Pakar Kesihatan: Golongan berisiko tinggi di Malaysia tidak disuntik vaksin AstraZeneca

Vaksin AstraZeneca mampu lawan varian dominan Covid-19 walaupun terdapat kesan sampingan seperti pembekuan darah.
Ili Shazwani Ihsan
2024.05.28
Kuala Lumpur
Pakar Kesihatan: Golongan berisiko tinggi di Malaysia tidak disuntik vaksin AstraZeneca Petugas kesihatan menunjukkan vaksin Covid-19 jenis Astra Zeneca yang digunakan semasa Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) di Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor, 5 Mei 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Dua pakar kesihatan terkemuka Malaysia berkata kerajaan negara itu telah mengambil langkah sewajarnya memastikan golongan berisiko tinggi tidak disuntik vaksin Covid-19 keluaran AstraZeneca (AZ), kerana menyedari suntikan itu boleh menyebabkan kesan kesampingan seperti pembekuan darah.

Sejak bulan lalu, rakyat Malaysia dihimpit kebimbangan ekoran pengakuan syarikat farmaseutikal global Britain-Sweden itu mengenai vaksin keluarannya yang boleh mengakibatkan pembekuan darah yang jarang berlaku dan boleh membawa maut.

Pakar-pakar kesihatan negara semasa wabak itu melanda bagaimanapun memberi jaminan bahawa individu yang mempunyai sejarah pembekuan darah tidak dibenarkan menerima vaksin AstraZeneca.

Antara pakar yang menberi jaminan itu adalah bekas Ketua Pengarah Kesihatan Noor Hisham Abdullah yang berkata individu yang mempunyai sejarah pembekuan darah tidak dibenarkan mengambil vaksin AZ semasa pandemik melanda.

“Golongan berisiko tinggi adalah golongan yang mempunyai sejarah pembekuan darah sebelum ini dan mereka tidak dibenarkan menerima vaksin AstraZeneca.

“Kementerian Kesihatan Malaysia juga mengeluarkan garis panduan bagi menyaring golongan yang berisiko tinggi supaya tidak menerima vaksin jenis itu dan bagi tujuan pengesanan awal sekiranya kesan sampingan ini berlaku,” kata Noor Hisham dalam kenyataan yang dimuat naik di X pada Isnin.

Pada 29 April lalu, media melaporkan AZ buat pertama kalinya mengakui dalam dokumen mahkamah bahawa vaksin Covid-19 keluaran mereka boleh menyebabkan kesan sampingan yang jarang berlaku iaitu kesan darah beku atau Vaccine Induced Immune Thrombotic Thrombocytopenia (VITT) dan kemudiannya menarik balik vaksin mereka dari pasaran seluruh dunia pada awal bulan ini.

Noor Hisham menjelaskan, VITT adalah penyakit di mana darah membeku bersama dengan sel darah kuning menjadi kurang dan ia hanya berlaku dalam sela masa empat hari hingga empat minggu selepas menerima vaksin.

“Insiden kesan sampingan darah beku (VITT) juga sangat rendah iaitu empat kes berlaku dalam setiap juta suntikan dan jika dibandingkan dengan risiko darah beku serta platelet rendah selepas jangkitan Covid-19 itu sendiri, ia lebih selamat.

“Selepas jangkitan Covid-19, risiko kesan darah beku akibat jangkitan thrombotic thrombocytopenia ini adalah setinggi 165,000 kes dalam sejuta jangkitan,” tambah beliau.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) Azizan Abdul Aziz berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa bersikap telus dalam menyalurkan maklumat dan data mengenai keberkesanan, keselamatan dan risiko kesan sampingan vaksin Covid-19 yang tersedia semasa negara sedang mengharungi tempoh kemuncak pandemik.

Menurut beliau, penjagaan kesihatan di Malaysia dikawal selia dengan rapi di mana antara prosedur operasi standard (SOP) bagi melaksanakan vaksinasi adalah semua kes Kesan Sampingan Susulan Imunisasi (AEFI) dilaporkan kepada pihak berkuasa kesihatan melalui sistem yang ditetapkan bagi tujuan pemantauan sebarang isu.

“Risiko kesan sampingan serius yang terkait dengan pengambilan vaksin Covid-19 - AZ telah didokumentasikan selama ini, namun ia sangat jarang berlaku.

“Kami percaya kerajaan pada ketika itu telah melaksanakan segala langkah berjaga-jaga sewajarnya dalam memastikan agar vaksin yang disediakan berkesan dan menepati syarat keselamatan negara sebelum ia diluluskan untuk diberikan kepada orang ramai,” kata Azizan kepada BenarNews.

B5250D94-843F-4471-86A2-42CF51728513.jpeg

Petugas kesihatan menyuntik vaksin Covid-19 jenis AstraZeneca kepada seorang lelaki semasa Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di Pusat Pemberian Vaksin di Pusat Dagangan Dunia di Kuala Lumpur, 5 Mei 2021. [S. Mahfuz/BenarNews]

Manfaat lebih besar

Dalam satu sidang media selepas Persidangan Kemanusiaan Antarabangsa 2024 di Kuala Lumpur pada Isnin, Noor Hisham memaklumkan bahawa kerajaan sedar tentang kesan sampingan vaksin AZ berdasarkan kes infarksi miokardium (serangan jantung) yang direkodkan.

Namun kata beliau, kegusaran berlakunya kesan sampingan tersebut sangat rendah berbanding angka kematian yang dicatatkan akibat jangkitan Covid-19 pada 2021.

Menurut Noor Hisham, selepas menimbang antara faedah vaksin yang besar melangkaui kesan sampingan yang sangat rendah, kerajaan membuat keputusan memulakan program vaksinasi pada 2021 melibatkan anggota barisan hadapan negara sebelum mengumumkannya “siapa cepat, dia dapat” dan kesemua vaksin AZ kemudiannya berjaya dihabiskan oleh masyarakat awam dalam tempoh yang singkat.

“Terdapat kebimbangan semasa tempoh percubaan klinikal (vaksin Covid-19), namun ketika itu kita berhadapan dengan kadar kematian antara 300 dan 500 orang setiap hari akibat jangkitan Covid-19.

“Kebimbangan (kesan sampingan vaksin AZ) adalah sangat minimum, dengan anggaran risiko 0.004 peratus, namun terdapat kes infarksi miokardium (serangan jantung) yang telah direkodkan,” ulas beliau.

Profesor Epidemiologi dan Kesihatan Awam Universiti Malaya, Moy Foong Ming menjelaskan risiko tidak mengambil vaksin adalah lebih berbahaya berbanding kesan sampingannya.

Beliau menjelaskan, kesan sampingan pengambilan vaksin AZ telah dibentangkan meskipun ia tidak dihebahkan.

“AZ adalah antara vaksin tersedia semasa wabak melanda yang terbukti keberkesanannya dalam melawan varian Delta iaitu varian dominan yang menyebabkan angka kematian yang tinggi,” katanya kepada BenarNews.

Langkah berjaga

Pakar perubatan dari Universiti Malaya Muhammad Afiq Aziz berkata beliau menjadi antara individu terawal menawarkan diri untuk menerima vaksin AZ semasa ia mula diperkenalkan di Malaysia.

Jelasnya, beliau melihat vaksinasi sebagai salah satu usaha untuk menyelamatkan diri dalam berdepan dengan wabak Covid-19 yang merebak di seluruh dunia.

Meskipun sedar tentang kesan sampingan suntikan vaksin tersebut, Afiq yakin dengan langkah berjaga-jaga pihak kerajaan dan saintis dalam membuat sebarang polisi serta keputusan selain mempertimbangkan faedah pengambilan vaksin melebihi kesan buruk.

“Malaysia belum mempunyai kemampuan untuk menghasilkan vaksin Covid-19 sendiri dan terpaksa bergantung dengan negara lain.

“Saya yakin kerajaan dan semua ahli virologi serta saintis di Malaysia telah mengkaji semua vaksin berdasarkan data yang telah tersedia pada masa itu,” kata beliau kepada BenarNews.

Setakat ini, data Kementerian Kesihatan yang dikemas kini pada 26 Mei lalu memaparkan jangkitan Covid-19 di Malaysia secara keseluruhannya mencatatkan 5.28 juta kes dan dari jumlah itu seramai 5.23 juta orang telah berjaya sembuh manakala sebanyak 37,351 kematian direkodkan.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.