Gabungan Pembangkang Umum Struktur Kepimpinan Terkini

Fadzil Aziz
2017.07.14
Kuala Lumpur
anwar.jpg Pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad berbual mesra di dalam kamar mahkamah pada 6 September, 2016.
[Ihsan Parti Keadilan Rakyat]

Gabungan pembangkang Pakatan Harapan pada awal pagi Jumaat telah mengumumkan struktur kepimpinan gabungannya, selepas berbulan lamanya mengadakan rundingan dan perbincangan antara semua parti komponen pembangkang berkenaan.

Pengumuman mengenai barisan dalam gabungan pembangkang itu dibuat oleh bekas perdana menteri Mahathir Mohamad yang melihat Anwar Ibrahim, ketua pembangkang yang dipenjarakan, sebagai Ketua Umum pakatan itu, sementara Mahathir sendiri sebagai Pengerusinya, manakala Wan Azizah Ismail, isteri kepada Anwar sebagai Presiden.

Gabungan pembangkang itu terdiri dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Tindakan Demokratik (DAP), Parti Amanah Negara (PAN) serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), secara rasmi mengumumkan kesatuan politik mereka  melalui “Pakatan Harapan.” Mereka menayangkan logo rasmi gabungan itu selepas mengadakan pertemuan di ibu pejabat PKR awal pagi Jumaat.

Anwar yang merupakan bekas timbalan perdana menteri dipecat daripada jawatannya oleh Perdana Menteri Mahathir pada tahun 1998.

Kini, Anwar merupakan penasihat PKR manakala Mahathir adalah Pengerusi Pribumi Bersatu PPBM dengan Wan Azizah menyandang jawatan presiden PKR.

Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dinamakan sebagai timbalan presiden bagi pakatan itu.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali; Naib Presiden PPBM, Mukhriz Mahathir; Ketua DAP Sarawak, Chong Chieng Jien dan Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub dinamakan sebagai naib presiden pakatan manakala Saifuddin Abdullah dinamakan sebagai setiausaha agung dan M. Kula Segaran menjadi bendahari.

Gabungan itu juga bertekad untuk melaksanakan tujuh janji dalam tempoh 100 hari serta memulakan proses permohonan pengampunan dan pembebasan Anwar seminggu selepas membentuk kerajaan.

“Permohonan yang akan dikemukakan mengikut proses undang-undang itu, dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, akan membolehkan Anwar kembali mengambil bahagian semula dalam politik negara sepenuhnya,” kata kenyataan ditandatangani oleh pemimpin tertinggi keempat-empat parti itu

Anwar dilarang bertanding sebagai calon pilihan raya selepas dijatuhkan hukuman lima tahun penjara pada 2015 atas tuduhan liwat.

“Dia akan dibebaskan hasil usaha perdana menteri yang terdahulu daripadanya dan kita akan mohon supaya dia dapat pengampunan diraja dan selepas itu kita akan melalui proses undang-undang,” kata Mahathir menyentuh peranan perdana menteri ketujuh negara itu jika gabungan itu berjaya menamatkan pemerintahan Perdana Menteri Najib Razak dari parti gabungan Barisan Nasional.

Anwar PM ke-lapan

Pakatan Harapan juga bersetuju menamakan Anwar sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke-lapan namun Mahathir enggan menyatakan samaada beliau ingin menyandang jawatan sebagai pemimpin  negara yang ke-tujuh.

“Yang itu kita akan isytihar tidak lama lagi tapi hari ini kita isytihar nombor lapan sahaja,” kata Mahathir yang menjadi perdana menteri Malaysia ke-empat selama 22 tahun.

Najib Razak adalah Perdana Menteri Malaysia yang keenam.

Pembangkang, yang diketuai oleh Anwar pada pilihan raya umum Mei 2013 mencatat kemenangan besar dengan memenangi hampir 52 peratus undi popular. Bagaimanapun, ia hanya menguasai 89 kawasan pemilihan daripada 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan.

Anwar akan dibebaskan daripada penjara menjelang pertengahan tahun depan tetapi dihalang daripada berpolitik sekurang-kurangnya dalam tempoh lima tahun, kecuali jika beliau mendapat pengampunan diraja

Pakatan itu akan mendaftarkan gabungan itu dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia dalam masa seminggu, menurut Mahathir

Tujuh janji

Tujuh perkara yang gabungan itu berjanji untuk menghapuskan dalam tempoh masa 100 hari selepas membentuk kerajaan sekiranya menang pilihan raya umum akan datang adalah menghapuskan GST, menstabilkan harga petrol, memberi fokus kepada usaha meringankan beban rakyat.

“Selain itu, pakatan juga akan memulakan reformasi institusi menyeluruh, memerangi rasuah ke akar umbi, menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Di-Raja skandal 1Malaysia Development Berhad serta memulihkan Felda,” kata kenyataan yang dikeluarkan itu, sambil menambah yang Pakatan Harapan akan berusaha untuk membela rakyat dan membina semula negara yang telah dirosakkan oleh pentadbiran Najib Razak.

"Melalui kesatuan politik di antara PKR, DAP, Amanah dan PPBM, kami akan menggembeleng seluruh kekuatan rakyat untuk memenangi pilihanraya umum ke-14 dan membentuk kerajaan,” kata kenyataan itu lagi.

Seorang wakil dari parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang diterajui Najib Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata pengumuman pakatan itu telah berjaya mengelirukan rakyat Malaysia dan memudahkan Barisan Nasional mendapat mandat yang lebih besar dalam pilihanraya akan datang.

“Struktur baharu ini juga boleh dikatakan untuk mengambil hati Mahathir bagi membolehkan Anwar menjadi Perdana Menteri sekiranya pakatan cacamerba ini menang pada pilihanraya umum akan datang,” kata exco pergerakan Pemuda UMNO itu.

Sementara itu,pakar geo-strategik dari Universiti Teknologi Malaysia Azmi Hassan berpendapat impak penamaan jawatan dalam pakatan itu adalah minima dan sukar menggugat Barisan Nasional.

“Sebelum ini pun Mahathir dan Anwar punya objektif yang serupa iaitu untuk tumbangkan Barisan Nasional. Cuma selepas ini Mahathir punya jawatan rasmi dalam Pakatan Harapan. Sebab itu dirasakan impak kepada Barisan Nasional tidak banyak berubah sebelum Mahathir punya jawatan,” katanya kepada BeritaBenar.

Menteri Komunikasi dan Multimedia  Salleh Said Keruak dari parti Barisan Nasional mengkritik pemilihan itu dan menyatakan DAP seperti dipinggirkan dalam pemilihan jawatan pakatan tersebut.

“Satu lagi pertanyaan ialah kenapa DAP tidak memegang salah satu jawatan tertinggi sedangkan DAP mempunyai bilangan Ahli Parlimen terbanyak dalam Pakatan ini?,” soal beliau dalam catatan blognya.


Hata Wahari turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.