Follow us

Anwar Jumpa Mahathir, Peralihan Kuasa Akan Ditentukan Feb 21

Muzliza Mustafa
Kuala Lumpur, Malaysia
2020-02-13
E-mel
Komen
Share
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Mahathir Mohamad di Putrajaya, 13 Februari, 2020.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Mahathir Mohamad di Putrajaya, 13 Februari, 2020.
[Ihsan Pejabat Anwar Ibrahim]

Presiden Parti Keadilan Rakyat [PKR] Anwar Ibrahim mengadakan perjumpaan empat mata buat kali ketiga dengan Perdana Menteri Mahathir Mohamad pada Khamis yang katanya isu peralihan kuasa adalah antara perkara yang dibincangkan dan akan dimuktamad semasa mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan [PH] pada 21 Februari ini.

Ahli politik itu mengeluarkan satu kenyataan kepada media selepas mengadakan pertemuan dengan Mahathir di Putrajaya, yang antara lain berkata perkara mengenai peralihan kuasa telah dibincangkan termasuk usaha dari beberapa kumpulan yang sedang mendapatkan tandatangan menyokong kepimpinan Perdana Menteri sehingga akhir penggal lima tahunnya.

“Saya cenderung agar beliau [Mahathir] terus menerajui negara sehingga selesai Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik [APEC]. Namun perkara ini akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapa pada 21 Februari ini,” kata Anwar dalam kenyataannya itu.

Beliau berkata terdapatnya cubaan daripada pihak pembangkang dan sebilangan kecil individu dalam PKR yang mahu mensabotaj perjanjian peralihan kuasa seperti yang dipersetujui pada 7 Januari dua tahun lepas.

“Saya turut memaklumkan kepada Perdana Menteri bahawa memandangkan wujud muslihat licik sedemikian maka pimpinan PH dan bebebapa rakan lain akan tetap mempertahankan perjanjian Muafakat PH yang dimeterai pada 7 Januari 2018, yakni tegas menyokong kepimpinan selaku Perdana Menteri Ke-7 dan saya sebagai Perdana Menteri Ke-8,” katanya.

Kenyataan Anggota Parlimen Port Dickson itu juga menyebut, “Perdana Menteri tidak terlibat dalam usaha tersebut malah mengulangi kenyataan tegasnya bahawa beliau akan melepaskan jawatan seperti yang telah dijanjikan,”

Mahathir tidak mengulas

Beliau seterusnya berkata, “Saya juga ingatkan bahawa selama hampir dua tahun usia PH, muafakat yang termeterai tersebut tidak pernah digugat oleh mana-mana parti bersekutu – Keadilan, DAP, Amanah dan PPBM.”

Semasa berita ini ditulis tiada sebarang kenyataan dikeluarkan oleh Mahathir berkenaan pertemuan terbaru beliau dengan Anwar di Putrajaya.

Sebelum perjumpaan pada Khamis, Anwar pernah bertemu dengan Mahathir sebanyak dua kali iaitu pada 21 November 2019 dan 7 Januari lepas.

Kedua-dua pertemuan itu diadakan di Putrajaya dengan isu peralihan kuasa dan hal ehwal parti serta gabungan parti dalam PH adalah antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan-pertemuan sebelum ini.

Dalam pertemuan Anwar dengan Mahathir pada November lepas, Presiden PKR itu turut mengeluarkan kenyataan yang menegaskan bahawa isu peralihan kuasa tidak pernah berubah seperti yang dipersetujui dan dijanjikan oleh Perdana Menteri berulang kali sebelum ini.

Dalam kenyataan itu Anwar berkata peralihan kuasa perlu dilakukan secara aman dan teratur dalam tempoh yang munasabah serta mendapat persefahaman bersama.

Beliau turut berkata kedua mereka juga bersetuju untuk memberikan fokus pada pertumbuhan ekonomi negara dan juga penyediaan dalam mempersiapkan negara bagi menganjurkan Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Kuala Lumpur, November depan.

Anwar, yang pernah menjadi timbalan perdana menteri dan Menteri Kewangan pada masa Mahathir menjadi Perdana Menteri ke-4 Malaysia pernah merengkuk dalam penjara selepas disabitkan kesalahan rasuah dan sodomi, setahun selepas dipecat Mahathir pada 1998.

Sejak dipecat beliau telah beberapa kali dipenjarakan dan sebaik sahaja PH Pilihan raya Umum Ke-14 pada Mei 2018, Anwar telah diberikan pengampunan DiRaja dan kembali ke arena politik dengan memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Port Dickson pada Oktober tahun yang sama.

Sokongan di Parlimen

Baru baru ini, Anwar memberitahu agensi media antarabangsa Reuters dalam satu temubual khas dengan berkata beliau sanggup menunggu enam bulan lagi dari tarikh awal yang dipersetujui iaitu Mei depan, untuk mengambil alih jawatan Perdana Menteri dan memberitahu agensi tersebut yang beliau mempunyai sokongan yang cukup di Parlimen untuk berbuat demikian.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Lokman Adam membuat pendedahan kerjasama antara Parti Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu [UMNO], Parti Islam Pan-Malaysia [PAS] dengan Mahathir berhubung apa yang dikatakan perancangan parti itu untuk bekerjasama dalam membentuk satu pakatan baharu.

Rancangan itu didakwa disuarakan oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi semasa berucap merasmikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhimpunan Muafakat Nasional UMNO, awal Februari, yang kemudiannya dinafikan oleh beliau.

“Itu hanya khabar angin,” kata beliau ringkas seperti dipetik laman berita online MalaysiaKini pada 7 Februari.

Mahathir sebelum ini berkata kedua-dua pihak UMNO dan PAS boleh menyokongnya tetapi ianya perlu diterjemahkan di Parlimen bila ditanya tentang khabar angin kerjasama antara mereka.

“(Sokongan) di Parlimen, ketika kita melakukan sesuatu yang baik, saya rasa mereka seharusnya menyokong. Bukan hanya menolak dengan membuta tuli,” katanya kepada pemberita di Putrajaya pada 6 Februari lalu.

Walaupun setelah dibersihkan dari pertuduhan terdahulu, Anwar terus berdepan dengan kontroversi apabila bekas pembantunya membuat laporan polis menuduh beliau cuba memaksa untuk mengadakan hubungan seks pada September 2018.

Walaubagaimanapun Peguam Negara Tommy Thomas pada Januari dalam satu kenyataan berkata tiada pendakwaan akan dibuat terhadap ahli politik tersebut.

Lihat Laman Penuh