Follow us

AS Gesa ASEAN Pertimbang Semula Urusan Dengan Syarikat China Disenarai Hitam

Ahmad Syamsudin, Ronna Nirmala & Drake Long
Jakarta & Washington
2020-09-10
E-mel
Komen
Share
Setiausaha Negara AS Mike Pompeo berucap pada Mesyuarat Menteri ASEAN-AS secara dalam talian. 10 September 2020.
Setiausaha Negara AS Mike Pompeo berucap pada Mesyuarat Menteri ASEAN-AS secara dalam talian. 10 September 2020.
(VTV melalui AP)

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo pada Khamis menggesa negara-negara Asia Tenggara supaya mempertimbangkan semula urusan perniagaan dengan 24 syarikat dan individu China yang dikenakan sekatan oleh Washington pada bulan lalu susulan peranan mereka dalam membina pulau buatan Beijing di Laut China Selatan.

Syarikat-syarikat milik negara China itu bertindak agresif terhadap negara-negara pesisir Asia Tenggara di Laut China Selatan yang dipertikaikan, dan negara-negara berkenaan perlu aktif memelihara integriti wilayah mereka, kata Pompeo pada mesyuarat dalam talian bersama-sama menteri-menteri luar dari 10 anggota Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN).

"Pertimbangkan semula urusan perniagaan dengan syarikat milik negara yang membuli negara-negara pesisir ASEAN di Laut China Selatan," kata diplomat kanan Amerika itu pada mesyuarat tahunan berkenaan.

"Jangan sekadar bersuara sahaja, tetapi bertindaklah ... Jangan biarkan Parti Komunis China memijak kita dan rakyat kita."

Pompeo berkata China tidak menghormati nilai-nilai yang termaktub dalam piagam ASEAN sedangkan AS menyokong kedaulatan dan pertumbuhan negara-negara Asia Tenggara.

"Beijing tidak menghormati nilai-nilai asas demokratik yang termaktub dalam piagam ASEAN: kebebasan, kedaulatan, kesaksamaan, integriti wilayah dan identiti nasional. Hari ini, saya katakan, teruskanlah,” kata Pompeo.

"Anda perlu yakin bahawa Amerika Syarikat akan berada di sini atas nama persahabatan untuk membantu anda seperti mana yang telah kami lakukan sejak tiga setengah tahun lalu."

Sebanyak 24 syarikat dan individu China dinamakan dalam senarai sekatan itu oleh AS pada 26 Ogos susulan apa yang diperkatakan Washington sebagai penglibatan mereka dalam kegiatan penambakan di Laut China Selatan. Bulan lalu, Pompeo berkata bahawa syarikat dan individu yang dikenakan sekatan itu terlibat dalam kegiatan pengorekan besar-besaran China di laluan laut.

Namun, Filipina yang juga anggota ASEAN, menyatakan awal bulan ini bahawa ia tidak akan memutuskan hubungan perniagaan dengan firma China yang disenaraihitamkan oleh Washington.

Kerajaan Filipina berkata ia akan bekerjasama dengan syarikat-syarikat China itu kerana adalah menjadi "kepentingan nasional" untuk menyiapkan projek-projek infrastruktur perdana di negara tersebut yang melibatkan firma-firma berkenaan, kata Harry Roque, jurucakap Presiden Rodrigo Duterte.

"Kami bukan negara bawahan mana-mana kuasa asing dan kami akan meneruskan kepentingan nasional kami," kata Roque. "Presiden sudah menyatakan dengan jelas, beliau tidak akan mengikut arahan Amerika Syarikat kerana kami adalah negara yang bebas dan merdeka, dan kami memerlukan pelaburan China."

Ketegangan meningkat

Beijing sebaliknya menuduh AS terus campur tangan di Laut China Selatan.

Pada Rabu, Menteri Luar China Wang Yi menuduh AS sebagai menjadi "pendorong penenteraan terbesar di Laut China Selatan," lapor media China.

"Amerika Syarikat menjadi faktor paling berbahaya yang merosakkan keamanan di Laut China Selatan," kata Wang pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Asia Timur secara dalam talian.

"Keamanan dan kestabilan adalah kepentingan strategik terbesar China di Laut China Selatan," katanya, sambil memberitahu bahawa ciri-ciri itu adalah aspirasi strategi bersama China dan ASEAN.

"China berharap agar negara-negara di luar rantau itu, termasuk Amerika Syarikat, akan menghormati sepenuhnya kehendak dan harapan negara-negara di rantau itu, bukannya menimbulkan ketegangan dan cuba mengambil kesempatan daripadanya."

China menuntut sebahagian besar Laut China Selatan, dengan menyatakan bahawa ia memiliki "hak bersejarah" di laluan laut di mana ia telah membina penempatan ketenteraan dan pulau buatan semasa Beijing memperluaskan tapak angkatan bersenjatanya di wilayah maritim yang menjadi pertikaian itu. China membuat tuntutan itu berdasarkan apa yang dikatakan sebagai sembilan garisan putus yang terdapat dalam peta China.

Ketegangan di rantau itu meningkat sejak kenyataan Pompeo pada Julai bahawa tuntutan Beijing terhadap Laut China Selatan adalah tidak sah. Washington, katanya pada masa itu, menyokong negara sekutunya di Asia Tenggara "dalam melindungi hak kedaulatan mereka terhadap sumber-sumber pesisir."

Selain China dan Taiwan, negara yang turut membuat tuntutan wilayah di Laut China Selatan ialah Brunei, Malaysia, Filipina dan Vietnam. Walaupun Indonesia tidak menganggap ia sebagai pihak dalam pertikaian Laut China Selatan, namun Beijing menuntut hak bersejarah untuk bahagian-bahagian laut yang bertindih dengan zon ekonomi eksklusif Indonesia.

Banyak negara anggota ASEAN menyatakan mereka terperangkap dalam perbalahan Beijing dan Washington.

Pada hari pembukaan mesyuarat ASEAN pada Rabu, Indonesia dan Vietnam menyatakan pertikaian Laut China Selatan mengancam kestabilan wilayah dan negara-negara terbabit perlu menyelesaikan perbalahan sengit itu dengan mematuhi undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen PBB 1982 mengenai Undang-Undang Laut atau UNCLOS.

Namun, pada Khamis, Menteri Luar Vietnam Pham Binh Minh menyatakan hubungan ASEAN-AS "telah membawa manfaat bersama kepada kedua-dua pihak," lapor Associated Press.

"Peranan dan sumbangan AS untuk menjaga keamanan, kestabilan dan keselamatan di rantau ini amatlah digalakkan," katanya.

Pernyataan Bersama ASEAN

Pernyataan bersama Mesyuarat Menteri Luar ASEAN, yang dikeluarkan pada Khamis, turut menyoroti isu Laut China Selatan.

Dokumen kesepakatan sidang kemuncak itu, yang diadakan pada Rabu, menyatakan kebimbangan berhubung peningkatan ketegangan di perairan yang menjadi pertikaian itu dan menegaskan perlunya kebebasan navigasi dan penerbangan di ruang udaranya.

"Kami ingin menekankan pentingnya non-militerisasi dan pengekangan diri dalam menjalankan semua aktiviti oleh pihak yang menuntut dan semua negara lain," menurut pernyataan bersama itu.

"Kami mahu menegaskan perlunya mencari penyelesaian secara aman bagi pertikaian yang timbul mengikut prinsip undang-undang antarabangsa yang diakui secara universal, termasuk UNCLOS 1982."

Tuntutan meluas China di Laut China Selatan ditolak oleh Mahkamah Timbang Tara Tetap pada 2016 kerana hakim mendapati tuntutan China tidak dibuat mengikut UNCLOS.

Negara-negara anggota ASEAN seperti Vietnam, Indonesia, Malaysia dan Filipina menekankan tentang UNCLOS dan penghakiman pada 2016 itu semasa membincangkan isu Laut China Selatan sejak beberapa bulan lalu.

Sementara itu, pernyataan bersama tahun ini hampir tidak menyatakan tentang UNCLOS, kata Aaron Connelly, felo penyelidik di Institut Kajian Strategik Antarabangsa yang berpusat di Britain dan Singapura.

"Ada cadangan awal daripada Laos supaya mengetepikan rujukan kepada UNCLOS, dan itu ditolak oleh ASEAN," kata Connelly kepada Radio Free Asia, entiti BeritaBenar.

Beliau merujuk kepada teks perundingan awal, yang diketahuinya, dan menyatakan adanya perbezaan pendapat mengenai kata-kata berhubung UNCLOS yang menyebabkan pernyataan bersama itu tertangguh sebentar.

Perbalahan Kod Tata Laku

Pernyataan bersama mesyuarat tahun ini juga memuji "perkembangan  substantif  bagi menyiapkan lebih awal Kod Tata Laku (CoC) yang efektif dan substantif di Laut China Selatan yang sejajar dengan undang-undang antarabangsa, termasuk UNCLOS 1982, dalam jangka masa yang dipersetujui bersama."

Pada 2002, negara-negara ASEAN menandatangani Deklarasi Tata Laku itu dengan China, dan menyatakan kesediaan mereka untuk menyelesaikan perselisihan di Laut China Selatan secara aman.

Hampir dua dekad kemudian, persatuan itu dan China masih belum dapat menyetujui dokumen susulan - yang dinamakan sebagai Kod Tata Laku atau CoC - yang dengan jelas dapat menetapkan garis panduan tata laku pihak menuntut di Laut China Selatan.

Connelly berkata beberapa negara ASEAN tidak berpuas hati dengan kenyataan optimistik mengenai CoC dalam pernyataan bersama itu.

"China memberi banyak tekanan kepada negara-negara ASEAN untuk membuat kenyataan mengenai kemajuan CoC walaupun belum ada perkembangan tentangnya sejak tahun lalu," kata Connelly. "Sekiranya anda membaca antara ayat-ayat itu, anda dapat melihat adanya ketidakpuasan di antara negara-negara anggota mengenai kurangnya kemajuan berhubung perkara itu."

Walaupun pernyataan bersama itu tidak menyebutkan bila rundingan mengenai CoC akan disambung semula, Setiausaha Luar Filipina Teodoro Locsin Jr menyatakan dalam mesyuarat ASEAN pada Rabu bahawa perbincangan itu akan dimulakan "selewat-lewatnya" pada November, lapor Bloomberg News.

"ASEAN membenarkan China menjaga air mukanya tetapi dengan jelas menyatakan bahawa ia tidak gembira dengan keadaan semasa," kata Connelly.

Lihat Laman Penuh