Malaysia: Pegawai AS Desak ASEAN Tegas Hadapi China

Muzliza Mustafa & Noah Lee
2019.10.31
Kuala Lumpur, Malaysia
191031-MY-asean-US620.jpg Penolong Setiausaha Negara Amerika Syarikat (A.S) David Stilwell membincangkan tentang dasar A.S. pada satu forum di Kuala Lumpur, 31 Oktober, 2019.
(Ihsan Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa)

Seorang pegawai kanan Amerika Syarikat (AS) pada Khamis meminta Persatuan Negara-negara Asia Tenggara yang dianggotai 10 negara supaya bangkit menentang cubaan China untuk menjejaskan kestabilan keselamatan di rantau itu.

Penolong Setiausaha Negara untuk Asia Timur dan Pasifik AS David Stilwell turut memuji Vietnam semasa beliau menjawab soalan hadirin di Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa di Kuala Lumpur.

"Ini adalah kawasan anda, tempat anda, Vietnam bertindak baik dengan menentang tindakan itu," kata Stilwell kepada hadirin selepas membincangkan dasar A.S. di rantau itu. "Saya fikir sentimen ASEAN akan bergabung dengan Vietnam untuk menentang tindakan yang menjejaskan kestabilan dan keselamatan."

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, di mana perdagangan bernilai kira-kira $5 trilion dibawa dengan kapal melalui laluan itu setiap tahun. Malaysia, Vietnam, Brunei dan Filipina – yang kesemuanya menganggotai ASEAN - mempunyai tuntutan bertindih ke atas sebahagian daripada kawasan perairan yang menjadi pertikaian itu. Taiwan juga turut menuntut kawasan berkenaan.

China telah membina tujuh pulau buatan manusia dan melengkapinya dengan landasan tentera, sistem pertahanan peluru berpandu dan pos-pos kawalan. Kapal-kapalnya turut meronda di perairan itu.

Awal bulan ini, Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad berkata ketegangan yang berlaku di antara China dan Amerika Syarikat telah menyebabkan negaranya tersepit berikutan hubungan ekonominya dengan kedua-dua negara besar itu.

Menteri Luar Negeri Saifuddin Abdullah juga memberitahu Parlimen pada 17 Oktober bahawa Malaysia perlu menambah aset-aset lautnya di tengah-tengah peningkatan ketegangan di Laut China Selatan.

"Kita boleh membuat peta, kita boleh menuntut wilayah tertentu, tetapi bagi menjawab persoalan ini, kita perlu menambah aset untuk membolehkan kita melindungi perairan kita terutamanya dalam menghadapi kuasa besar di Laut China Selatan," kata Saifuddin sambil merujuk kepada China dan Amerika Syarikat.

Beliau berkata pendirian Malaysia mengenai Laut China Selatan adalah jelas dan konsisten.

"Untuk memastikan keamanan dan kestabilan serantau, Malaysia komited untuk memastikan semua pihak menghormati undang-undang antarabangsa, menyelesaikan sebarang pertikaian dan mengelakkan penggunaan kekerasan atau ancaman keganasan," kata Saifuddin.

Stilwell cuba mengendurkan kebimbangan mengenai penglibatan AS di rantau itu.

"Apa yang kami lakukan bukan hanya memberi manfaat kepada kami tetapi memanfaatkan semua pihak dan memastikan tidak ada konflik di rantau ini. Mengapa? Kerana perdagangan yang melalui laluan itu memberi manfaat kepada AS dan memberi manfaat kepada semua yang lain," katanya.

Dalam ucapannya sebelum sesi soal jawab itu, Stilwell turut menyatakan tentang kedudukan AS di Laut China Selatan.

"Hak semua negara mestilah dihormati, tanpa mengira saiz, kuasa, atau keupayaan ketenteraan," katanya sambil meminta negara yang membuat tuntutan supaya  menghormati undang-undang dan kebebasan navigasi antarabangsa. "Ia penting untuk keselamatan dan kemakmuran Amerika dan Malaysia."

Stilwell berada di Malaysia sebelum menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Bangkok pada Sabtu hingga Isnin. Presiden Donald Trump tidak menghadiri sidang kemuncak itu tetapi akan diwakili oleh  Penasihat Keselamatan Negara AS, Robert C. O'Brien dan Setiausaha Perdagangan, Wilbur Ross.

Gergasi Semakin Besar


Dalam reaksinya kepada kenyataan Stilwell, ahli strategi geopolitik Mohamad Mizan Mohammad Aslam berkata keupayaan ekonomi China yang semakin meluas telah memaksa Amerika Syarikat untuk bertindak balas.

"AS melihatnya sebagai suatu keadaan yang membimbangkan," katanya kepada BeritaBenar. "Apabila China mempunyai keupayaan ekonomi yang besar, AS semakin bimbang."

China, katanya, melihat Laut China Selatan sebagai sebahagian daripada wilayahnya yang besar.

"China tidak memerlukan pengiktirafan atau dokumen bertulis mengenai pemilikan Laut China Selatan seperti Hong Kong, Taiwan dan Macau, tetapi menunjukkannya melalui tindakan beraninya," kata beliau. "Nampaknya, China mahu menghidupkan semula empayar besar China, yang pernah memerintah di rantau timur ini termasuk di negara-negara Asia Tenggara."

Mohamad Mizan berkata negara-negara Asia Tenggara harus mengambil kesempatan untuk bersama-sama dengan Washington bagi menunjukkan bahawa mereka tidak akan bertolak ansur dengan usaha Beijing untuk memperluaskan kuasanya di rantau itu.


Aminah Farid di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.