Anwar serta Kabinetnya setuju potong gaji 20 peratus

Potongan gaji itu hanya isyarat simbolik kerana ramai orang tahu Menteri kaya raya dan tidak bergantung kepada gaji kerajaan, kata penganalisis.
Iman Muttaqin Yusof & Nisha David
2022.12.05
Kuala Lumpur
Anwar serta Kabinetnya setuju potong gaji 20 peratus Perdana Menteri Anwar Ibrahim diikuti dua Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof semasa mahu menghadiri sidang media di Pejabat Perdana Menteri, di Putrajaya, 5 Disember, 2022.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Perdana Menteri Malaysia Anwar Ibrahim pada Isnin mengumumkan bahawa Jemaah Menteri telah bersetuju untuk mengambil potongan gaji 20 peratus sehingga Malaysia pulih daripada inflasi yang tinggi dan kelembapan pertumbuhan ekonomi.

Selepas mesyuarat khas Kabinet, Anwar, yang juga memegang portfolio Kementerian Kewangan berkata beliau menghargai pengorbanan Jemaah Menteri, yang menunjukkan keprihatinan mereka terhadap kesejahteraan rakyat.

“Kabinet sebulat suara bersetuju untuk memotong gaji sebanyak 20 peratus selagi ekonomi terus lembap dan merosot, dan ini adalah ikrar saya ketika berkempen pada PRU15,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas pertama Kabinet Kerajaan Perpaduan di Putrajaya pada Isnin.

“Jika ekonomi pulih [dalam tempoh] tiga tahun, kita akan kaji semula… pemotongan gaji ini memang tidak wajar, tetapi saya berterima kasih ke atas kesediaan mereka [Jemaah Menteri] melakukan pengorbanan ini,” katanya sambil mengulangi komitmen kempennya untuk tidak menerima gaji perdana menteri selepas menjadi PM.

Menurut Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 yang terkini, gaji bulanan Perdana Menteri ialah RM22,826.65, manakala Timbalan Perdana Menteri akan menerima RM18,168.15. Menteri pula akan mendapat gaji sebanyak RM14,907.20 sebulan.

Jumaat lalu, Anwar mengumumkan barisan Jemaah Menteri yang dianggotai 28 menteri termasuk dua Timbalan Perdana Menteri, sembilan hari selepas beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.

Anwar turut menamakan dirinya sebagai Menteri Kewangan, jawatan yang pernah disandang beliau pada tahun 1991, semasa di bawah pentadbiran pertama bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Simbolik

Penganalisis politik menyifatkan kesediaan pemotongan gaji itu hanya sebagai simbolik semata-mata kerana ia tidak akan memberi kesan terhadap ekonomi negara.

“Itu hanya isyarat simbolik kerana ramai orang tahu bahawa kebanyakan Menteri kaya raya dan tidak bergantung kepada gaji kerajaan mereka,” kata Azmil Mohd Tayeb, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia kepada BenarNews.

Azmil berkata ujian yang sebenar adalah sekiranya menteri-menteri ini dapat menggubal dasar yang berorientasikan rakyat dan tidak memihak kepada golongan kaya dan berkuasa.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura turut bersetuju bahawa pemotongan gaji ini tidak akan mempunyai kesan terhadap kelangsungan hidup rakyat Malaysia yang terus terperangkap dalam pembaziran birokrasi dan kebocoran.

“Apakah hasil pemotongan gaji menteri sebanyak 20 peratus akan memberi penjimatan besar perbelanjaan kerajaan, yang mencecah ratusan bilion?,” soal Oh semasa bercakap kepada BenarNews.

Selain itu, kata penganalisis berkenaan, Anwar perlu menentukan kriteria untuk melepaskan portfolio kewangannya, terutama sekali selepas ekonomi negara semakin stabil.

Tambah beliau, hal ini kerana, sebahagian rakyat Malaysia tidak bersetuju Anwar sebagai Perdana Menteri memegang satu lagi portfolio – Menteri Kewangan – yang disifatkan oleh ramai pihak sebagai amalan yang boleh membawa kepada pemusatan kuasa dan penyelewangan berskala besar seperti yang berlaku dalam kes 1MDB sebelum ini.

Sesuai waktu sekarang

Sementara itu, Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli pada Isnin berkata perlantikan Anwar sebagai Menteri Kewangan adalah sesuai untuk situasi pembentukan kerajaan ketika ini.

Timbalan Presiden PKR itu yang sebelum ini berpendirian jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan perlu diasingkan berkata, perlantikan itu dibuat selepas mengambil kira pembetukan kerajaan yang luar biasa, yang mana tiada parti atau gabungan yang berjaya membentuk kerajaan selepas PRU15.

"Oleh kerana keadaan luar biasa, keputusan itu sesuai buat masa sekarang.

"Senang Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan supaya ia tidak timbul isu gabungan yang berbeza," katanya pada sidang media pertama sebagai Menteri Ekonomi.

Bagaimanapun, kata Rafizi pendiriannya masih tetap sama dalam isu itu.

"Dalam keadaan sekarang yang mana ekonomi berada dalam situasi mencabar turut berkehendakkan Perdana Menteri menjawat jawatan Menteri Kewangan.

"Bagaimanapun, secara ideal bagi saya jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan patut dipisahkan dan saya kekal dengan pendirian itu," katanya.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu, blok Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar memenangi kerusi Parlimen terbanyak iaitu 82 kerusi tetapi tidak mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Bagi menyelesaikan Parlimen tergantung itu, yang mana tiada satu parti atau gabungan yang mampu membentuk kerajaan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah telah mencadangkan supaya sebuah Kerajaan Perpaduan dibentuk, di mana dua lagi blok parti politik iaitu Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersetuju menyertai PH untuk membentuk kerajaan.

BN diterajui oleh Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang sebelum ini mengetuai kerajaan, hanya memenangi 30 daripada 222 kerusi Parlimen dalam pilihan raya terbaharu.

Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, telah memainkan peranan penting dalam membawa blok BN pimpinannya untuk bekerjasama dengan PH dan membentuk Kerajaan Perpaduan. Ahmad Zahid turut dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Ahmad Zahid bagaimanapun sedang berdepan dengan 47 pertuduhan jenayah membabitkan penyelewengan wang berjumlah RM52.25 juta (AS$11.42 juta) daripada sebuah yayasan yang ditubuhkan oleh keluarganya bagi membantu orang susah.

Pada perbicaraan kes itu, Ahmad Zahid didakwa menggunakan wang tersebut untuk membayar kad kredit dan ansuran kenderaan miliknya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.