Pegawai AS akan bincang dengan Malaysia potensi impak pelanggaran sekatan terhadap Iran

Jabatan Perbendaharaan AS bimbang dengan tindakan memindahkan minyak keluaran Iran yang berdepan sekatan Washington dari kapal ke kapal di perairan Asia Tenggara.
Iman Muttaqin Yusof
2024.05.06
Kuala Lumpur
Pegawai AS akan bincang dengan Malaysia potensi impak pelanggaran sekatan terhadap Iran Kapal tangki minyak Ice Energy, yang mengibarkan bendera Liberia, memindahkan minyak mentah dari kapal tangki Lana (sebelum ini dikenali sebagai Pegas), yang mengibarkan bendera Iran, di pesisir pantai Karystos, Pulau Evia, Greece, 26 Mei 2022.
[Costas Baltas/Reuters]

Delegasi Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) akan membincangkan kesan tindakan membenarkan pemindahan minyak keluaran Iran yang berdepan sekatan Washington pada pertemuan dengan pegawai kerajaan di Kuala Lumpur minggu ini susulan dakwaan laporan berita dan firma penyelidikan barat bahawa Malaysia membenarkan Iran menggunakan perairannya untuk berbuat demikian.

Pegawai Amerika yang tiba di ibunegara Malaysia pada lewat Isnin akan berbincang secara terus terang dengan rakan sejawat mereka, kata Duta AS Edgard Kagan di luar acara pameran pertahanan terbesar Asia.

“Kami yakin kerajaan Malaysia memahami pendirian AS berhubung tindakan pemindahan minyak yang berdepan sekatan itu dan memahami potensi impak yang mungkin ada,” kata Kagan ketika menjawab soalan sama ada Washington menganggap Malaysia sebagai hab bagi pemindahan minyak keluaran Iran.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan “potensi impak” yang boleh membawa maksud apa-apa sekatan terhadap Malaysia kepada Iran yang semakin berani dan berpotensi menimbulkan lebih banyak masalah kepada Washington.

Sekatan itu menafikan mana-mana individu atau syarikat mengakses aset di Amerika Syarikat dan melarang rakyat Amerika atau institusi kewangan daripada menjalankan perniagaan dengan mereka.

"Kami mengharapkan perbincangan jujur dan terus terang akan berlaku dari sudut pandangan kami dalam semangat berganding bahu untuk menangani masalah bersama," kata Kagan.

Iran telah menjadi sasaran pelbagai sekatan Amerika sejak 1979 selepas pelajar dari negara itu merampas Kedutaan AS di Tehran dan mengambil tebusan. Sekatan terbaru telah dikenakan ke atas program nuklear Iran.

Pada Disember, Jabatan Perbendaharaan AS telah mengenakan sekatan ke atas empat syarikat yang berpangkalan di Malaysia yang didakwa membantu pengeluaran dron Iran. Washington menuduh Iran membekalkan dron berbahaya kepada kumpulan yang didakwa sebagai proksi pengganas di Timur Tengah dan kepada Rusia untuk digunakan di Ukraine.

Pada Jumaat, Jabatan Perbendaharaan berkata dua pegawai tingginya akan melawat Malaysia dan Singapura dari 6 hingga 9 Mei untuk melaksanakan tugas mereka dalam menangani apa yang disifatkan sebagai pembiayaan keganasan oleh Iran dan proksinya serta pelaksanaan sekatan terhadap Rusia.

“Sejak awal tahun ini, Jabatan Perbendaharaan AS telah mengambil beberapa tindakan penting untuk memerangi dan mengekang penghantaran haram minyak Iran kepada pembeli di Asia Timur termasuk melalui pemindahan kapal ke kapal di perairan antarabangsa berhampiran Singapura dan Malaysia,” menurut jabatan itu dalam kenyataan pada Jumaat.

“Di Malaysia, Setiausaha Rendah Nelson dan Peguam MacBride akan membincangkan usaha Amerika Syarikat bagi mengekang pembiayaan pengganas termasuk melalui pengumpulan dana untuk badan amal palsu dan penjualan minyak haram sambil memastikan sekatan AS serta langkah kewangan lain tidak menghalang aliran bantuan kemanusiaan kepada Gaza.”

BenarNews menghubungi Pejabat Perdana Menteri dan kementerian luar untuk mendapatkan komen mengenai lawatan pegawai AS terbabit serta kenyataan Kagan namun belum mendapat maklum balas.

MY-graphic-pic.JPG

Imej bendera Iran dan model pam minyak mini bertindih dengan foto graf perdagangan stok dalam ilustrasi ini daripada 9 Okt 2023. [Dado Ruvic/Ilustrasi/Reuters]

Kedua-dua isu iaitu sekatan terhadap Rusia dan Iran telah menyaksikan negara-negara di Timur dan Barat berpecah dalam respons mereka.

Dalam kes Iran, respons lebih berbeza susulan serangan oleh militan Hamas Palestin pada 7 Okt yang mengorbankan kira-kira 1,100 orang serta tindak balas Israel selepas itu yang telah meragut lebih 34,000 nyawa penduduk di Gaza.

AS dan sekutunya di Barat dengan tegas menyalahkan Rusia atas pencerobohannya ke atas Ukraine pada Februari 2022 dan menyokong kuat Israel manakala kebanyakan negara di Asia Tenggara dan bahagian lain di dunia tidak begitu cepat melatah untuk mengutuk Moscow namun dengan lantang mengecam Israel.

Malaysia, sebuah negara majoriti Islam, secara konsisten menganjurkan penyelesaian dua negara kerana negara Yahudi itu telah menduduki wilayah Palestin di Gaza dan Tebing Barat. Dan susulan krisis terkini, ia dengan lantang mengutuk tindakan Israel.

Malaysia telah mengambil pendirian menyokong Iran, yang melancarkan dron dan menembak peluru berpandu ke arah Israel pada 13 April. Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan tindakan Iran sebagai "tindakan yang sah" bagi membalas serangan "biadab" Israel ke atas konsulat Iran di Damsyik.

'Saya tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan'

Anwar juga telah mengungkit ugutan berhubung sekatan yang bakal dikenakan oleh AS.

Beliau berkata pada November bahawa Malaysia akan mengekalkan hubungan dengan Hamas dan tidak takut dengan ancaman sekatan "sepihak" akibat tindakan itu susulan cadangan undang-undang AS untuk mengenakan sekatan ke atas penyokong kumpulan itu.

Beliau mengulas pelulusan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan Antarabangsa Hamas dan Kumpulan Pengganas Palestin Lain pada 1 Nov oleh Dewan Perwakilan AS. Ia belum diluluskan oleh Senat.

"Saya tidak akan tunduk kepada sebarang ugutan termasuk yang ini," kata Anwar di Parlimen ketika itu.

"Tindakan ini adalah unilateral dan tidak sah kerana kami, sebagai negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, hanya mengiktiraf keputusan yang dibuat oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu."

Pada Disember, Malaysia melarang kapal milik syarikat perkapalan Israel ZIM, yang mengibarkan bendera Israel serta kapal lain yang menuju ke negara itu daripada berlabuh di pelabuhannya dan berkata ia adalah tindak balas terhadap perbuatan negara Yahudi itu di Gaza.

Washington pertingkat tekanan

Bagaimanapun, dakwaan mengenai sokongan Malaysia kepada pengelakan Iran terhadap sekatan AS sudah dilakukan sejak bertahun-tahun, lama sebelum krisis terbaru di Timur Tengah.

Terbaharu, Pentadbiran Maklumat Tenaga AS (USEIA) pada September memaklumkan bahawa import minyak China dari Malaysia pada separuh pertama 2023 meningkat kepada 1 juta tong sehari - satu angka yang melebihi jumlah pengeluaran di negara itu.

USEIA merujuk kepada artikel pada Mei 2021 daripada laman sesawang Institut Timur Tengah yang berpangkalan di Washington untuk menjelaskan percanggahan ini. Artikel itu bertajuk "Pengelakan sekatan terhadap Iran dan perdagangan minyak yang kompleks di Teluk Parsi" serta turut memetik sumber berita seperti Bloomberg dan Reuters.

"Dengan diskaun yang besar ke atas eksport minyak haram Iran yang berisiko tinggi, pembeli di China membeli begitu banyak sehingga kapal tangki membanjiri pelabuhan-pelabuhan di negara itu," menurut artikel itu, merujuk kepada laporan berita Bloomberg News untuk maklumat mengenai pelabuhan terbabit.

“Mengenal pasti asal usul sebenar minyak adalah sukar, bagaimanapun, memandangkan ia sering diimport secara 'tidak langsung' mula-mula melalui hab pemindahan penghantaran di UAE, Malaysia dan Oman atau hanya dilabel semula sebagai minyak dari'Timur Tengah,'" katanya memetik Reuters sebagai sumber maklumat mengenai import tidak langsung itu.

Sementara itu, Washington meningkatkan tekanan terhadap pihak yang melanggar sekatan tersebut.

Kunjungan pegawai Jabatan Perbendaharaan AS ke Malaysia dibuat tidak sampai dua minggu selepas Presiden Joe Biden menandatangani pakej keselamatan negara termasuk 'Akta Keamanan Abad Ke-21 melalui Kekuatan' yang memanjangkan statut pengehadan bagi pelanggaran sekatan kepada 10 tahun.

Ia termasuk Stop Harboring Iranian Petroleum (SHIP) Act, yang membenarkan sekatan ke atas pelabuhan, kapal dan kilang penapisan asing yang terlibat dalam perdagangan produk petroleum Iran yang berdepan sekatan.

Selain itu, Fight and Combat Rampant Iranian Missile Exports Act, Iran-China Energy Sanctions Act 2023 dan No Technology for Terror Act, masing-masing menangani aspek khusus sekatan serta aktiviti berkaitan Iran.

Dalam artikel terbaru untuk The Washington Institute for Near East Policy, pembantu penyelidik Rebecca Redlich menulis bahawa "Kuala Lumpur sekali lagi menunjukkan kesanggupannya untuk memudahkan aktiviti haram Iran."

"Amerika Syarikat telah berulang kali berusaha untuk mengekang hubungan Kuala Lumpur yang semakin meningkat dengan Iran melalui sekatan ke atas pelbagai entiti yang berpangkalan di Malaysia," menurutnya dalam artikel bertarikh 24 April.

“Para pegawai AS telah menumpukan sebahagian besar tindakan jangkauan dan hukuman mereka terhadap bidang di mana keputusan Malaysia secara langsung mengancam objektif AS seperti memudahkan penjualan minyak Iran haram dan mewujudkan persekitaran permisif untuk mengelakkan sekatan.”

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.