Menteri Dikritik Kerana Gesa Pihak Berkuasa 'Buru' Ateis

Ray Sherman
2017.08.09
Kuala Lumpur
170809_MY_atheists_1000.jpg Beratus-ratus jemaah menunaikan solat Aidilfitri di Selangor, Malaysia, 25 Jun, 2017.
[AFP]

Satu gambar Facebook mengenai perhimpunan golongan ateis telah menggemparkan rakyat Malaysia, dengan seorang pegawai tinggi kerajaan menyarankan supaya mereka diburu untuk "diperbetulkan akidah" sekiranya mereka orang Islam.

Kerajaan Malaysia juga telah mengarahkan siasatan dijalankan berikutan pertemuan cawangan tempatan Athies Republic, yang berpangkalan di Kanada, di Kuala Lumpur minggu lalu, di mana kumpulan itu menyiarkan gambar sekumpulan orang sedang tersenyum sambil mengangkat tangan mereka, di media sosial.

Shahidan Kassim, seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri, pada Selasa menggesa orang ramai supaya membantu mengesan ahli kumpulan berkenaan bagi membolehkan tindakan diambil terhadap mereka.

"Saya cadangkan kita buru mereka habis-habisan," katanya tanpa mengulas lanjut. "Tolonglah kami kenal pasti puak-puak ini."

"Keduanya, kita kena kembalikan mereka dan perbetulkan akidahnya, jika mereka orang Islam," katanya yang dipetik sebagai berkata dalam satu laporan MalaysiaKini pada Selasa.

Shahidan juga menyeru pertubuhan agama dan mufti supaya "mendidik" umat Islam yang telah memutuskan untuk memilih ateisme.

Wan Salim Wan Mohd Noor, seorang mufti di negeri utara Pulau Pinang, mengkritik kenyataan menteri itu, dengan menyatakan bahawa pihak berkuasa Islam sepatutnya menangani perkara itu dengan lebih lembut.

"Saya tidak bersetuju. Sekiranya seseorang mula bersikap kasar, reaksinya juga kasar. Apabila mereka menggunakan kata-kata seperti itu, orang akan salah faham tentang perkataan Tuhan, "kata Wan Salim kepada BeritaBenar. "Mereka akan menganggap Islam sebagai agama yang ganas dan kejam."

Pakar perundangan lain turut bersetuju dengan pendapat itu.

"Kenyataan sedemikian tidak sepatutnya dibuat, diperbesarkan dan boleh menimbulkan kebimbangan yang tidak sewajarnya," kata Eric Paulsen, pengarah eksekutif Lawyers for Liberty, kepada BeritaBenar.

Kepercayaan kepada Tuhan

Malaysia mempunyai kira-kira 19.5 juta umat Islam yang membentuk lebih daripada 60 peratus penduduknya. Penganut Buddha, Hindu dan Kristian hidup bersama-sama dengan umat Islam. Agama dianggap isu yang sensitif di Malaysia, negara yang mempunyai rakyat pelbagai kaum.

Pada Isnin, Asyraf Wajdi Dusuki, timbalan menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam, berkata, beliau telah mengarahkan pegawai-pegawai jabatan agama kerajaan untuk menyiasat tentang cawangan tempatan Atheist Republic bagi mengetahui sama ada umat Islam turut mengambil bahagian dalam acara itu.

"Jika ada bukti penglibatan umat Islam dan ternyata perbuatan itu  menjejaskan akidah, jabatan agama Islam negeri atau Jawi (Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan) boleh mengambil tindakan," katanya seperti yang dipetik oleh Malay Mail Online pada Ahad. "Saya telah meminta Jawi untuk menyiasat tuduhan serius ini."

Walaupun murtad bukan merupakan jenayah persekutuan di Malaysia, para ulama menyuarakan kebimbangan mereka berhubung fundamentalisme yang semakin mendalam di negara itu, yang mempunyai lebih 31 juta penduduk.

Malaysia tidak membenarkan orang Islam untuk murtad secara rasmi dan mereka yang cuba berbuat demikian terpaksa melalui prosiding mahkamah yang lama dan tidak berjaya.

Armin Navabi, pengasas Atheis Republic, merungut dalam catatan Facebook pada  Rabu bahawa ahli-ahli kumpulannya dalam cawangan Malaysia tidak membahayakan sesiapa pun dan tidak harus disoal siasat.

Armin berkata, kumpulan itu mempunyai lebih daripada satu juta pengikut, dengan menempatkan cawangannya yang digelar sebagai "konsul" di setiap negara termasuk Filipina.

"Menyasarkan ateis akan merosakkan imej yang dianggap 'sederhana' ini, yang Malaysia fikir ia ada. Nampaknya, sekarang, tidak lagi, " katanya, sambil mengesahkan bahawa beberapa ahlinya di Malaysia telah disoal siasat oleh pihak berkuasa.

"Kami juga mencari peguam di Kuala Lumpur yang bersedia membantu mereka secara pro bono," katanya.

Pihak berkuasa harus memberi kaunseling kepada ateis, dan bukannya mengecam mereka di media sosial, kata Zaim Azizi, seorang pensyarah agama di sebuah universiti tempatan.

"Dari sudut pandangan Islam, mereka telah tersasar daripada kepercayaan mereka, tetapi undang-undang semasa mengenai isu-isu berkenaan belum cukup teguh," katanya kepada BeritaBenar.

Mufti Wan Salim juga menyeru pihak berkuasa dan ulama Islam di Malaysia supaya menangani isu ini dengan penuh berhati-hati.

"Kita orang yang berpelajaran. Kita perlu mengajar agama dengan cara yang lebih ilmiah,"katanya. "Islam adalah agama yang indah dan mudah."


Fairuz Mazlan di Pulau Pinang turut menyumbang kepada laporan ini.



Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.