AS Setuju ASEAN Penting Untuk Kemakmuran Serantau

Fadzil Aziz
2017.03.24
Kuala Lumpur
170324-my-anifah-1000.jpg Menteri Luar Malaysia Anifah Aman berjabat tangan dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Rex Tillerson ketika bertemu di Jabatan Negara di Washington, 22 Mac, 2017.
[Ihsan Jabatan Negara Amerika Syarikat]

Menteri Luar Malaysia Anifah Aman dengan Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Rex Tillerson bersetuju tentang pentingnya peranan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara [Asean] untuk kestabilan dan kemakmuran serantau, demikian menurut jurucakap Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Anifah bertemu Tillerson di Washington, semasa rangka lawatan kerja dua harinya bagi menghadiri mesyuarat Menteri-Menteri Luar Gabungan Global Menangani ISIS pada Selasa, yang mewakili 68 buah negara yang bekerjasama untuk mengalahkan kumpulan pengganas Negara Islam (IS).

“Setiausaha Jabatan Negara AS dan Menteri Luar Malaysia bersetuju mengenai pemusatan ASEAN untuk  kestabilan dan kemakmuran serantau selain turut berbincang mengenai ‘perkongsian rapat antara Amerika Syarikat dan Malaysia’ termasuk komitmen terhadap Asia-Pasifik,

“Setiausaha tersebut turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Luar atas kerjasama Malaysia dalam usaha menewaskan ISIS dan mengukuhkan keselamatan di rantau ini, termasuk di Laut China Selatan dan menangani provokasi DPRK,” tambah jurucakap itu lagi.

Dalam pada itu, Wisma Putra turut mengeluarkan satu kenyataan berhubung pertemuan pemimpin daripada kedua-dua negara pada Khamis yang antara lain memaklumkn bahawa Tillerson dan Anifah telah membincangkan beberapa isu berkaitan kepentingan bersama kedua-dua negara.

Kenyataan itu menyebut, ‘Pertemuan kali pertama Anifah Aman dan Rex Tillerson berlangsung dalam suasana penuh kemesraan sekaligus terus memupuk hubungan lebih baik dengan Amerika Syarikat di bawah pentadbiran baru Presiden Donald Trump.’

“Antara lain, kedua-dua bertukar pendapat mengenai perkembangan semasa di Laut China Selatan, rantau ASEAN termasuk peranan Malaysia sebagai negara penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-US, keadaan terkini di Semenanjung Korea, komitmen meningkatkan perdagangan dan pelaburan dua hala serta usahasama mencegah dan menentang keganasan,” demikian menurut kenyataan Wisma Putra itu.

Dalam pertemuan tersebut, Anifah juga telah menjelaskan mengenai usaha-usaha Malaysia dalam memerangi penyeludupan manusia dan pemerdagangan orang dengan turut menjemput Tillerson untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia.

Penyeludupan manusia

Isu pemerdagangan manusia bukanlah baru untuk Malaysia apabila negara itu menjadi bahan berita utama selepas Kedah dan Perlis, negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand menjadi jalan masuk sindiket seludup warga Rohingya dan Bangladesh.

Jun lepas, Amerika Syarikat dalam Laporan Pemerdagangan Manusia [TIP] 2016, Jabatan Negara itu menaikkan kedudukan Malaysia dari tahap 3 kepada Tahap 2 dalam Senarai Pemerhatian,  setahun selepas ia terjebak dalam krisis penghijrahan manusia merentasi Asia Tenggara dan penemuan kubur-kubur hutan di kedua-dua belah sempadan Malaysia dan Thailand pada Mei 2015, yang mengandungi mayat-mayat Rohingya Muslim dari Myanmar dan pendatang Bangladesh yang diperdagangkan.

Malaysia sedang mengetatkan undang-undang dan membanteras jenayah pemerdagangan orang dengan menyeru semua pihak memainkan peranan yang lebih penting menyalurkan maklumat kepada pihak penguatkuasaan.

Persidangan sehari menteri-menteri luar itu adalah mesyuarat peringkat tinggi pertama Gabungan Anti-ISIS (atau IS) Global yang diterajui oleh Amerika Syarikat.

Malaysia dan Singapura adalah dua negara dari Asia Tenggara yang menyertai gabungan itu, yang ditubuhkan pada September 2014 oleh pentadbiran Presiden Obama.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.