ASEAN terus didesak hukum Myanmar

Badan serantau itu perlu menggantung keanggotaan negara yang diperintah junta itu walaupun ia tidak termaktub dalam piagamnya, kata seorang penganalisis.
Ahmad Syamsudin & Dandy Koswaraputra
2022.07.27
Jakarta
ASEAN terus didesak hukum Myanmar Rakyat Myanmar melaungkan kata-kata kecaman terhadap junta negara mereka semasa menyertai perhimpunan di luar Kedutaan Myanmar di Bangkok bagi membantah pelaksanaan hukuman mati Naypyidaw ke atas aktivis demokrasi veteran Ko Jimmy dan tiga lagi ahli politik, 26 Julai 2022.
[Subel Rai Bhandari/BenarNews]

KEMASKINI pada 8 malam waktu tempatan ETS - 2022-07-27

ASEAN terus didesak supaya menghukum junta Myanmar kerana melaksanakan hukuman mati ke atas empat tahanan politik, dengan seorang penganalisis mencadangkan badan Asia Tenggara itu mengambil tindakan yang tidak pernah berlaku sebelum ini iaitu menggantung keanggotaan Naypyidaw.

Sementara itu pada Rabu, Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi mengulangi gesaan rakan sejawatannya dari Malaysia supaya diadakan satu perbincangan khas mengenai Myanmar semasa mesyuarat peringkat menteri Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara, yang dijadualkan pada minggu depan.

Pada Selasa, ASEAN yang dianggotai 10 negara itu telah mengeluarkan kecaman keras terhadap junta Burma setakat ini, dengan menyifatkan hukuman mati ke atas empat pembangkang negara itu sebagai tindakan yang "amat terkutuk". Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah menganggap hukuman gantung itu sebagai perbuatan "jenayah terhadap kemanusiaan."

Tetapi penganalisis politik di rantau itu menyatakan bahawa ASEAN, yang beroperasi secara konsensus, perlu bertindak mengikut kata-kata kerasnya dengan mengambil tindakan lebih tegas terhadap Myanmar yang diperintah tentera itu kerana melanggar konsensus lima perkara yang disepakati pada April 2021, termasuk menamatkan keganasan di Myanmar selepas berlakunya rampasan kuasa.

Pelaksanaan hukuman mati terhadap veteran pro-demokrasi Ko Jimmy dan tiga tahanan politik lain "mungkin menjadi titik tolak" bagi ASEAN, menurut Sharon Seah, ahli akademik di Institut ISEAS-Yusof Ishak di Singapura.

"ASEAN perlu memikirkan secara serius berhubung pendekatannya terhadap Myanmar termasuk melaksanakan satu bentuk penggantungan sementara secara de facto walaupun ia tidak diperuntukkan secara jelas dalam Piagam ASEAN," menurut Seah yang juga penyelaras Pusat Kajian ASEAN dan Perubahan Iklim institut itu dalam ciapan Twitter beliau.

“Jika ASEAN tidak mengambil tindakan yang lebih tegas, ia akan kelihatan lemah dan kurang kredibiliti. Namun, jika ia melakukannya, ia berisiko menutup pintu rundingannya dengan SAC secara kekal,” katanya, merujuk kepada Majlis Pentadbiran Negara iaitu nama rasmi bagi rejim tentera yang diketuai oleh Jeneral Kanan Min Aung Hlaing.

Dalam sejarah 55 tahunnya, ASEAN tidak pernah melarang atau memecat negara anggotanya. Pada 1997, apabila Perdana Menteri Kemboja pada ketika itu Hun Sen telah menggulingkan Putera Norodom Ranariddh, negara itu hanya diberi "status pemerhati" dalam ASEAN.

Berikutan rampasan kuasa itu, ASEAN menangguhkan penyertaan Kemboja dan menghantar menteri luar dari Indonesia, Thailand dan Filipina ke negara itu untuk menjadi perantara dalam mencari penyelesaian damai bagi krisis tersebut, sama seperti apa yang cuba dilakukan oleh persatuan itu menerusi utusan khas ke Myanmar.

Menurut Piagam ASEAN: "Dalam kes pelanggaran serius atau tidak mematauhi Piagam, perkara ini akan dirujuk ke Sidang Kemuncak ASEAN untuk membuat keputusan."

Seorang profesor di Universiti Kuala Lumpur, Aizat Khairi, pula berpendapat bahawa beberapa bentuk hukuman perlu dikenakan terhadap pihak yang melaksanakan hukuman mati itu.

“Mungkin sukar untuk memecat Myanmar daripada ASEAN tetapi ia merupakan pendirian yang, jika diambil, akan menghantar mesej kuat kepada junta itu bahawa ASEAN sememangnya bersatu dan tidak bertolak ansur dengan jenayah terhadap kemanusiaan,” katanya kepada BenarNews.

Aizat berkata ASEAN boleh membawa pemimpin junta itu ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa dan mengenakan sekatan ekonomi.

Badan serantau itu juga perlu berbincang dengan Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG) pembangkang dan Majlis Perundingan Perpaduan Nasional (NUCC) iaitu kerajaan bayangan yang diharamkan oleh junta, katanya.

Junta Burma menghukum mati Ko Jimmy (nama sebenarnya Kyaw Min Yu), bekas ahli parlimen Liga Kebangsaan untuk Demokrasi Phyo Zeya Thaw serta aktivis Hla Myo Aung dan Aung Thura Zaw – mungkin pada Sabtu lepas – tetapi mengumumkan mengenai hukuman mati itu pada Isnin.

Mahkamah tentera telah mensabitkan mereka atas kesalahan "pengganas" dan mereka gagal dalam rayuan terhadap hukuman mati itu. Pihak junta juga menolak kemungkinan memberi pengampunan kepada mereka yang telah dihukum. Hukuman gantung yang dilaksanakan itu menerima kecaman dunia.

Seah berkata walaupun Myanmar telah dihalang daripada menghantar wakil politik ke mesyuarat Menteri-menteri luar ASEAN, namun ia dibenarkan menghantar wakil politik ke mesyuarat menteri lain.

Beliau mencadangkan supaya Myanmar dilucutkan peranan dan tugasan dalam ASEAN.

“ASEAN tidak mempunyai pengaruh dalam permainan nekad siaga ini dengan SAC. Sebagai permulaan, ASEAN perlu lebih jelas dalam pendekatannya,” kata beliau.

Di Indonesia, yang menempatkan ibu pejabat ASEAN, akhbar berbahasa Inggeris Jakarta Post telah menggesa "tindakan tegas terhadap junta Myanmar yang kejam."

"Sekarang Presiden [Joko] Jokowi [Widodo] harus menunjukkan kepada dunia bahawa ASEAN tidak boleh bertolak ansur dengan tindakan biadab Jeneral [Min Aung] Hlaing," menurut akhbar itu dalam ruang lidah pengarangnya.

"ASEAN yang membisu hanya akan menghantar isyarat yang salah bahawa ia membenarkan perlakuan kejam tersebut," menurut akhbar itu.

Akhbar berkenaan juga menggesa Retno, diplomat tertinggi Indonesia, supaya mengadakan mesyuarat tergempar menteri luar ASEAN "untuk membincangkan tindakan kolektif terhadap junta Myanmar kerana menghina perjanjian lima perkara secara terang-terangan."

Susulan kritikan berhubung kurangnya kecaman dari Indonesia, Retno pada Rabu berkata bahawa hukuman mati itu telah memberi tamparan besar kepada konsensus lima perkara yang disepakati ASEAN.

"Presiden [Joko "Jokowi" Widodo] melahirkan rasa kecewa dengan kurangnya kemajuan dalam pelaksanaan [konsensus] itu," kata Retno pada sidang media.

“Saya telah mencadangkan agar mesyuarat menteri luar ASEAN pada awal Ogos ini di Phnom Penh membincangkan secara khusus perkembangan terkini perkara itu.”

Muzliza Mustafa di Kuala Lumpur dan Pimuk Rakkanam di Bangkok turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.