Follow us

Asia Tenggara Mungkin Jadi Pangkalan Baru Militan Negara Islam, Menteri

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-11-27
E-mel
Komen
Share
Latihan anti-keganasan oleh anggota Polis DiRaja Malaysia di sekitar kawasan KL Sentral di Kuala Lumpur, 20 Julai 2017.
Latihan anti-keganasan oleh anggota Polis DiRaja Malaysia di sekitar kawasan KL Sentral di Kuala Lumpur, 20 Julai 2017.
[AP]

Malaysia tidak menolak kemungkinan militan Negara Islam [IS] akan menjadikan Asia Tenggara sebagai pangkalan baru mereka selepas kematian tertingginya Abu Bakr al-Baghdadi terbunuh dalam serangan khas oleh pasukan elit Tentera Amerika Syarikat di Syria, demikian kata Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin pada persidangan ASEAN di Bangkok pada Rabu.

Muhyiddin semasa bercakap pada Sesi Pleno Mesyuarat Menteri-Menteri Persatuan Negara-negara Asia Tenggara [ASEAN] bagi Jenayah Rentas Negara (AMMTC) ke-13 menegaskan bahawa pihak berkuasa Malaysia sentiasa berwaspada susulan kematian al-Baghdadi yang dilihat boleh membawa kepada babak operasi keganasan IS.

“Selepas kehilangan banyak wilayahnya di Syria dan Iraq, Daesh kini mencari sebuah pangkalan baharu… Malaysia tidak menolak kemungkinan Daesh beralih ke rantau Asia Tenggara,” kata Muhyiddin yang merujuk Daesh, nama lain bagi IS.

AMMTC ke-13 adalah platform membincangkan perkara berkaitan jenayah rentas negara termasuk penyeludupan senjata api, keganasan, pengubahan wang haram, pelanunan laut, penyeludupan orang, pemerdagangan manusia, jenayah ekonomi antarabangsa, jenayah siber, pengedaran dadah dan penyeludupan hidupan liar serta kayu balak.

Sesi pleno AMMTC turut memberi peluang kepada menteri berkaitan berkongsi pengalaman dan amalan terbaik selain mengambil maklum cabaran yang dihadapi setiap negara dalam memerangi jenayah rentas negara.

Muhyiddin turut memberitahu sesi pleno itu tentang adanya ancaman yang semakin memuncak daripada kepulangan pejuang pengganas asing, radikalisasi dalam talian dan serangan pengganas yang bergerak secara sendiri.

Sehubungan itu, katanya, Malaysia telah memanfaatkan sepenuhnya pangkalan data Interpol berkaitan ‘Dokumen Perjalanan yang Hilang dan Dicuri’ untuk membuat saringan ke atas "pelancong asing" bagi menahan penjenayah atau pengganas daripada memasuki negara.

Muhyiddin memberitahu bahawa pihak berkuasa Malaysia juga menubuhkan ‘Counter Messaging Centre’ (CMC), yang memantau dan memintas radikalisasi dalam talian yang dijalankan dalam platform media sosial, selain membuat banyak tangkapan dan mengetahui terlebih dahulu potensi serangan.

“Sejak enam tahun lepas, Polis DiRaja Malaysia telah berjaya menumpaskan kira-kira 25 percubaan oleh Daesh untuk melakukan serangan di Malaysia dengan turut menahan seramai 512 suspek yang terbabit dalam aktiviti berkaitan keganasan,” kata Menteri itu lagi, yang teks ucapannya di Bangkok itu, diperolehi BeritaBenar.

Oktober lepas, Presiden Amerika Donald Trump telah mengumumkan bahawa Abu Bakr terbunuh dalam satu serangan khas dilancarkan oleh unit elit tentera Amerika Syarikat di satu lokasi di barat laut Syria.

Menurut Trump, Abu Bakr terbunuh dalam satu terowong rahsia dalam cubaan beliau untuk meletupkan diri sendiri.

Bloomberg, agensi media antarabangsa pula melapurkan yang kepimpinan IS seterusnya telah menamakan Abu Ibrahim al Hashimi al Qurashi sebagai pengganti Abu Bakr.

Asia Tenggara punya potensi

Sementara itu, pakar anti-keganasan dan pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Ahmed El-Muhammady berkata rantau Asia Tenggara merupakan salah satu destinasi yang mempunyai potensi besar untuk menjadi pangkalan IS yang baru kerana kedudukannya yang strategik serta mempunyai dokongan kuat daripada kelompok ekstrimis Islam.

"Melihat faktor global, rantau Asia Tenggara merupakan satu lokasi pilihan selain daripada Timur Tengah ataupun rantau Afrika. Di Afrika kini, terdapat kumpulan-kumpulan militant yang sedang membesar.

"Selain itu, faktor lain bagi Asia Tenggara adalah kerana rantau itu mempunyai dokongam dari kelompok ekstrimis dan kedudukan strategik seperti Mindanoa… Indonesia juga mempunyai sokongam yang agak besar dari kumpulan ekstrimis ini. Oleh itu rantau ini merupakan potensi besar sebagai pangkalan terusnya," kata beliau semasa dihubungi BeritaBenar pada Rabu.

Sebelum ini, Ketua Penolong Pengarah Cawangan Khas Bahagian Anti-Keganasan Ayub Khan Mydin Pitchay kematian Abu Bakr akan menguatkan semangat puak ekstrimis untuk menghidupkan pangkalan IS di Asia Tenggara terutama di selatan Filipina.

"IS akan terus menjadi kumpulan yang bahaya walaupun setelah kematian ketua mereka. Kita tidak akan memandang remeh perkara ini. Kita telah berjaya mengesan pelan mereka untuk mewujudkan kalifah di Asia Tenggara sejak kekalahan di Raqqa pada tahun 2017," kata Ayub Khan bulan lepas.


Lihat Laman Penuh