Permohonan Anwar Untuk Merapatkan Silatulrahim Dengan Ahli Keluarga Ditolak

Hata Wahari
2017.03.10
Kuala Lumpur
170310-my-anwar-620.jpg Anwar Ibrahim ketika dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, 10 Mac 2017.
[Ihsan Suara Keadilan PKR]

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat menolak permohonan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Pengarah Penjara Sungai Buloh yang tidak membenarkan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim menunjukkan kasih sayang terhadap ahli keluarganya semasa lawatan dalam tempoh beliau dipenjarakan.

Hakim Nik Hasmat Nik Mohamad yang menolak permohonan itu berkata, mahkamah tidak boleh campurtangan dalam urusan serta membuat keputusan kepada Pengarah Penjara Sungai Buloh kerana ia adalah atas budi bicara pihak penjara.

Anwar kini sedang menjalani hukuman penjara yang kedua di Penjara Sungai Buloh, untuk tempoh lima tahun atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Pemimpin pembangkang itu sudah 24 bulan berada di penjara berkenaan manakala hukuman penjara terdahulu selama enam tahun atas pertuduhan yang sama adalah pada tahun 1998.

Peguam Anwar, N. Surendran ketika ditemui selepas keputusan itu berkata anak guamnya akan membuat rayuan terhadap keputusan berkenaan di Mahkamah Rayuan.

Anwar, melalui peguamnya bertarikh 2 Mac tahun lepas memohon kepada pihak penjara untuk dibenarkan menunjukkan kasih sayangnya terhadap ahli keluarga, namun, pada 14 Mac tahun yang sama, permohonan itu ditolak oleh Pengarah Penjara Sungai Buloh.

Sehubungan itu, Anwar memfailkan semakan kehakiman pada Mei tahun lalu dan ia diperdengarkan oleh mahkamah tersebut.

Selain Anwar, 69, turut bertindak sebagai pemohon adalah isterinya Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan empat anak perempuan mereka serta empat cucu mereka.

Mereka menamakan Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden.

Mereka memohon agar perintah yang dikeluarkan oleh pengarah penjara berkenaan pada 14 Mac tahun lepas itu dibatalkan.

"Mahkamah juga menerima surat dari Penjara Penjara Sungai Buloh bahawa mereka bersedia untuk mempertimbangkan berdasarkan kes demi kes dan mahkamah lazimnya tidak akan campur tangan dengan badan membuat keputusan atau badan tribunal, melainkan jika ia jelas satu tindakan mala fide (berniat jahat),” kata Nik Hasmat.

Beliau berkata, pengarah penjara hanya menggunakan kuasa budi bicaranya untuk membuat keputusan itu dan beliau tidak mempunyai tanggungjawab statut untuk memberikan alasan mengapa memutuskan demikian.

"Hakikatnya pemohon adalah seorang banduan dan beliau tertakluk kepada Arahan Tetap oleh Ketua Pengarah Penjara,”tambah Nik Hasmat.

Hakim itu juga mengarahkan keluarga Anwar untuk membayar kos nominal sebanyak RM1,000 kepada Jabatan Penjara.

Perlukan kasih sayang

Ketua Pembangkang Wan Azizah dalam reaksi segeranya terhadap keputusan mahkamah itu memberitahu, beliau faham dengan keputusan hakim tetapi menegaskan, bahawa keputusan berkenaan menjejaskan keluarganya terutama cucu-cucu beliau yang masih memerlukan belaian dan serta kasih sayang seorang datuk.

"Keluarga kami melihat halangan untuk sentuhan fizikal (di antara Anwar dan ahli keluarganya) merupakan cubaan untuk menafikan hak kami. Kami rasa perlu untuk membantah dan kami kalah; seperti saya tegaskan, ia menjejaskan hak ahli keluarga kami yang paling kecil iaitu cucu-cucu kami,” katanya kepada BeritaBenar pada Jumaat.

Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan bertindak bagi pihak responden.

Surendran ketika ditemui menegaskan, beliau yakin kes ini akan berpihak kepada Anwar apabila rayuan di buat di Mahkamah Rayuan nanti.

“Kami akan  membuat rayuan secepat mungkin kerana alasan penghakiman adalah atas budi bicara Pengarah Penjara Sungai Buloh,” katanya.

Jelasnya, kes semakan kehakiman ini merupakan kes pertama yang difailkan oleh mana-mana pesalah yang sedang menjalani hukuman penjara di seluruh negara.

Beliau juga menggesa Kementerian Dalam Negeri agar mempertimbangkan untuk menghapuskan sistem lawatan yang hanya membolehkan pelawat bercakap dengan pesalah di penjara melalui telefon yang dipisahkan dengan cermin.

Pada Mac 2015, Lembaga Pengampunan menolak petisyen Anwar untuk mendapatkan pengampunan Diraja, tetapi pada Jun tahun yang sama, Anwar, isterinya Wan Azizah dan dua anak perempuan mereka, Nurul Izzah dan Nurul Nuha, memfailkan petisyen untuk membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan itu.

Anwar turut memohon kebenaran untuk mencabar dan membatalkan keputusan Lembaga Pengampunan sambil mendesak lembaga itu supaya menasihati Yang di-Pertuan Agong agar memberi pengampunan dan membebaskannya.

Lembaga berkenaan menolak petisyen beliau untuk mendapatkan pengampunan Diraja dalam usaha untuk membebaskannya dari penjara.

Tetapi pada 18 Januari lepas, panel tiga hakim memutuskan dengan sebulat suara bahawa pengasas PKR yang juga musuh politik Perdana Menteri Najib Razak boleh meneruskan tindakan undang-undang terhadap keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan pada Mac 2015.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.