Malaysia Hubungi Kerajaan Bayangan Myanmar Setelah ASEAN Gagal Laksanakan Konsensus 5 Perkara

Selepas setahun, para penganalisis dan aktivis membidas ASEAN kerana gagal melaksanakan pelan hala tuju keamanan dan demokrasi di Myanmar susulan rampasan kuasa.
Shailaja Neelakantan
2022.04.25
Washington
Malaysia Hubungi Kerajaan Bayangan Myanmar Setelah ASEAN Gagal Laksanakan Konsensus 5 Perkara Menteri-menteri Luar Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) menghadiri sesi pemukiman mereka di Phnom Penh, Kemboja, 17 Feb 2022.
[AP]

Diplomat tertinggi Malaysia mendedahkan bahawa beliau telah menghubungi kerajaan bayangan Myanmar, dengan negara berkenaan menjadi anggota pertama ASEAN yang mengakui melakukan interaksi sedemikian, ketika para aktivis mengecam badan serantau itu pada hari ulang tahun rancangan lima perkaranya kerana gagal memulihkan demokrasi di Myanmar.

Menteri Luar Saifuddin Abdullah pada Ahad memberi maklum balas demikian terhadap surat terbuka daripada kumpulan Ahli Parlimen Asia Tenggara kepada pemimpin Persatuan Negara-negara Asia Tenggara itu. Dalam surat berkenaan, mereka menggesa badan serantau berkenaan supaya "segera dan secara terbuka bertemu dengan NUG" – iaitu Kerajaan Perpaduan Nasional umum Myanmar.

“Saya secara tidak rasmi telah mengadakan pertemuan [secara persidangan maya] dengan menteri luar NUG Myanmar dan pengerusi NUCC sebelum Pemukiman Menteri Luar ASEAN yang lalu. Marilah kita bertemu dan berbincang,” kata Saifuddin menerusi catatan Twitter, yang merujuk kepada pemukiman menteri yang berlangsung dalam format hibrid pada pertengahan Februari lalu setelah ditangguhkan daripada tarikh yang dijadualkan lebih awal walaupun terdapat laporan mengenai perbezaan pendapat antara negara-negara anggota badan serantau itu.

Majlis Perundingan Perpaduan Kebangsaan (NUCC) Myanmar turut dianggotai oleh wakil NUG, kumpulan masyarakat sivil, pertubuhan bersenjata etnik dan kumpulan pematuhan sivil.

Dalam catatan Tweet itu, Saifuddin meletakkan tanda pagar Ahli Parlimen ASEAN untuk Hak Asasi Manusia (APHR), kumpulan yang menghantar surat terbuka pada Ahad iaitu hari ulang tahun pemimpin Asia Tenggara dan ketua junta Myanmar mencapai kesepakatan pada sidang kemuncak tergempar untuk melaksanakan apa yang dikenali sebagai Konsensus Lima Perkara sebagai tindakan terhadap Myanmar setelah berlakunya rampasan kuasa.

Pada Oktober lalu, menteri luar Malaysia yang lantang bersuara itu berkata beliau akan mengadakan rundingan dengan NUG jika junta Myanmar terus mengelak untuk memberi kerjasama dalam usaha mencari penyelesaian konflik ASEAN itu.

Radio Free Asia (RFA), syarikat induk BenarNews, menghubungi Kementerian Luar Kemboja iaitu negara yang menjadi pengerusi ASEAN pada tahun ini, untuk mengulas tetapi tidak segera menerima maklum balas terhadap permintaan berkenaan.

Sementara itu, Bo Hla Tint, wakil khas NUG ke ASEAN, mempersoalkan keseriusan badan serantau Asia Tenggara tersebut dalam menyelesaikan krisis Myanmar.

“Mereka telah gagal melaksanakan, sepanjang tahun lalu, perkara asas dalam perjanjian bersama ASEAN itu – iaitu untuk menamatkan keganasan. Dan kemudian, mereka gagal mematuhi perkara kedua – pengagihan bantuan kemanusiaan secara sistematik,” katanya kepada RFA.

"Saya boleh katakan bahawa kepimpinan ASEAN tidak mengambil serius dasar atau rangka kerja yang ditetapkan oleh kepimpinan ASEAN sendiri, sekiranya para pemimpin berkenaan tidak mengambil sebarang tindakan yang berkesan [terhadap pihak junta]."

'Kegagalan lima perkara'

Di Malaysia, dua penganalisis memuji Saifuddin kerana memulakan tindakan berasingan itu berbanding ASEAN.

“Malaysia telah mengambi langkah terhadap gesaan supaya mengkaji semula pendekatan ASEAN terhadap Myanmar (selepas setahun gagal melaksanakan konsensus lima perkara ASEAN), dengan mengakui mengadakan pertemuan tidak rasmi dengan NUG Myanmar,” kata Bridget Welsh, penganalisis politik di Universiti Nottingham Malaysia, dalam catatan Twitter beliau.

Seorang lagi penganalisis, Aizat Khairi iaitu pensyarah kanan Universiti Kuala Lumpur, bersetuju dengan pandangan berkenaan.

“Reaksi Menteri Luar Malaysia Saifuddin Abdullah terhadap surat terbuka APHR adalah suatu langkah yang segar,” katanya kepada BenarNews.

Perjanjian lima perkara itu, yang disepakati oleh para pemimpin ASEAN dan ketua tentera Myanmar Jeneral Kanan Min Aung Hlaing pada 24 April tahun lalu, merangkumi langkah untuk menamatkan keganasan, memberian bantuan kemanusiaan, melantik utusan khas ASEAN, mengadakan dialog dengan semua parti dan perantaraan oleh utusan khas tersebut.

ASEAN tidak berjaya langsung melaksanakan mana-mana perkara ini, kata Joshua Kurlantzick, felo kanan Asia Tenggara di Council on Foreign Relations iaitu badan pemikir Washington.

“Tanpa sebarang keraguan saya rasa setiap bahagian [dalam consensus itu] telah gagal, dan dengan Kemboja sebagai pengerusi dan junta yang kian menerima sokongan China, tidak mungkin konsensus ini akan berjaya, atau ASEAN akan melakukan apa-apa yang serius mengenai Myanmar,” kata Kurlantzick kepada BenarNews.

“Gantung Myanmar daripada keanggotaan ASEAN sehingga ia kembali kepada pemerintahan demokrasi. ... Tetapi ASEAN tidak mungkin berbuat demikian.”

Beliau merujuk kepada sokongan Beijing kepada Naypyidaw pada forum antarabangsa termasuk di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, sejak Min Aung Hlaing menggulingkan kerajaan Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) yang dipilih rakyat pada 1 Februari 2021.

Dasar ASEAN menetapkan bahawa kesemua 10 anggotanya melaksanakan semua keputusan secara menyeluruh secara konsensus, dan jika ada negara anggota menentang langkah yang dicadangkan, langkah itu akan ditangguhkan. Dan tidak semua anggota ASEAN mengambil tindakan lebih tegas terhadap Myanmar kecuali menghalang wakil junta itu daripada menghadiri mesyuarat tertinggi ASEAN, kata penganalisis.

"Kegagalan lima perkara" adalah apa yang dianggap oleh Majlis Penasihat Khas untuk Myanmar (SAC-M) iaitu kumpulan pakar antarabangsa bebas, mengenai konsensus ASEAN itu.

“Junta tidak melaksanakan pun satu perkara yang ditetapkan oleh konsensus lima perkara itu. Perjanjian tersebut telah gagal dan ASEAN perlu mengambil langkah perubahan,” kata ahli SAC-M Marzuki Darusman dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Malah, sejak bersetuju dengan consensus tersebut, Min Aung Hlaing telah meningkatkan serangan tentera terhadap rakyat Myanmar, dan terus melakukan sasaran dan menahan musuh politiknya, kata SAC-M. Hampir 1,800 orang, yang kebanyakannya penunjuk perasaan pro-demokrasi, telah dibunuh oleh pasukan keselamatan Myanmar sejak berlakunya rampasan kuasa berkenaan.

220425-MY-Inside-Asean.jpg

Foto dari udara yang dirakam dron menunjukkan perkampungan Bin di Mingin, sebuah perbandaran di wilayah Sagaing di Myanmar, selepas penduduk kampung mendakwa ia telah dibakar oleh pihak tentera Myanmar, 3 Feb. 2022. [Reuters]

Pemerhati hak asasi manusia, Amnesty International, pula berkata bahawa pengaliran masuk senjata untuk pasukan keselamatan Myanmar perlulah dihentikan.

“Para aktivis ini amat memerlukan sokongan masyarakat antarabangsa dalam bentuk gencatan senjata global untuk menghalang tentera Myanmar daripada menggunakan senjata perang untuk membunuh para penunjuk perasaan aman,” kata Emerlynne Gil, timbalan pengarah penyelidikan serantau Amnesty International pada Jumaat.

Selain itu, Human Rights Watch mengkritik kerajaan-kerajaan Barat dengan menyatakan bahawa konsensus lima perkara telah "menjadi alasan bagi kerajaan seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia dan negara anggota Kesatuan Eropah untuk menangguhkan tindakan sebenar dengan kononnya menunggu langkah kepimpinan ASEAN.”

“Pihak junta telah mengeksploitasi sikap hormat masyarakat antarabangsa terhadap badan serantau itu, yang mempunyai rekod lama mengabaikan tanggungjawabnya untuk melindungi rakyat Asia Tenggara di bawah prinsip tanpa campur tangan dan konsensus,” kata HRW.

Kumpulan pro-junta: Proses keamanan 'tidak boleh dilakukan satu pihak sahaja'

Para penyokong junta Myanmar bagaimanapun berkata bahawa ia sedang bergerak ke arah yang betul.

“Berapa banyak yang kerajaan mampu sedia terima dalam rundingan untuk keamanan? … Proses damai tidak boleh diselesaikan oleh satu pihak sahaja,” kata Thein Tun Oo, pengarah eksekutif Kajian Strategik Thayningha iaitu kumpulan bekas pegawai tentera kepada RFA.

“Kerajaan serta tentera telah mengisytiharkan gencatan senjata unilateral dan membuat tawaran untuk mengadakan rundingan damai. …kami tidak melihat sebarang maklum balas yang memuaskan daripada EAO [Pertubuhan Bersenjata Etnik]. Sekarang kami ada satu soalan – apa yang mahu dikatakan oleh masyarakat antarabangsa mengenai perkara itu?”

Tetapi menurut Ahli Parlimen ASEAN, pemimpin rampasan kuasa Myanmar Min Aung Hlaing "tidak langsung berhasrat untuk mematuhi konsensus itu melainkan beliau merasakan adanya tekanan kuat untuk berbuat demikian."

“Memandangkan berlakunya kegagalan ini, sudah tiba masanya untuk ASEAN meneruskan langkah untuk mengenakan sekatan terhadapnya…Kredibiliti ASEAN bergantung kepada keupayaan bada serantau itu untuk bertindak mengikut realiti situasi di Myanmar,” kata APHR dalam suratnya kepada ASEAN.

"Persoalannya ... sekarang ialah: adakah anda akan membenarkan pihak tentera itu untuk terus melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, serta mengancam keselamatan manusia dan pembangunan ekonomi di rantau ini untuk satu tahun lagi?"

Nisha David dan Suganya Lingan di Kuala Lumpur, dan Zin Mar Win dari perkhidmatan berita Myanmar, Radio Free Asia turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.