Mahkamah Malaysia Tolak Saman Anwar Ketepikan Sabitan Pertuduhan

Ray Sherman & Hata Wahari
2017.11.08
Kuala Lumpur
171108-MY-anwar-620.jpg Wan Azizah Wan Ismail (tengah), isteri kepada pemimpin pembangkang, yang dipenjarakan dari Parti Keadilan Rakyat Malaysia Anwar Ibrahim, berucap semasa demonstrasi menandakan 1,000 hari Anwar di penjarakan di Kuala Lumpur, 6 Nov, 2017.
[Ihsan PKR]

Pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim pada Rabu, gagal dalam cubaannya untuk menuntut pembebasan dari hukuman penjara lima tahun berikutan pendedahan bayaran jutaan ringgit oleh Perdana Menteri Najib Razak kepada peguam yang dilantik untuk menjadi pendakwa raya yang mengendalikan kes berkenaan.

Anwar yang memfailkan dokumen mahkamah itu, pada Jun lalu, mendakwa bahawa pelantikan Muhammad Shafee Abdullah, seorang peguam amalan swasta, sebagai pendakwa raya utama dalam rayuan sabitan kes liwatnya bertentangan dengan amalan biasa Peguam Negara.

Anwar juga mendakwa peguam itu bukan pendakwa raya bebas dan tidak melaksanakan kewajipannya secara adil, sambil menyatakan beliau telah menerima bayaran sebanyak 9.5 juta ringgit (AS$2.22 juta) daripada Perdana Menteri Najib Razak.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Azizah Nawawi memutuskan bahawa Anwar, bekas timbalan perdana menteri, telah membuat "tuduhan kosong" mengenai pembayaran berkenaan.

Anwar tidak menyediakan sebarang bukti untuk menyokong tuduhannya," kata Hakim itu semasa sesi penghakimannya dan memerintahkan Anwar membayar ganti rugi kepada kerajaan Malaysia sebanyak RM10,000 (AS$ 2,366).

Anwar, pengasas parti pembangkang Parti Keadilan Rakyat [PKR], didakwa meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008. Anwar disabitkan atas kesalahan itu dan Mahkamah Tinggi membebaskannya pada tahun 2012 tetapi Mahkamah Rayuan membatalkan keputusan itu dan menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap pemimpin pembangkang itu pada 2014.

Anwar memohon mahkamah untuk mengetepikan sabitan liwatnya selepas laporan media pada 31 Mei lepas mendakwa Najib telah menggunakan dana 1Malaysia Development Berhad untuk membayar yuran peguamnya.

N. Surendran, peguam Anwar, berkata beliau akan buat rayuan terhadap keputusan itu.

"Kami sangat kecewa dengan keputusan hari ini. Kami akan membuat bantahan di Mahkamah Rayuan," katanya kepada pemberita di mahkamah.

Peguam Muhammad Shafee, yang hadir untuk mendengar keputusan itu, menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak masuk akal.

"Saya tidak pernah dibayar RM9.5 juta untuk mendakwa Anwar," katanya.

Pada tahun 2015, kerajaan berkata peguam itu dibayar sebanyak RM1,000 ($234) untuk mengendalikan kes berkenaan.

Najib tidak mengulas mengenai tuduhan itu, tetapi bekas Ketua Polis Negara, Musa Hassan, yang berkhidmat dari tahun 2006 hingga 2010, mempersoalkan kesahihannya. Najib menjadi perdana menteri pada tahun 2009.

Ini adalah sabitan pertuduhan liwat yang kedua bagi Anwar. Selepas beliau dibebaskan pada tahun 2004, ketika pertuduhan difailkan terhadapnya pada 1998, Anwar mendakwa yang beliau telah dianiaya oleh parti UMNO, parti yang mengetuai blok pemerintah Malaysia. Pegawai kerajaan Malaysia dan pemimpin UMNO menafikan dakwaan Anwar itu.

1,000 hari


Pada Isnin, pemimpin pembangkang dan penyokongnya berkumpul di luar Parlimen Malaysia dan berarak ke Dataran Kemerdekaan untuk menunjukkan perpaduan bersama Anwar, yang telah menghabiskan masa selama 1,000 hari di penjara.

Sementara itu, Ahli Parlimen ASEAN bagi Hak Asasi Manusia (APHR) menggesa agar beliau dibebaskan sambil menegaskan pemenjaraan  bekas ketua pembangkang itu merupakan tindakan kerajaan untuk menyekat kebebasan bersuara di Malaysia.

Ahli Parlimen ASEAN bagi Hak Asasi Manusia (APHR) meminta pihak berkuasa Malaysia untuk menghentikan gangguan kehakiman dan lain-lain bentuk intimidasi terhadap ahli pembangkang dan pengkritik kerajaan.

"Pendakwaan terhadap Anwar Ibrahim telah menempelak sistem piawaian undang-undang antarabangsa yang dengan serius meremehkan kredibiliti sistem keadilan Malaysia, serta menunjukkan sejauh mana mahkamah telah digunakan sebagai alat untuk agenda eksekutif," kata Ahli Lembaga APHR Teddy Baguilat, seorang kongres dari Filipina.

“Sejak dari permulaan, kes Anwar merupakan kes untuk menutup mulut pembangkang dan menjadikan lebih sukar untuk mencabar kedudukan kerajaan yang memerintah,  ini merupakan  langkah yang sedang berlaku di keseluruhan rantau ini dan ia memberi amaran bahawa keadaan yang lebih sukar pada masa hadapan berkaitan hak asasi di ASEAN,” katanya.

Pada Rabu, Anwar telah dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur dan dijadualkan menjalani pembedahan bagi kecederaan bahu yang dialaminya selepas terlibat dalam kemalangan yang melibatkan kenderaan Jabatan Penjara pada September lepas, semasa di dalam perjalanan untuk mendapatkan rawatan di hospital. Kerajaan berkata Anwar akan diberi rawatan yang sewajarnya.

"Kami berharap pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan akan menyediakan rawatan terbaik dan penjagaan pasca pembedahan untuknya," kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi kepada anggota parlimen pada Rabu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.