AS Tuduh China Takutkan ASEAN Berhubung Laut China Selatan

Wilawan Watcharasakwet & Nontarat Phaicharoen
2019.11.04
Bangkok, Thailand
191104-SEA-asean-620.jpg Penasihat Keselamatan Negara Amerika Syarikat Robert O’Brien semasa bercakap pada persidangan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara di Bangkok, Thailand, 4 Nov, 2019.
(Pimuk Rakkanam/BeritaBenar)

China tidak boleh menentukan syarat-syarat di Laut China Selatan untuk negara-negara lebih kecil yang turut mempunyai tuntutan terhadap laluan perairan strategik itu, kata pegawai kanan keselamatan Amerika Syarikat kepada pemimpin dan pegawai Asia Tenggara yang berhimpun untuk mengadakan perbincangan tahunan di Bangkok pada Isnin.

Penasihat Keselamatan Negara AS Robert O'Brien berkata kejayaan ekonomi negara-negara anggota ASEAN - empat daripadanya mempunyai tuntutan bertindih bersama-sama Beijing terhadap Laut China Selatan - akan membantu keupayaan persatuan itu "untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan" di rantau berkenaan, terutama yang melibatkan laluan perairan.

"Beijing telah menakut-nakutkan negara-negara ASEAN dengan cuba menghalang negara tersebut daripada menerokai sumber-sumber semula jadi, menyekat akses kepada rizab minyak dan gas yang bernilai sebanyak AS$2.5 trilion," katanya pada pertemuan dengan sepuluh negara anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) itu. "Taktik ini adalah bertentangan dengan peraturan menghormati, keadilan dan undang-undang negara."

"Rantau ini tidak berminat dengan era imperialis baru di mana sebuah negara besar boleh memerintah yang lain berdasarkan teori yang kuat selalunya betul," katanya, sambil memberitahu bahawa AS mahu China mempunyai hubungan yang baik dengan negara-negara jirannya.

Sidang kemuncak itu biasanya dihadiri oleh ketua-ketua negara tetapi Presiden AS Donald Trump mewakilkannya kepada O'Brien, yang dilaporkan sebagai langkah yang mengecewakan para pegawai ASEAN, yang sekurang-kurangnya menjangkakan Naib Presiden Mike Pence atau Setiausaha Negara Mike Pompeo untuk menghadirinya, menurut beberapa diplomat.

Tuan rumah sidang kemuncak itu Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-cha dan pemimpin Vietnam dan Laos adalah ketua negara ASEAN yang menghadiri mesyuarat AS-ASEAN. Negara-negara lain hanya mewakilkannya kepada menteri luar masing-masing.

Prayuth, dalam ucapan semasa mengakhiri sidang kemuncak itu, mengulangi pentingnya mengekalkan dan menggalakkan keamanan, keselamatan dan kebebasan bernavigasi di Laut China Selatan.

China menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan itu sebagai miliknya sementara negara anggota ASEAN iaitu Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam dan negara bukan anggota iaitu Taiwan  mempunyai tuntutan bertindih terhadap laluan perairan yang sibuk itu.

China dan ASEAN terus berunding mengenai kod tatalaku untuk mengawal selia tingkah laku di Laut China Selatan sejak hampir dua dekad lalu.

Sementara itu, China telah membina tujuh pulau buatan manusia dan melengkapinya dengan landasan tentera, sistem pertahanan peluru berpandu dan pos-pos kawalan. Kapal-kapalnya turut meronda di perairan itu.

"Kami mengalu-alukan kerjasama yang semakin baik antara ASEAN dan China serta merasa tergalak dengan perkembangan rundingan substantif terhadap langkah untuk menyudahkan lebih awal kod etika itu secara berkesan dan substantif di Laut China Selatan," kata Prayuth.

"Kami mengakui tentang perlunya mempertingkatkan kepercayaan dan keyakinan bersama, mengamalkan kekangan untuk melakukan kegiatan dan mengelakkan tindakan yang boleh merumitkan lagi keadaan."

Malaysia dan Filipina menggesa semua negara ASEAN supaya mengamalkan kekangan sedemikian di rantau itu.

"Sebarang masalah yang kita ada di Laut China Selatan, ia boleh diselesaikan melalui rundingan, pastinya bukan melalui keganasan dan peperangan," kata Perdana Menteri Malaysia, Mahathir Mohamad kepada pemberita.

“Masalahnya sekarang ialah negara-negara lain (dari luar ASEAN) yang tidak mesra dengan China, cuba mengapi-apikan negara-negara anggota ASEAN dan cuba mendapatkan sokongan supaya bermusuh dengan China,” katanya tanpa menyatakan negara tersebut. “Jika berlaku perang dan keganasan, mangsanya adalah negara-negara anggota ASEAN dan China,” kata beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.