Pengundi Port Dickson Tentukan Nasib Anwar Ibrahim

Lex Radz
2018.10.12
Port Dickson, Malaysia
181012-MY-Anwar1000.jpg Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berucap dalam satu daripada kempen pilihan raya kecil di Port Dickson, Negeri Sembilan, Malaysia, 12 Okt 2018.
[Lex Radz/BeritaBenar]

Pengundi di kawasan pilihan raya kecil Parlimen Port Dickson pada Sabtu, akan menentukan nasib bekas ketua pembangkang Anwar Ibrahim untuk kembali ke Parlimen serta memberi laluan kepada pemimpin itu untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kelapan.
Ahli politik veteran berusia 71 tahun itu, yang pernah menjadi timbalan perdana menteri, bakal berdepan tujuh calon lain termasuk bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mendakwa telah diliwat oleh Anwar pada 2008.

Selepas menjalani hukuman penjara lebih dua tahun sebelum dibebaskan setelah mendapat pengampunan diraja, kembalinya Anwar ke Parlimen akan membolehkan pemimpin berkenaan menggerakkan kerjaya politik beliau untuk peringkat seterusnya.

Tidak dapat bertanding pada pilihan raya paling bersejarah bagi Malaysia Mei lalu, Anwar perlu merangkul majoriti yang baik untuk mempertahankan kemenangan Pakatan Harapan [PH] semasa pilihan raya kecil di kawasan Parlimen Port Dickson, sebuah bandar pesisir yang popular di Negeri Sembilan, kira-kira 100 kilometer [62 batu] dari Kuala Lumpur, pada Sabtu ini.

Kawasan Parlimen Port Dickson, yang diisytihar sebagai Bandar Tentera Darat oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak pada 2009, mempunyai 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus kaum Cina, 22 peratus India dan lain-lain sebanyak dua peratus daripada sejumlah 77,750 pengundi Port Dickson.

Pilihan raya kecil itu diadakan selepas penyandangnya, Danyal Balagopal Abdullah dari Parti Keadilan Rakyat [PKR] - sebahagian daripada kerajaan baharu PH, meletak jawatan sebagai Anggota Parlimen pada 12 Sept untuk memberi laluan kepada Anwar, yang juga presiden parti itu, bertanding.

Port Dickson bukanlah kawasan Anwar kerana beliau sebelum ini adalah Anggota Parlimen Permatang Pauh selama empat penggal dari 1982 hingga 1995 ketika masih bersama UMNO dan dua penggal mewakili PKR mulai 2008 hingga 2015.

Beliau telah memberi jaminan tidak akan meninggalkan para penyokongnya di Permatang Pauh selepas menjadi Perdana Menteri dengan berkata “semasa jadi Perdana Menteri kelak, saya bukan saja jaga Port Dickson dan Permatang Pauh, malah seluruh negara ini."

Anwar telah dinamakan oleh Pakatan Harapan sebagai Perdana Menteri Malaysia selepas Mahathir Mohamad, seperti yang terkandung dalam manifesto parti gabungan itu bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 pada Mei lepas.

Walaupun bakal menjadi perdana menteri seterusnya, Anwar memerlukan kerusi Parlimen untuk mengesahkan tempatnya ke jawatan tersebut, sekiranya Mahathir memberi ruang kepada bekas timbalan perdana menterinya itu seperti yang dijanjikan.

Tinjauan IDE

Institusi pemikiran penyelidikan Selangor, Institut Darul Ehsan (IDE),  pada Khamis mengumumkan bahawa dua tinjauan yang dilakukannya dari 28 hingga 30 Sept dan 8 hingga 9 Okt membabitkan sejumlah 1,084 pengundi Port Dickson menunjukkan bahawa Anwar mendapat sokongan lebih 70 peratus.

Sementara itu, calon PAS, Mohd Nazari Mokhtar, dan bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Isa Samad, masing-masing ketinggalan dengan 11 peratus dan 10 peratus manakala tiga calon bebas, bekas pensyarah Lau Seck Yan, personaliti media sosial Stevie Chan Keng Leong serta pakar perunding pengurusan Kan Chee Yuen pula hanya mendapat kira-kira satu peratus sokongan.

Bagaimanapun, menurut Timbalan Pengerusi IDE, Mohammad Redzuan Othman yang mengumumkan keputusan tinjauan itu, Mohd Saiful Bukhari –  yang menyebabkan Anwar dihukum penjara pada 2015 - tidak menerima sebarang sokongan.

UMNO, parti pembangkang terbesar bagaimanapun telah memutuskan untuk memboikot pilihan raya berkenaan dengan membenarkan parti pembangkang PAS bertanding menentang Anwar.

Semasa kempennya, Anwar berjanji untuk memberi wajah baharu kepada pantai Port Dickson dengan membersihkan kawasan itu dan menjadikan bandar berkenaan sebagai tarikan pelancongan antarabangsa dalam usaha meningkatkan ekonomi tempatan.

"Saya memilih Port Dickson kerana saya mahu tempat ini dibangunkan," katanya kepada orang ramai dalam hampir semua ceramah, lawatan dan pertemuan dengan penduduk tempatan.

Sementara itu, penduduk tempatan menyukai Anwar kerana gayanya yang “charming atau menawan,”  termasuk menari dengan pengundi India, bergurau senda dan memanggil pengundi Cina sebagai keluarga serta mengutip sampah sarap di tepi pantai sejak beliau mula kempen 12 hari lepas.

L. Rama, 28, dari bandar Port Dickson, terkejut apabila melihat betapa mudahnya Anwar beramah mesra dengan penduduk tempatan semasa berkempen.

"Dia (Anwar) datang dan bercakap dengan para pengundi dengan mudah, dia bercakap dalam bahasa Cina, menari dengan orang India bahkan bersolat di surau-surau kecil setiap hari tanpa menunjukkan yang beliau adalah seorang VIP. Beliau berada di sini sejak beberapa hari lalu, " katanya kepada BeritaBenar selepas Anwar melawat Taman PD Utama pada Khamis.

Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia telah menetapkan 13 Okt sebagai tarikh mengundi dengan pengundian awal - dikhaskan kepada anggota Tentera dan Polis, pada 9 Okt.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.