Gabungan Kumpulan Sivik Desak Mahathir Tetapkan Tarikh Peralihan Kuasa

Hadi Azmi
2019.08.07
Kuala Lumpur, Malaysia
190807-MY-Anwar1000.jpg Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad (kanan) menjulang tangan pemimpin politik kanan Anwar Ibrahim pada kempen pilihan raya kecil di Port Dickson, Malaysia, 8 Oktober 2018.
[AP]

KEMASKINI pada 10 malam waktu tempatan - 2019-07-08

Beberapa kumpulan sivik Malaysia pada Rabu mendesak Perdana Menteri Mahathir Mohamad supaya menetapkan tarikh bagi penyerahan kuasa kepada bekas seterunya Anwar Ibrahim, dan mengingatkan bahawa kegagalan berbuat demikian boleh memecahbelahkan pakatan yang membantu beliau menyandang semula kuasa.

Mahathir, 94, kembali berkuasa selepas mengetuai pakatan pembangkang, Pakatan Harapan (PH), pada ketika itu untuk mencatat kemenangan bersejarah dalam pilihan raya umum Mei 2018 berikutan perjanjian bahawa beliau akan melepaskan jawatan sebagai perdana menteri dalam masa dua hingga tiga tahun dan menyerahkan kepimpinan negara kepada Anwar.

Namun, tuduh menuduh dalam kalangan penyokong Anwar, yang juga presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), parti terbesar dalam PH, dan timbalannya Azmin Ali, menteri ekonomi negara itu, telah membangkitkan persoalan sama ada perjanjian tersebut boleh dilaksanakan.

"Persengketaan dalaman PKR ... menimbulkan kebimbangan dalam kalangan rakyat dan masyarakat antarabangsa kerana ia berpotensi  memecahbelahkan pakatan dan membawa kekacauan politik dalam negara kita,” kata kumpulan sivik itu dalam surat terbuka kepada Mahathir.

Kumpulan tersebut termasuk Bersih 2.0 (Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil), Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) dan Angkatan Belia Islam Malaysia, menuntut satu "rancangan peralihan yang jelas."

"Kami menggesa Tun Mahathir supaya menetapkan tarikh, antara satu tahun dari sekarang hingga 9 Mei 2021, untuk menyerahkan kuasa kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim," kata gabungan kumpulan itu, yang menggunakan gelaran penghormatan untuk kedua-dua ahli politik tersebut.

Walaupun laporan-laporan media menunjukkan tiada tempoh masa yang dinyatakan dalam perjanjian itu, Mahathir sendiri telah beberapa kali berjanji bahawa peralihan kuasa akan berlaku "antara 2 hingga 3 tahun" selepas pilihan raya lalu. Mahathir membuat janji tersebut selepas beliau dan Anwar bersetuju untuk bergabung parti dan mengetuai Pakatan Harapan menentang gabungan Barisan Nasional pada pilihan raya Mei 2018, ketika Anwar masih dipenjarakan bagi persabitan kes liwat.

Anwar, 71, dan Azmin, 54, yang kedua-duanya dianggap sebagai bakal pengganti Mahathir, saling menyerang satu sama lain secara lisan selepas penularan rakaman video yang dikatakan menunjukkan seorang lelaki yang menyerupai Azmin melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki lain di sebuah hotel.

Azmin menafikan dakwaan bahawa beliau lelaki lain dalam video itu.

Sementara itu, Mahathir memberitahu pemberita pada Julai bahawa beliau akan berpegang kepada rancangan yang dipersetujui untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Anwar.

"Saya sudah bersetuju bahawa apabila saya melepaskan jawatan, beliau akan mengambil alihnya sebagai  perdana menteri," kata Mahathir, merujuk kepada Anwar, bekas anak didik yang kemudian menjadi seterunya. "Itu adalah janji saya dan saya berpegang kepada janji itu."

Pemimpin Malaysia itu kini dalam lawatan dua hari sehingga Khamis ke bandar raya Fukuoka, Jepun, kunjungan kedua beliau ke Jepun pada tahun ini, selepas berbuat demikian pada Mei.

Mahathir berjanji demikian selepas beliau dan Anwar bersetuju untuk bergabung parti dan menerajui Pakatan Harapan menentang gabungan Barisan Nasional pada pilihan raya Mei 2018, ketika Anwar masih dipenjarakan bagi persabitan kes liwat. Selepas pilihan raya itu, Anwar dibebaskan dari penjara setelah mendapat pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Persengketaan dalaman PKR berlaku dengan saling melemparkan tuduhan dan kata-kata pedas selepas polis menahan pegawai kanan Anwar kerana disyaki terlibat dalam penyebaran video seks itu.

Di tengah-tengah persengketaan dalaman itu, bekas menteri kabinet Rafidah Aziz pada Rabu menggesa Mahathir supaya meneruskan tadbir urusnya dan "berhenti bercakap tentang peralihan [kuasa]."

"Berhenti bercakap tentang isu ini kerana orang di luar sana - para pelabur, orang yang berpotensi untuk menjadi rakan kongsi perniagaan kita - tidak pasti ke mana arah tuju negara kita," kata Rafidah dalam ucapannya di pusat pentadbiran Putrajaya. "Masalah peralihan telah dikenal pasti sebagai satu daripada punca ketidakpastian."

Surat terbuka daripada kumpulan-kumpulan sivik itu "membuat pengundi berfikir tentang apa yang berlaku kepada janji-janji" yang dibuat oleh Mahathir semasa kempen pilihan raya, kata Azly Rahman, ahli akademik dan penulis pelbagai buku mengenai mengenai hal ehwal politik, sosial dan pendidikan Malaysia, yang berpejabat di Amerika Syarikat kepada BeritaBenar pada Rabu.

"Persoalan yang tidak boleh dijawab kecuali oleh Mahathir sendiri: Siapa yang beliau mahu sebagai penggantinya, yang akan memastikan laluan keluarnya selamat?" kata Azly. "Dan persoalan untuk Anwar adalah: Apalah beliau yang akan dipilih?"

"Di Malaysia, semuanya adalah misteri. Daripada rasa mahu dan kehendak hinggalah kepada mengekalkan dinasti politik," katanya. "Ia bukanlah demokrasi yang sihat."

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.