong IS domestik atau ahli IS yang pulang dari pertempuran di Syria atau Iraq, yang sedang berusaha untuk merancang serangan ganas di tanah air.

Baru-baru ini, pihak berkuasa Malaysia juga berkata, mereka telah mematahkan rancangan penyokong IS untuk melancarkan serangan pengganas pada malam Hari Kebangsaan, yang jatuh pada 31 Ogos. Pada akhir bulan Jun, IS mendakwa melakukan serangan pertama di bumi Malaysia apabila lapan orang cedera dalam serangan bom di sebuah kelab malam di Puchong, di pinggir Kuala Lumpur.

Terbaru, Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar berkata tiga warga asing dan seorang lelaki tempatan telah ditahan kerana mereka dipercayai terbabit dalam aktiviti keganasan.

Sejak 2013, Malaysia telah menahan sekurang-kurangnya 230 orang yang disyaki anggota IS dan telah memberi amaran bahawa rakya Malaysia yang kembali dari berjuang di medan pertempuran di Syria atau Iraq, boleh melancarkan keganasan di tanah air.

Sekurang-kurangnya 72 yang didakwa ahli IS telah didakwa di mahkamah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.