Malaysia tahan warga Bangladesh cuba menyelinap masuk dari Indonesia

Menurut Timbalan Pengarah (Operasi) APMM Selangor kemasukan melalui jalan air itu adalah terbesar bagi warga Bangladesh.
Noah Lee & Nisha David
2022.07.01
Kuala Lumpur
Malaysia tahan warga Bangladesh cuba menyelinap masuk dari Indonesia Seramai 37 warga asing tanpa izin rakyat Bangladesh telah ditahan oleh Maritim Malaysia Negeri Melaka dan Negeri Sembilan dari sebuah bot pancung di perairan Kuala Sepang, Selangor dan dihantar ke Depoh Tahanan Imigresen Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, 1 Julai, 2022.
[Foto Ihsan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia]

Malaysia telah menahan seramai 37 orang warga Bangladesh, kumpulan terbesar yang cuba masuki secara haram ke negara itu melalui jalan laut setakat ini, demikian menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) pada Jumaat.

Tangkapan itu dibuat pada malam Khamis, beberapa jam selepas Menteri Dalam Negeri Malaysia memberikan amaran keras kepada semua majikan di negara berkenaan supaya tidak mengambil pendatang asing tanpa dokumen sebagai pekerja.

Pegawai APMM memberitahu BenarNews bahawa warga Bangladesh tersebut, yang ditahan di perairan berhampiran negeri Selangor ketika menaiki bot dari Indonesia, didapati memiliki pasport tetapi gagal menunjukkan sebarang dokumen sah untuk masuk bekerja di Malaysia.

“Mereka ditangkap oleh pasukan Agensi Penguatkuasa Maritim Negeri Melaka dan Negri Sembilan. Ini bukanlah pertama kali migran dari Bangladesh cuba memasuki Malaysia melalui Indonesia tetapi ini adalah cubaan kemasukan yang terbesar setakat ini. Sebelum ini, mereka dalam skala yang kecil,” kata Norihan kepada BenarNews.

Menurut beliau lagi, mereka yang ditahan ini mahu memasuki Malaysia untuk bekerja.

“Ianya lebih mudah dan lebih jimat. Ia juga bagi membolehkan mereka ini keluar masuk ke negara tanpa dikesan,” kata Norihan lagi.

Menurutnya taktik yang digunakan adalah sama cuma lokasi menurunkan migran yang dahulunya di utara negara, diubah ke bahagian tengah.

“Mereka hendak lari dari tindakan pengawasan dan kawalan, jadi lokasi pendaratan diubah. Apapun, kita sudah mengetatkan kawalan dan pengawasan di semua lokasi yang telah dikenalpasti termasuk pemantauan di darat,” kata Norihan lagi.

Menurut pengarah APMM Negeri Melaka dan Negeri Sembilan, Iskandar Ishak dalam satu kenyataan media penguatkuasa berjaya memintas bot pancung yang membawa pendatang tersebut kira-kira tengah malam, sebelum menahan warga Bangladesh itu bersama seorang tekong dan tiga krew bot warga Indonesia.

"Kira-kira jam 11 malam pada 30 Jun, Sistem Pengawasan Laut Malaysia telah mengesan sebuah bot dari perairan Indonesia menuju ke Kuala Sepang, Selangor dalam keadaan mencurigakan dan maklumat tersebut terus disalurkan kepada APMM Negeri Melaka dan Negeri Sembilan.

"Berikutan itu, bot Perkasa 37 ditugaskan ke sasaran dan berjaya memintas bot tersebut diposisi lebih kurang 1.2 Batu Nautika di Barat Daya Kuala Sepang, Selangor. Hasil pemeriksaan ke atas bot mendapati seramai 41 orang lelaki terdiri daripada 37 warganegara Bangladesh dan empat warganegara Indonesia tanpa dokumen perjalanan yang sah," kata Iskandar dalam kenyataan dikeluarkan pada Jumaat.

Tambah Iskandar, kesemua saspek yang ditahan berusia antara 18 dan 46 tahun dengan kesemua mereka disiasat di bawah Akta Imigresen serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007.

Pada Khamis, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin dalam satu sidang media di Kuala Lumpur mengeluarkan amaran keras kepada semua majikan supaya tidak mengambil pendatang asing tanpa dokumen sah sebagai pekerja, dan sesiapa yang didapati melanggar undang-undang itu akan diambil tindakan tegas.

Amaran itu dikeluarkan ketika program penghantaran pulang pekerja asing yang dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia sejak tahun lepas mencecah tarikh akhirnya, iaitu 30 Jun, kata Hamzah, tindakan tegas juga akan diambil ke atas pekerja asing tanpa dokumen yang ditangkap pihak berkuasa selepas berakhirnya program berkenaan.

"Program Rekalibrasi Pulang ini telah saya umumkan pada 16 November 2020, dan hari ini 30 Jun 2022 adalah hari terakhir untuk semua yang telah mendaftar dalam program ini untuk pulang ke negara masing-masing.

"Saya hendak maklumkan kepada semua majikan, sesiapa saja yang selepas ini mengambil mereka yang tidak ada dokumen sah mengikut pendaftaran imigresen, Kementerian Dalam Negeri melalui semua agensi di bawahnya akan melakukan operasi besar-besaran," kata beliau dalam sidang media yang diadakan di Kuala Lumpur.

Program Rekalibrasi Pulang adalah satu inisiatif oleh kerajaan Malaysia untuk membenarkan pekerja asing tanpa dokumen sah di negara itu untuk pulang ke negara masing-masing, tertakluk kepada beberapa syarat tertentu.

Menurut laporan Radio Televisyen Malaysia, setakat 25 Jun, seramai 282,561 pendatang asing sudah mendaftarkan diri untuk pulang secara sukarela.

Ia memetik Hamzah sebagai berkata bahawa 243,297 daripada jumlah yang berdaftar itu telah pulang ke negara masing-masing.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Komen

Alamin
Sep 29, 2022 10:46 AM

Abng itu 37 orang Bangladesh Yang di tankap ...sekrng itu orang Ada di mana ....bolah tlong bagi information sebab itu orang punya family Cari tapi Tidak tau mana penjara Ada itu orang sekrng