Follow us

Anwar Masuk HKL Akibat Masalah Denyutan Jantung

S. Mahfuz
Kuala Lumpur
2018-03-05
E-mel
Komen
Kongsi
  • Kongsi
  • Komen
  • E-mel
180305-my-anwar1000.jpg
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat Anwar Ibrahim memberikan ucapan ketika berkempen untuk partinya pada acara “Langkah Kajang” di Kajang, Selangor, 5 Feb, 2014.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Pemimpin pembangkang de facto, Anwar Ibrahim, yang dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada awal pagi Isnin ekoran masalah denyutan jantung rendah kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan dibenarkan keluar dari Unit Rawatan Koronari (CCU) hospital berkenaan.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Fahmi Fadzil berkata, Ketua Umum parti itu, dihantar ke CCU HKL pada jam 1 pagi Isnin selepas kadar denyutan jantung beliau berada pada tahap rendah,  akibat reaksi negatif suntikan steroid untuk kesakitan bahunya selepas menjalani pembedahan baru-baru ini.

“Anwar kini telah kembali ke Hospital Rehabilitasi di Cheras [Kuala Lumpur] untuk terus dipantau doktor serta meneruskan fisioterapi untuk membaikpulih bahu kanan beliau,” kata Fahmi dalam satu kenyataan yang dikeluarkan lewat malam Isnin.

Sebelum itu, Fahmi berkata, suntikan steroid telah diberi kepada Anwar pada Sabtu lalu, apabila pemimpin pembangkang berkenaan mengadu kesakitan di bahu kanannya itu selepas pembedahan beberapa bulan lepas.

"Kadar denyutan jantung beliau rendah dan membimbangkan. Walau bagaimanapun, Keadilan difahamkan keadaan beliau kini stabil,” katanya dalam kenyataan awal petang Isnin.

Fahmi juga menambah PKR dan ahli keluarga bekas ketua pembangkang itu memohon semua pihak mendoakan keselamatan dan kesihatan beliau.

“Maklumat tahap kesihatan Anwar terkini akan disampaikan dari semasa ke semasa,” katanya.

Anwar, 70, telah menjalani pembedahan di bahu kanannya di Hospital Kuala Lumpur pada 12 November lalu, selepas mengalami kesakitan yang berterusan, sehingga menjadi lebih teruk selepas kemalangan jalan raya pada 22 Sept lepas.

Kejadian itu berlaku semasa beliau dibawa ke Penjara Sungai Buluh selepas mendapatkan rawatan di hospital kerajaan. Kerajaan Malaysia, sebelum ini, telah menyatakan bahawa pemimpin pembangkang itu akan diberikan rawatan yang sewajarnya.

Anwar, pengasas parti pembangkang PKR, kini menjalani hukuman penjara selepas disabit kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. Mahkamah Tinggi kemudian membebaskannya pada tahun 2012 tetapi Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadapnya pada 2014.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Sungai Buloh atas sabitan kes liwat yang kedua selepas beliau dibebaskan pada 2004 atas pertuduhan yang difailkan pada tahun 1998.

Anwar mendakwa telah diperangkap oleh parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO), yang diketuai oleh  Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada masa itu. Perdana Menteri Najib Razak kini memimpin UMNO dan menjadi presiden blok parti yang memerintah Malaysia sejak kemerdekaan pada 1957.

Para pemimpin kerajaan dan parti UMNO telah menafikan dakwaan Anwar itu.

Mahathir telah meninggalkan UMNO, dan menyertai Anwar, dengan kedua-dua pemimpin itu menyingkirkan perbezaan mereka dan bersetuju membentuk satu pakatan pembangkang yang dipanggil Pakatan Harapan dengan Anwar dilantik sebagai ketua de fakto.  Kedua-dua pemimpin itu bersatu untuk mengkritik kepimpinan Najib yang diselubungi skandal rasuah dan salah guna kuasa.

Pada Januari, konvensyen Pakatan Harapan telah memilih Mahathir sebagai calon harapan perdana menteri.

Sekiranya Pakatan Harapan memenangi pilihan raya itu, Mahathir akan menyandang jawatan perdana menteri ke-7 bagi membentang laluan kepada musuh lamanya Anwar, untuk mengambil alih jawatan itu sekiranya bekas timbalan perdana menteri itu diberikan pengampunan diraja untuk sabitan kes liwat.

Tanpa pengampunan itu, Anwar akan dihalang daripada berpolitik selama lima tahun.

Anwar yang pernah memegang jawatan timbalan perdana menteri Malaysia dijangka akan dibebaskan pada 8 Jun menurut Jabatan Penjara.


Lihat Laman Penuh