Anwar Akan Jalani Pembedahan Bahu Di HKL

Hata Wahari
2017.11.07
Kuala Lumpur
171107-my-anwar-620.jpg Penyokong bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkumpul sempena perarakan “Anwar 1,000 Hari di Penjara” di Kuala Lumpur, 6 Nov, 2017.
(Ihsan Parti Keadilan Rakyat)

Bekas Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim yang kini sedang menjalani hukuman penjara lima tahun  akan menjalani pembedahan bahu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Sabtu ini, demikian menurut seorang anggota keluarganya pada Selasa.

Anaknya, Nurul Nuha memberitahu, Anwar akan mula dimasukkan ke Hospital  Kuala Lumpur pada Rabu sebelum menjalani pembedahan pada Sabtu untuk merawat kecederaan di bahu kanan.

“Kecederaan pada bahu kanan semakin teruk akibat kemalangan yang melibatkan kenderaan Jabatan Penjara pada September lepas,” katanya kepada sidang media di kediaman keluarga mereka di Kuala Lumpur.

Jelasnya, pada 31 Oktober tahun ini , anggota keluarga dan Anwar sendiri telah bertemu serta berunding dengan doktor-doktor di HKL mengenai pembedahan tersebut.

“Anwar Ibrahim telah bersetuju untuk meneruskan pembedahan itu,” kata Nurul Nuha anak kepada Ketua Umum Pakatan Harapan dari Parti Keadilan Rakyat [PKR] yang sedang menjalani hukuman penjara kedua di Penjara Sungai Buloh, bagi tempoh lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pada 22 September lalu, kenderaan Jabatan Penjara yang membawa Anwar dari HKL ke Penjara Sungai Buloh telah terlibat di dalam satu kemalangan jalanraya.

Kemalangan ini telah memburukkan lagi kecederaan-kecederaan yang dialami Anwar di bahu kanan, leher, dan bahagian pinggang beliau, yang menyebabkan beliau berada di dalam kesakitan sejak kemalangan tersebut.

Menurut peguam-peguam Ketua Pembangkang de facto itu,  Anwar cuma diberi suntikan dan ubat penahan sakit dan menyifatkan kelewatan doktor yang menjaga keperluan perubatan terhadap Anwar sebagai sesuatu yang tidak munasabah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan baru-baru ini, peguam Anwar yang terdiri daripada Sivarasa Rasiah, N Surendran dan Latheefa Koya berkata, hanya selepas tiga hari, selepas Anwar mengalami kesakitan yang teruk dan ketidakselesaan, barulah beliau dibawa ke HKL.

"Kami amat terkejut dengan kelewatan yang tidak patut dan tanpa penjelasan, yang mungkin telah menyebabkan kesihatan anak guam kami menjadi semakin buruk," kata mereka.

Dakwa mereka, Dr Jeyaindran, doktor yang ditugaskan oleh Menteri Kesihatan untuk mengawasi keperluan perubatan anak guam mereka, telah gagal memberi arahan supaya anak guam mereka diberi rawatan perubatan yang sepatutnya di HKL.

Pada Februari 2015, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun terhadap Anwar selepas Mahkamah Rayuan pada Mac 2014  menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat pada 2008, bahawa Anwar tidak bersalah dan mengenakan hukuman penjara lima tahun di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan.

Isnin, merupakan hari ke-1,000 Anwar dipenjara.  Ahli Parlimen ASEAN bagi Hak Asasi Manusia (APHR) menggesa agar beliau dibebaskan sambil menegaskan pemenjaraan  bekas ketua pembangkang itu merupakan tindakan kerajaan untuk menyekat kebebasan bersuara di Malaysia.

Ahli Parlimen dari Filipina Teddy Baquilat, yang merupakan seorang ahli APHR dalam kenyataan menegaskan  bahawa Anwar harus dibebaskan dengan segera.

“Sejak dari permulaan kes Anwar, ia merupakan kes untuk menutup mulut pembangkang dan menjadikan lebih sukar untuk mencabar kedudukan kerajaan yang memerintah,  ini merupakan  langkah yang sedang berlaku di keseluruhan rantau ini dan ia memberi amaran bahawa keadaan yang lebih sukar pada masa hadapan berkaitan hak asasi di ASEAN,” katanya.

Pembedahan rumit

Nurul Nuha pada Selasa turut memberitahu, pembedahan yang akan dijalani oleh bapanya adalah rumit dan penjagaan selepas pembedahan yang betul amat diperlukan.

Beliau meminta kerajaan memberi jaminan bahawa semua rawatan perubatan yang diperlukan oleh Anwar akan diberi tanpa sebarang campurtangan.

“Anwar juga perlu diberi akses sepenuhnya kepada kemudahan pemulihan di hospital, memandangkan akses kepada kemudahan untuk penjagaan selepas pembedahan di Penjara Sungai Buloh sangat terhad,” kata beliau.

Nurul Nuha juga mahu kerajaan membenarkan badan hak asasi manusia bertemu bekas Timbalan Perdana Menteri itu untuk memantau keadaan sepanjang pembedahan dan pemulihan selepas pembedahan.

Beliau memberitahu, sejak pemenjaraan Anwar pada tahun 2015, kecederaan yang dialaminya  bertambah teruk, dan pada September 2015 Anwar mula mengadu tentang kecederaan yang mengakibatkan kesakitan berterusan.

“Doktor-doktor pakar pada ketika itu mencadangkan beliau menjalani pembedahan untuk mengurangkan kesakitan ini. Beberapa pilihan telah dicadangkan, dari rawatan konservatif dengan penggunaan ubat steroid, fisioterapi dan pengurusan kesakitan, ke pembedahan 'arthroscopic' untuk pembaikpulihan 'rotator cuff' di bahu, ke pembedahan yang lebih invasif dan berisiko lebih tinggi iaitu pembedahan penggantian bahu,” kata Nurul Nuha.

Beliau menambah, Georgetown University di Amerika Syarikat pada waktu itu telah menawarkan  untuk menjalankan pembedahan di Amerika Syarikat, dan keluarga Anwar telah menerima cadangan tersebut.

“Malangnya, Kerajaan Malaysia enggan memberi kebenaran kepadanya untuk meninggalkan negara bagi pembedahan di sana dan bertegas bahawa pembedahan tersebut perlu dilakukan di sini,” katanya lagi.

Nurul Nuha berkata, anggota keluarganya risau dengan tahap kesihatan dan keselamatan Anwar kerana pembedahan tersebut mempunyai risiko tinggi ketika keadaan kesihatannya semakin buruk.  

Bekas ketua pembangkang itu tidak boleh mencabar Perdana Menteri Najib Razak dalam pilihan raya umum yang dijadualkan pada pertengahan 2018 kerana undang-undang Malaysia membatalkan kelayakan seseorang yang telah disabit kesalahan oleh Mahkamah untuk bertanding.

Anwar dibebaskan pada 2004 daripada tuduhan meliwat yang difailkan pada tahun 1998. Beliau mendakwa bahawa beliau telah diperangkap oleh parti UMNO yang diketuai pada masa itu oleh bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Para pemimpin kerajaan dan parti UMNO telah menafikan dakwaan Anwar itu.

Mahathir telah meninggalkan UMNO, dan menyertai Anwar, mengkritik kepimpinan Najib yang diselubungi skandal rasuah dan salah guna kuasa.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.