ASEAN Dikritik Kerana Jemput Ketua Junta Myanmar Ke Sidang Kemuncak Khas

Ramai aktivis dan penganalisis serantau meminta supaya rejim yang telah membunuh orang awam itu tidak dijemput ke sidang kemuncak berkenaan, sebaliknya mereka mengalu-alukan penyertaan wakil rakyat Myanmar.
Staf BenarNews
2021.04.19
Bangkok, Jakarta & Kuala Lumpur
ASEAN Dikritik Kerana Jemput Ketua Junta Myanmar Ke Sidang Kemuncak Khas Penunjuk perasaan memegang poster sebagai tanda menyokong Kerajaan Perpaduan Nasional yang baru ditubuhkan pembangkang ketika mereka mengadakan demonstrasi bagi menentang rampasan kuasa tentera di Shwebo, dalam wilayah Sagaing, Myanmar, 18 April 2021.
[Foto diterima oleh AFP dari Facebook menerusi sumber tanpa nama]

Aktivis dan penganalisis serantau mengecam ASEAN kerana menjemput ketua junta Myanmar ke sidang kemuncak khas yang akan diadakan pada hujung minggu ini untuk membincangkan mengenai pergolakan di negara anggotanya itu selepas berlakunya rampasan kuasa tentera.

Pemimpin junta tentera Myanmar, Min Aung Hlaing, adalah antara pemimpin Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) yang dijangka menghadiri mesyuarat khas itu yang akan berlangsung di ibu pejabat blok serantau berkenaan di Jakarta pada 24 April ini, kata jurucakap Kementerian Luar Thailand.

"Saya boleh mengesahkan bahawa Pengerusi [ASEAN] Brunei telah mencadangkan tarikh mesyuarat itu pada 24 April dengan venuenya adalah di pejabat Sekretariat di Jakarta. Beberapa pemimpin telah mengesahkan kehadiran mereka termasuk MAH Myanmar. Beberapa pemimpin lain masih belum berbuat demikian,” kata jurucakap Tanee Sangrat kepada BenarNews melalui pesanan teks.

Indonesia dan Malaysia adalah dua negara anggota ASEAN pertama yang mendesak supaya diadakan sidang kemuncak khas para pemimpin itu untuk membincangkan keadaan di Myanmar. Namun, menjelang mesyuarat khas pegawai dari seluruh ASEAN termasuk negara tuan rumah Indonesia, kebanyakannya daripada mereka membisu mengenai pertemuan itu.

Presiden Indonesia Joko "Jokowi" Widodo akan menghadiri sidang kemuncak khas itu, kata sumber yang rapat dengan beliau kepada BenarNews.

Tetapi, Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-o-Cha tidak akan menghadirinya dan negara itu mungkin diwakili oleh diplomat kanannya, Don Pramudwinai, dan timbalan perdana menteri, kata Tanee. Prayuth, bekas pemimpin junta Thailand, "telah memutuskan untuk tidak menghadiri” sidang kemuncak ASEAN, lapor Bangkok Post pada Isnin, dengan memetik sumber kerajaan yang tidak menjelaskan mengenai keputusan tersebut.

Irine Putri, ahli parlimen dari Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) yang memerintah Indonesia, berkata bahawa kehadiran Min Aung Hlaing tidak sepatutnya diterima di Jakarta.

"Kerajaan Indonesia tidak boleh memberikan pengiktirafan kepada junta ini sebagai kerajaan Myanmar yang sah kerana rejim ini telah membunuh ramai orang awam dan menyekat gerakan demokrasi," kata Irine dalam satu kenyataan.

Lebih daripada 700 orang, yang kebanyakannya penunjuk perasaan yang menentang rampasan kuasa, telah dibunuh oleh pihak tentera dan pasukan keselamatan Myanmar sejak para pemimpin tentera menggulingkan kerajaan dipilih rakyat pimpinan Aung San Suu Kyi pada 1 Februari, menurut Persatuan Bantuan Tawanan Politik, sebuah kumpulan hak asasi manusia Myanmar yang berpusat di Thailand.

Irine berkata ASEAN sepatutnya menjemput wakil Kerajaan Perpaduan Nasional (NUG), sebuah kerajaan bayangan yang dilancarkan pada Jumaat dengan ia dianggotai ahli parlimen yang memenangi kawasan ditandingi pada pilihan raya November 2020, yang digulingkan tentera Myanmar secara paksa.

"Myanmar berada di ambang perang saudara, dan kita tahu bahawa NUG dan rakyat Myanmar tidak akan mundur. ASEAN perlu memberi tekanan kepada rejim tentera supaya mengembalikan mandat kepada kerajaan awam,” katanya.

NUG juga diwakili oleh kumpulan etnik utama Myanmar, yang kebanyakannya mempunyai pasukan tentera mereka sendiri.

ASEAN perlu jelas dengan ia tidak boleh mengiktiraf junta Myanmar dan persatuan itu perlulah berbincang dengan NUG, kata Scott Marciel, bekas duta besar Amerika ke Myanmar.

"Persetujuan ASEAN untuk membenarkan Min Aung Hlaing mewakili Myanmar pada sidang kemuncak akan datang itu boleh menjejaskan kepentingan blok itu," kata Marciel melalui Twitter pada Ahad.

"Untuk mengelak kedudukannya terus terjejas, ASEAN perlu berunding dengan NUG dan mengakhiri sidang kemuncak itu dengan tindakan tegas untuk menunjukkan bahawa ia tidak menerima junta itu."

Pembunuhan yang berlaku selepas rampasan kuasa oleh rejim tentera Myanmar menguji prinsip utama piagam badan serantau itu dari aspek menggalakkan serta melindungi hak asasi manusia dan kebebasan asasi, katanya.

"Ini akan menjadi mesyuarat penting bagi Myanmar, tetapi jauh lebih penting bagi ASEAN. Satu daripada negara anggotanya telah diambil alih oleh pasukan mudah membunuh yang tidak mempunyai sebarang mandat dan mengancam kestabilan serantau. Ia memberi cabaran langsung kepada piagam ASEAN dan paksinya,” kata Marciel dalam catatan Twitter sebelum itu.

Bridget Welsh, seorang saintis politik di Universiti Nottingham di Malaysia, menyokong gesaan yang disuarakan Marciel dan Irine.

"Tidak perlu membawa pembunuh ke meja rundingan," kata Welsh kepada BenarNews.

“Lebih baik ASEAN memberi mereka kuasa untuk membunuh rakyat Myanmar. Ada yang telah berbuat demikian, yang membolehkan pembunuhan berlaku. Sepatutnya, NUG yang perlu menghadiri mesyuarat itu. "

Min Aung Hlaing sepatutnya dipenjarakan, kata Simon Adams, pengarah eksekutif Pusat Global bagi Tanggungjawab Untuk Melindungi.

"Jeneral Min Aung Hlaing bertanggungjawab bagi semua jenayah terhadap kemanusiaan dan sepatutnya ditahan. Dia harus ditangkap mengikut bidang kuasa sejagat sekiranya dia meninggalkan Myanmar,” kata Adams dalam catatan Twitter pada hujung minggu lalu.

"Sebaliknya, Kerajaan Perpaduan Nasional yang perlu dijemput ke sidang kemuncak itu."

ASEAN ‘dikutuk’ oleh aktivis Myanmar

Pada Isnin, 88 Generation Peace and Open Society, sebuah kumpulan yang dinamakan sempena pemberontakan pro-demokrasi 1988 yang mengetengahkan Suu Kyi, mengecam jemputan yang dibuat ASEAN kepada ketua junta baru itu. Badan serantau Asia Tenggara itu sering tidak mengendahkan kurangnya demokrasi di Myanmar, kata kumpulan itu.

“Sepanjang perjuangan Myanmar untuk mendapatkan demokrasi sejak 30 tahun lalu, ASEAN selalu berpihak kepada tentera,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan yang dimuat naik melalui Twitter dan Facebook.

"Oleh itu, kami dengan sekeras-kerasnya mengecam dan mengutuk jemputan ASEAN kepada junta itu dan akan menganggap ASEAN bertanggungjawab atas kekejaman seterusnya yang dilakukan oleh rejim menindas tersebut pada masa depan, ekoran penerimaan yang dibuat oleh ASEAN."

Sementara itu, ratusan pengguna media sosial memuat naik catatan Twitter dengan hashtag "ASEANrejectSAC", yang dilancarkan pada Ahad, dalam usaha untuk memastikan ASEAN tidak menjemput panglima komando tentera Myanmar itu. Hashtag itu merujuk kepada nama rasmi junta tersebut, Majlis Pentadbiran Negara.

Milk Tea Alliance, sebuah gerakan yang menganjurkan demonstrasi pro-demokrasi di Asia, pada Isnin menggesa PBB dan ASEAN supaya bertindak tegas untuk menangani krisis kemanusiaan dan politik di Myanmar serta tidak terlibat dengan junta tentera itu.

"Reaksi pengecut daripada kalangan komuniti antarabangsa sejak beberapa dekad lalu telah mendorong pihak tentera Myanmar untuk melakukan kejahatan paling buruk tanpa dikenakan sebarang hukuman," kata gerakan itu dalam satu kenyataan.

"Pola ini perlu berubah, dan ia mesti berubah sekarang."

NUG pula menyuarakan rasa kesal dengan jemputan yang dibuat kepada Min Aung Hlaing untuk menyertai sidang kemuncak itu di Jakarta.

"Sekiranya ASEAN sedang mempertimbangkan tindakan yang berkaitan dengan hal ehwal Myanmar, saya ingin menyatakan bahawa ia tidak akan berjaya kecuali dengan berunding dengan NUG, yang disokong oleh rakyat dan mempunyai mandat penuh," kata Wakil Menteri Luar Negeri NUG Moe Zaw Oo kepada Voice of America pada Ahad.

Negara-negara ASEAN masih mempertimbangkan pendirian mereka terhadap NUG, kata Welsh dari University Nottingham.

"Saya difahamkan ia masih dibincang. ASEAN masih ragu-ragu untuk mengiktiraf NUG mungkin kerana ia mahukan perkara yang lebih jelas. Beberapa pihak dalam ASEAN juga menyukai Tatmadaw,” katanya, yang menggunakan nama rasmi angkatan bersenjata Myanmar.

Welsh turut membangkitkan tentang ASEAN yang juga mempunyai pemimpin daripada kalangan bekas tentera dan negara satu parti.

Dalam negara anggota ASEAN, pemimpin Thailand Prayuth menjadi perdana menteri setelah melakukan rampasan kuasa yang diterajuinya semasa menjadi pemimpin tentera pada 2014. Bekas jeneral itu mengekalkan jawatannya pada pilihan raya 2019, yang dilihat oleh parti-parti pembangkang sebagai mendapat sokongan tentera.

Kemboja, Laos dan Vietnam pula merupakan negara satu parti. Dan Brunei, penyandang pengerusi ASEAN pada tahun ini, merupakan negara kesultanan.

"Dalam beberapa dekad selepas Myanmar menyertai badan serantau itu pada tahun 1997, ASEAN berfungsi sebagai payung diplomatik yang melindungi rejim tentera Myanmar sebelum ini serta pencabulan hak asasi manusia yang dilakukan mereka daripada kecaman masyarakat antarabangsa yang diteerajui oleh negara-negara Barat," kata Naing Khit, yang mengulas mengenai hal ehwal politik dalam The Irawaddy, sebuah laman web berita serantau, pada minggu lalu.

ASEAN dikritik hebat kerana tidak mencapai kata sepakat tentang bagaimana menangani junta tentera Myanmar.

Pada pertemuan Mac lalu, menteri luar dari negara-negara anggota ASEAN tidak dapat mencapai kata sepakat dalam menggesa pembebasan Suu Kyi dan pemimpin Myanmar yang dipilih secara demokrasi, yang ditahan pihak tentera sejak rampasan kuasa itu berlaku. Sebaliknya, ASEAN hanya menggesa supaya dihentikan keganasan di Myanmar dan mendesak diadakan dialog bagi menamatkan krisis itu.

Pada Isnin, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu António Guterres menyatakan bahawa beliau kecewa dengan perpecahan yang berlaku dalam ASEAN sehingga menghalang badan serantau itu untuk memberi tindak balas sepakat terhadap Myanmar.

"Situasi ini memerlukan tindak balas antarabangsa yang utuh berdasarkan usaha serantau yang sepakat. Saya mendesak negara-negara serantau itu supaya memanfaatkan pengaruhnya untuk membendung kemusnahan lebih lanjut dan, akhirnya, mencari kaedah aman untuk keluar daripada bencana ini, ” lapor Agence France-Presse yang memetik ketua PBB itu dalam sidang video para pemimpin Majlis Keselamatan.

'Junta perlu hadir'

Sebaik-baiknya, pihak yang berseteru dalam pergolakan Myanmar haruslah diwakili dalam sidang kemuncak itu, kata penganalisis.

"Sudah tentu kem Suu Kyi perlu turut serta pada mesyuarat khas itu," kata Dewi Fortuna Anwar, pakar politik internasional di Lembaga Ilmu Pengetahuan Indonesia (LIPI) kepada BenarNews.

"Kehadiran junta tentera di sidang kemuncak ASEAN pastinya akan menyulitkan permuafakatan. Namun, tanpa kehadiran junta, usaha ASEAN untuk mencari jalan keluar daripada konflik Myanmar tidak mungkin berjaya. "

Dewi berkata ASEAN harus memberi tekanan kepada pihak junta itu supaya menamatkan keganasan dan membenarkan bantuan kemanusiaan komuniti antarabangsa disampaikan.

"Proses dialog inklusif mestilah melibatkan semua komponen utama masyarakat Myanmar dalam usaha memulihkan kestabilan politik, keselamatan dan demokrasi di Myanmar," katanya.

Teuku Rezasyah, pensyarah hubungan antarabangsa di Universiti Padjajaran di Bandung, berkata kehadiran pemimpin tentera Myanmar itu pada sidang kemuncak khas itu adalah amat penting.

"Sekiranya ASEAN ingin mendesak supaya segera dihentikan keganasan, membenarkan bantuan kemanusiaan disalurkan, maka perkara yang paling tepat adalah dengan berunding terus dengan pihak tentera. Saya rasa ini adalah peluang yang amat penting,” kata Teuku Rezasyah kepada BenarNews.

Tetapi, penyelesaian yang boleh memuaskan hati kedua-dua pihak nampaknya semakin sukar dicapai, kata bekas menteri luar Indonesia Marty Natalegawa.

"Hari demi hari, kita melihat setiap pihak bergerak lebih jauh mengikut haluan mereka sendiri," katanya kepada podcast YouTube pada minggu lalu, dengan memetik keputusan suruhanjaya pilihan raya junta untuk mengumumkan bahawa keputusan pilihan raya tahun lalu sebagai "batal dan tidak sah."

"Pada hari-hari awal [selepas rampasan kuasa], kita masih dapat menggambarkan bahawa situasi di mana langkah berundur mungkin dapat dilakukan tanpa rasa malu. Tetapi, sekarang pertaruhannya semakin tinggi dan ruang mencari damai semakin sulit,” katanya.

ASEAN, katanya, perlu inovatif dalam meyakinkan kedua-dua pihak supaya mencapai kesepakatan.

"Semua pihak haruslah dapat merasa bahawa mereka mempunyai kepentingan dalam kesepakatan itu," katanya, sambil menambah bahawa pemimpin tentera yang terlibat dalam pembunuhan orang awam perlu dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.