Follow us

Anwar Hadir Beri Keterangan Suruhanjaya Diraja Siasatan Kerugian BNM

Fadzil Aziz
Putrajaya
2017-09-07
E-mel
Komen
Share
Ketua Umum Pakatan Harapan Anwar Ibrahim semasa menghadiri Suruhanjaya Siasatan Diraja di perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya, 7 Ogos, 2017.
Ketua Umum Pakatan Harapan Anwar Ibrahim semasa menghadiri Suruhanjaya Siasatan Diraja di perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya, 7 Ogos, 2017.
[FadzilAziz/BeritaBenar]

Bekas Timbalan Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Khamis memberi keterangan pada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang ditubuhkan untuk menyiasat kes kerugian Bank Negara Malaysia (BNM) sebanyak RM44 bilion [AS$10 bilion] dalam urusniaga tukaran mata wang asing sekitar tahun 1990-an.

Turut hadir di Mahkamah Rayuan 6, Istana Kehakiman, Putrajaya, di mana prosiding itu berlangsung pada hari ini [Khamis] ialah bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad.

Anwar yang kini merupakan Ketua Umum Pakatan Harapan hadir sebagai saksi ke-21 manakala Mahathir hadir untuk menyaksikan sendiri siasatan tersebut, yang dilihat sebagai pentas memberi tekanan kepada bekas perdana menteri oleh pentadbiran Najib.

Anwar yang dipecat dari jawatannya sebagai timbalan perdana menteri dan menteri kewangan oleh Mahathir pada tahun 1998 kini merupakan pemimpin pembangkang de fakto yang sedang menjalani hukuman penjara selama lima tahun bermula 2015 atas kesalahan meliwat.

Pada sesi soal jawab selama tiga jam pada Khamis itu, berlaku insiden pertikaman lidah diantara pengerusi suruhanjaya tersebut Mohd Sidek Hassan dengan Anwar, selepas Mohd Sidek mempersoalkan sama ada Jemaah menteri mengetahui mengenai kerugian sebenar BNM itu.

"Mahathir tidak memberi arahan (tentang dagangan forex). Kami berjumpa Dr Mahathir. Beliau tidak pernah beri apa-apa arahan untuk teruskan urusniaga forex atau pun tidak. Beliau hanya mendengar,” kata Anwar sambil menambah Mahathir mengarahkan bekas timbalan ketua setiausaha (II) kementerian kewangan, Clifford Francis Herbert untuk menyediakan laporan.

Dalam prosiding itu juga, Mohd Sidek berulang-kali menyatakan Anwar mengetahui jumlah kerugian sebenar tetapi memilih untuk berdiam diri dan melaporkan jumlah kerugian yang tidak benar.

Mohd Sidek juga telah menuduh Anwar menyembunyikan jumlah sebenar kerugian urus niaga mata wang kepada kabinet dengan hanya memaklumkan kerugian sebanyak RM5.7 bilion.

Tetapi Anwar, bagaimanapun menjawab dan menjelaskan angka RM5.7 bilion yang dimaklumkan kepada kabinet adalah berdasarkan kepada perbincangannya dengan BNM.

"Kami hanya sebut apa yang dijelaskan oleh bank pusat termasuk kehilangan atas kertas, serta kedudukan masa hadapan,” kata Anwar.

Pada ketika itu, Mohd Sidek mencelah dan memberitahu Anwar, "Kamu menguruskan ekonomi. Apa yang kamu sedang berkata sekarang adalah mengenai rawatan.

"Kamu sebenarnya tahu, tetapi telah memilih untuk tidak memaklumkannya kepada kabinet," tambah Mohd Sidek.

Dalam pada itu, semasa ditemui pemberita, Mahathir mempertahankan kenyataan Anwar kepada suruhanjaya itu dengan berkata, “Dia [Anwar] telah beritahu apa yang dilaporkan. Takkanlah dia nak soal dan ada sangkaan ada orang curi duit.

"Dia buat kenyataan mengikut apa yang disahkan audit, itu sahaja," kata Mahathir mengenai jawapan Anwar kepada suruhanjaya berkenaan berdasarkan audit BNM.

Mahathir menghadiri suruhanjaya siasatan itu selama sejam dengan mengambil tempat duduk bersebelahan dengan isteri Anwar, Wan Azizah Wan Ismail, yang merupakan Presiden Pakatan Harapan.

Namun, Mahathir tidak berkesempatan untuk bercakap dengan Anwar pada sidang itu.

Mohd Sidek serta lima lagi ahli panel, bertanggungjawab untuk menyiasat kerugian urus niaga mata wang semasa Mahathir menjadi perdana menteri.

Pakatan pembangkang telah menyifatkan penubuhan suruhanjaya itu adalah sebagai cubaan kerajaan Barisan Nasional membalas dendam terhadap Mahathir serta mengalihkan perhatian umum daripada skandal 1Malaysia Development Berhad.

Pada 15 Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan bagi penubuhan suruhanjaya itu untuk menyiasat kerugian yang dialami Bank Negara Malaysia disebabkan urusan niaga mata wang asing pada 1990-an mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan.

Mohd Sidek, yang juga pengerusi Petronas, turut dibantu Hakim Mahkamah Tinggi Kamaludin Md Said, Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Tajuddin Atan, pengerusi bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Saw Choo Boon dan anggota Institut Akauntan Malaysia K. Puspanathan manakala Setiausahanya ialah Dr Yusof Ismail, yang juga setiausaha bahagian, Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan.

Sebelum kewujudan suruhanjaya itu, satu Pasukan Petugas Khas yang telah ditubuhkan Najib mendapati wujudnya kes prima facie dalam kerugian Bank Negara yang dianggarkan AS$10 bilion (RM44.2 bilion).

Kerugian urus niaga mata wang itu berlaku semasa pemerintahan Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar sebagai Menteri Kewangan, iaitu sekitar tahun 1993 hingga 1998.

Sementara itu, seorang lagi saksi pada sidang Khamis memberitahu beliau tidak pernah melihat Mahathir memasuki bilik urus niaga tukaran asing di Bank Negara.

"Saya tidak ingat apa-apa kunjungan," kata Azman Mat Ali, bekas pedagang Forex dengan bank pusat itu.

Dalam pada itu, pada Selasa, bekas penasihat BNM, Nor Mohamed Yakcop yang juga bekas Menteri Kewangan mengaku bertanggungjawab atas kerugian urus niaga mata wang asing negara itu sekitar tahun 1986 hingga 1993.

"Saya mengaku bertanggungjawab atas kerugian urus niaga mata wang asing negara yang berlaku sekitar tahun 1986 hingga 1993," kata Nor Mohamed sebagai saksi ke-17 memberi keterangan kepada Suruhanjaya siasatan itu seperti dilaporkan oleh akhbar Berita Harian pada Rabu.

"Kerugian urus niaga mata wang asing memang berlaku. Tidak ada penafian mengenainya,” tambah beliau lagi.

Suruhanjaya siasatan itu telah menetapkan laporan penuh inkuiri itu akan siap dalam tempoh tiga bulan dan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong sebelum 13 Oktober depan.

Mandat yang diberikan kepada suruhanjaya itu adalah untuk menentukan sama ada penglibatan BNM dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian tersebut bertentangan dengan Central Bank Ordinance 1958 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan.

Selain itu, suruhanjaya itu perlu menentukan sama ada terdapat elemen menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian BNM dalam aktiviti urus niaga mata wang asing itu dan memberi kenyataan yang mengelirukan Jemaah Menteri, Parlimen dan rakyat.

Suruhanjaya itu juga perlu mengesyorkan tindakan yang sesuai  terhadap pihak-pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung jika didapati mereka menyebabkan kerugian BNM itu,  sekali gus mengesyorkan langkah bagi memastikan perkara sama tidak berulang.

Lihat Laman Penuh