Anwar: Peralihan Kuasa Perlu dibuat Dalam Jangka Masa Munasabah

Staf BeritaBenar
2019.11.21
Kuala Lumpur, Malaysia
191121-MY-AnwarMahathir620.jpg Gambar pertemuan antara Presiden Parti Keadilan Rakyat [PKR] Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, yang dimuat naik di laman media sosial Facebook milik Anwar, 21 November, 2019.
[Ihsan Anwar Ibrahim]

Anwar Ibrahim memberitahu Perdana Menteri bahawa isu peralihan kuasa tampuk pemerintahan perlu dibuat "dalam jangka masa yang munasabah," kata Anggota Parlimen itu dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman media sosial Facebooknya selepas kedua-dua pemimpin itu pada Khamis mengadakan pertemuan, selepas kekalahan teruk Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil.

Perjanjian peralihan kuasa "tidak pernah berubah," kata Anwar, merujuk kepada janji luar biasa kempen PH di mana pemimpin berusia 94 tahun itu akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada bekas pesaingnya selepas dua tahun berkuasa, sekiranya mereka memenangi pilihan raya umum pada Mei 2018.

Pada masa yang sama, kedua-dua mereka telah bersetuju semasa pertemuan pada Khamis untuk memberi tumpuan kepada persiapan menjadi hos Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) November depan di Kuala Lumpur, kata Anwar, sekaligus mencadangkan bahawa peralihan kuasa itu berpotensi tidak akan berlaku dalam waktu terdekat ini.

"Saya memaklumkan beliau [Mahathir] isu peralihan kuasa ini perlu dilakukan secara aman dan teratur dalam tempoh yang munasabah serta mendapat persefahaman bersama,” kata Anggota Parlimen Port Dickson, mengambarkan pertemuan 30 minit antara beliau dan Matahir yang berlangsung di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya.

“Kami bersetuju untuk menumpukan perhatian pada pertumbuhan ekonomi dan penyediaan ke arah penganjuran Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC),” kata Anwar dalam catatan Facebooknya itu.

Mahathir semasa ditemui media kemudiannya berkata Anwar telah bersetuju bahawa seharusnya tidak perlu banyak tekanan daripada pelbagai pihak terhadap tarikh peralihan kuasa.

"Anwar memahami masalah yang dihadapi (oleh negara) dan tidak perlu terlalu banyak tekanan daripada pihak luar yang membuat pelbagai cadangan seperti tarikh peralihan," katanya ketika ditanya pemberita mengenai perbincangan antara beliau dan Anwar semasa pertemuan mereka di Putrajaya.

Pengumuman dan pertemuan yang jarang diadakan kedua-dua pemimpin itu hadir selepas kekalahan teruk calon PH semasa pilihan raya kecil tersebut yang turut menyejutkan Perdana Menteri sehingga memanggil satu post-mortem yang terperinci mengenainya dibuat segera.

Selain itu, Mahathir juga mendapat tekanan daripada beberapa pemimpin PH yang menyalahkannya dan mendesak perubahan dalam kepimpinan pakatan itu, termasuk mahu beliau meletakkan jawapan sebagai Perdana Menteri.

Dalam pada itu, bekas Timbalan Presiden PKR, Syed Husin Ali menyifatkan kekalahan PH itu adalah referendum terhadap kerajaan pimpinan Mahathir.

"Keputusannya paling jelas. Rakyat kecewa dan mahu ajar PH khususnya Tun Dr M [Mahathir]. Beliau harus tahu apa yg patut dilakukannya dengan segera. Jangan dolak dalik lagi!," kata Syed Husin dalam catatan di Twitternya.

Mahathir pada Selasa menafikan kekalahan PH dalam pilihan raya berkenaan adalah disebabkan faktor ketidaktentuan dalam penetapan tarikh peralihan kuasa jawatan Perdana Menteri antara beliau dan Anwar.

Sebaliknya, Perdana Menteri itu berkata, dalam situasi dan keadaan negara pada masa ini, beliau sendiri belum tahu sama ada peralihan kuasa perlu berlaku sekarang atau tidak.

“Kita belum tahu lagi (dalam) keadaan negara sekarang ini, sama ada bersedia untuk mengalih pentadbiran (kepemimpinan) atau tidak, bila sampai masanya kita tentukanlah,” kata Mahathir seperti dilaporkan media tempatan.

Pada Rabu, Perdana Menteri itu turut memberi bayangan kemungkinan berlakunya rombakan kabinet dengan berkata keputusan mengenainya "tidak akan dilakukan hari ini atau esok".

"(Ia akan dibuat) selepas kita mengkaji pencapaian dan kebolehan menteri-menteri yang ada sekarang ini dan selepas itu barulah kita bincang tentang kemungkinan mengadakan rombakan kabinet ini," kata Perdana Menteri berusia 94 tahun itu.

Tambahnya lagi, tiada perubahan [rombakan] radikal akan berlaku sebelum Malaysia menjadi hos APEC, November depan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.