Malaysia tolak tekanan diplomatik AS untuk namakan Hamas kumpulan pengganas

Washington telah tiga kali meminta Kuala Lumpur mengubah pendirian terhadap Hamas, kata PM Anwar.
Iman Muttaqin Yusof
2023.10.31
Kuala Lumpur
Malaysia tolak tekanan diplomatik AS untuk namakan Hamas kumpulan pengganas Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim semasa berucap pada perhimpunan untuk memberi sokongan kepada rakyat Palestin di Kuala Lumpur, 24 Okt, 2023.
[Vincent Thian/AP]

Amerika Syarikat telah mendesak Malaysia melalui saluran diplomatik untuk melabelkan Hamas sebagai kumpulan pengganas berikutan serangan mautnya pada 7 Okt ke atas Israel, dedah Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Selasa sekali gus memberi amaran bahawa kerajaan pimpinan beliau tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan atau paksaan.

Beberapa minggu selepas serangan itu, Jabatan Negara Amerika Syarikat telah memanggil Duta Besar Malaysia di Washington manakala Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur pula menghantar dua notis tatatindak atau ‘démarche’ kepada Wisma Putra, nama lain bagi Kementerian Luar Negeri, yang menuntut supaya Malaysia mengubah pendiriannya berhubung perlakuan Hamas dan Israel di Semenanjung Gaza, kata Anwar di Parlimen.

“Disebabkan keengganan kita melabel Hamas sebagai organisasi pengganas and menganggap Hamas sebagai pengganas, saya telah menerima maklumat bahawa Kementerian Luar telah menerima ‘démarche’ atau bantahan diplomatik dari Kedutaan AS (di Kuala Lumpur) sebanyak dua kali, pertama kali pada 13 Okt dan kali kedua pada 30 Okt,” katanya semasa berucap di Parlimen pada Selasa.

"Malaysia tidak akan mengubah pendirian kita, khususnya keengganan kita untuk menyifatkan Hamas sebagai kumpulan pengganas.. Malaysia mengekalkan pendirian bebas.“

Démarche adalah representasi pendirian rasmi kerajaan kepada kerajaan lain, menurut Jabatan Negara AS. Démarche itu turut dihantar dengan tujuan untuk memujuk dan kerajaan boleh menggunakan ia sebagai bantahan terhadap tindakan kerajaan asing.

Duta Besar Malaysia di Washington juga telah dipanggil pada 18 Okt oleh Jabatan Negara AS "yang meluahkan kebimbangan mengenai pendirian kita dalam isu Israel-Palestin terutamanya mengenai tindakan Israel di Gaza," kata Anwar.

Anwar adalah antara pemimpin Asia Tenggara yang paling lantang mengutuk pengeboman dan pengepungan Israel di Semenanjung Gaza susulan serangan Hamas. Pada 7 Okt, kumpulan militan itu telah melancarkan serangan roket mengejut dan serbuan darat di selatan Israel dari Gaza di mana orang awam telah dibunuh beramai-ramai, menurut laporan.

Para pegawai di Kedutaan AS di Kuala Lumpur pula tidak memberikan maklum balas segera terhadap permintaan BenarNews untuk mendapatkan komen. Biro BenarNews di Washington juga telah menghubungi Jabatan Negara untuk mendapatkan komen.

Malaysia, satu daripada dua negara majoriti Islam terbesar di Asia Tenggara, telah menjalin hubungan sejak sekian lama dengan Hamas dan tidak mengutuk serangan kumpulan itu pada 7 Okt yang mengorbankan sekurang-kurangnya 1,400 orang, kebanyakannya orang awam, kata laporan.

Sehingga Selasa, lebih 8,000 orang awam Palestin telah terbunuh dalam serangan udara Israel ke atas Gaza yang menyusuli serangan awal Hamas, lapor agensi berita Associated Press.

Tidak jelas sama ada pentadbiran Biden, yang telah menyatakan solidariti teguhnya kepada Israel sejak 7 Okt dan memberi lampu hijau kepada pakej bantuan ketenteraan secara besar-besaran untuk Tel Aviv, bertindak memilih Malaysia atau menyasarkannya sebagai sebahagian daripada usaha diplomatik untuk memperoleh persetujuan negara lain dengan pendirian Washington mengenai krisis di Timur Tengah itu.

AS mendapati ia berada dalam kalangan negara minoriti di pentas dunia dan telah dikritik di peringkat antarabangsa atas tindakannya mengundi menentang resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang menyeru kepada pelaksanaan gencatan senjata demi kemanusiaan di Gaza.

MY-US-pic2.jpg

Penduduk Palestin mencari mangsa yang terselamat berikutan serangan udara Israel di kem pelarian Nusseirat di Semenanjung Gaza, 31 Okt 2023. [Doaa AlBaz/AP]

Anwar berkata pendirian Malaysia mengenai Hamas dan serangan Israel adalah atas dasar perikemanusiaan kerana ia melihat pendudukan Israel di Gaza "sebagai sesuatu yang tidak sah di sisi undang-undang dan norma antarabangsa."

“Konflik ini tidak bermula hanya sebulan yang lalu; ia telah berlangsung selama beberapa dekad, sejak 1998.

"Oleh itu, untuk membenarkan semua tindakan keganasan, pencerobohan dan penjajahan Israel ke atas wilayah Arab dan Palestin adalah tidak munasabah,” kata PM Malaysia itu.

Banyak negara lain turut mengutuk serangan balas tentera Israel ke atas enklaf Palestin yang mempunyai penduduk padat dan mendakwa negara Yahudi itu telah melanggar undang-undang antarabangsa melalui pengepungan terhadap Gaza serta pengeboman udara dan meranapkan kawasan kejiranan dalam perangnya terhadap Hamas.

‘Hubungan yang sudah sekian lama terjalin’ dengan Hamas

Rakyat Malaysia sejak beberapa minggu lalu telah menyatakan solidariti bersama rakyat Palestin melalui tujuh perhimpunan di seluruh negara, termasuk yang dihadiri Anwar bersama 20,000 orang. Kementerian Pendidikan negara itu juga telah melancarkan Minggu Solidariti Palestin di sekolah dari 29 Okt hingga 3 Nov.

Malaysia dan rakyatnya sudah lama menyokong Hamas dengan lantang dan ini menyebabkan mereka berprofil tinggi, kata penganalisis kepada BenarNews.

Malaysia telah menjadi tuan rumah kepada pemimpin Hamas Khalid Mashal dan Ismail Haniyeh, kata Julia Roknifard dari Pusat Pengajian Politik, Sejarah dan Hubungan Antarabangsa di Universiti Nottingham.

"Saya pasti ia selari dengan hubungan yang telah terjalin sejak sekian ini yang menyebabkan kerajaan negara itu enggan mengecam Hamas secara terbuka,” katanya kepada BenarNews.

Mengenai nota bantahan yang diterima oleh kerajaan Malaysia, Rocknifard berpandangan tindakan sedemikian adalah amalan biasa.

“Ia tidak bermakna akan membawa kepada apa-apa tindakan lanjut. Jika ia disusuli dengan sebarang bentuk sekatan, itu adalah perkara berlainan. Tidak salah bagi Malaysia untuk kekal dengan pendiriannya berhubung isu Palestin,” katanya.

MY-US-pic3.jpg

Peserta memegang bendera Palestin pada perhimpunan solidariti di Kuala Lumpur, 28 Okt 2023. [S. Mahfuz/BenarNews]

Seorang lagi penganalisis, Tunku Mohar Mokhtar yang merupakan profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata Hamas dan rejim Israel dianggap sebagai pengganas oleh negara yang berbeza.

“Bagi Malaysia, [Hamas] adalah pejuang pembebasan, bukan pengganas. Malaysia berhubung secara rasmi dengan Hamas walaupun mempunyai hubungan diplomatik rasmi dengan pihak Palestin,” kata beliau kepada BenarNews.

Jelas sekali, AS dan Malaysia memiliki pendirian yang bertentangan mengenai konflik ini.”

Presiden Indonesia ‘berang’

Sementara itu, Anwar, seperti pemimpin Indonesia dan Singapura, telah mendesak agar gencatan senjata dilaksanakan dalam konflik Israel-Hamas.

Pada Isnin, Presiden Indonesia Joko “Jokowi” Widodo berkata kerajaannya amat marah dengan situasi kemanusiaan yang semakin memburuk di Gaza serta mengutuk serangan Israel ke atas orang awam dan infrastruktur di sana.

“Indonesia berang dengan situasi yang semakin memburuk di Gaza, terutama membabitkan situasi kemanusiaan di sana,” menurutnya dalam satu kenyataan.

“Pendirian Indonesia sangat jelas dan tegas dalam mengutuk serangan Israel ke atas orang ramai dan kemudahan awam di Gaza.”

Beliau turut menegaskan bahawa keganasan di Palestin perlu dihentikan serta-merta dengan melaksanakan gencatan senjata antara Israel dan Hamas.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada Isnin menolak idea melaksanakan gencatan senjata di Gaza.

“Gesaan agar gencatan senjata dilaksanakan adalah umpama gesaan agar Israel tunduk kepada Hamas, tunduk kepada keganasan,” kata beliau seperti yang dipetik oleh beberapa agensi berita.

Pembebasan beberapa pekerja warga Thailand

Sementara itu di Asia Tenggara, Menteri Luar Thailand telah berlepas ke Qatar dan Mesir untuk meminta bantuan bagi membebaskan 22 pekerja rakyat negara itu yang telah ditawan oleh Hamas sejak 7 Okt lepas.

Parnpree Bahiddha-Nakara dijadual bertemu Perdana Menteri dan Menteri Luar Qatar di Doha pada Selasa, demikian menurut Kementerian Luar Thailand. Satu perjumpaan dengan Menteri Hal Ehwal Luar Mesir di Kaherah turut dijadualkan pada Rabu.

“Kami berhasrat mahu membebaskan mereka secepat mungkin. Bagaimanapun, tiada siapa tahu di mana mereka berada, di negara mana? Di dalam atau di luar Semenanjung Gaza?” kata Parnpree kepada pemberita sebelum beliau berlepas.

“Kerajaan Thailand telah membuka pintu rundingan di semua saluran sedia ada yang boleh menghubungi Hamas untuk pembebasan mereka.”

Setakat ini, pihak berkuasa Thailand berkata sejumlah 32 pekerja warga negara itu telah maut di zon konflik manakala 19 lagi cedera.

Perdana Menteri Srettha Thavisin memberi amaran bahawa keadaan masih tidak menentu dan beliau meminta kesemua pekerja Thailand yang berjumlah hampir 30,000 orang kembali ke tanah air.

“Bahaya semakin menghampiri dan kami mengesahkan bahawa kami mahu semua saudara dan saudari rakyat Thailand kembali ke tanah air,” katanya sambil menambah bahawa mereka berhak menerima pampasan sebanyak 50,000 baht serta akses kepada pinjaman 150,000-baht selepas pulang ke Thailand.

Wang merupakan faktor penentu bagi sesetengah pekerja seperti Anant Navasima dari wilayah Udon Thani.

“Saya masih di sini kerana di mana saya berada adalah tenang, tidak terjejas akibat peperangan itu. Saya mempunyai bebanan hutang yang menimbun bagi mengatur perjalanan untuk saya bekerja di Israel ini namun saya harus menyelesaikannya dalam tempoh setahun,” kata lelaki berusia 31 tahun itu kepada BenarNews melalui mesej teks dari sebuah ladang laici di Moshav Almagor yang terletak di utara Israel.

“Ayah dan ibu bimbangkan saya tetapi saya harus bertahan. …Apabila perang tamat, saya akan pulang.”

Pihak berkuasa Thailand berkata hampir 8,000 pekerja sudah pulang ke tanah air manakala kira-kira 22,000 orang masih kekal di Israel.

Iskandar Zulkarnian di Kuala Lumpur dan Nontarat Phaicharoen di Bangkok turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Komen

Jeffery Koh, Malaysia
Nov 10, 2023 08:00 PM

Rakyat Malaysia tidak menyokong Hamas. Hamas sememangnya kumpulan pengganas.
Serangan pengganas tidak boleh dilakukan terhadap sesiapa sahaja.

Pendapat Perdana Menteri Malasia, Anwar Ibrahim adalah idea beliau sendiri,.

Kami berdoa untuk keamanan di Timur Tengah dan pertaubatan serta perdamaian semua etnik di Timur Tengah.