Ketua Unit Anti-Keganasan Malaysia Dilantik Ketua Polis Johor, Belum Nama Pengganti

Muzliza Mustafa
2020.02.07
Kuala Lumpur, Malaysia
200207-MY-Ayob-KPNJ1000.jpg Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti-Keganasan (E8), Cawangan Khas, Polis DiRaja Malaysia, Ayob Khan Mydin Pitchay semasa bercakap kepada pemberita pada satu sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur, 11 Sept, 2019.
[S.Mahfuz/BeritaBenar]

Ketua Unit Anti-Keganasan Malaysia Ayob Khan Mydin Pitchay telah dilantik oleh pengurusan tertinggi Polis DiRaja Malaysia sebagai Ketua Polis Johor berkuatkuasa 6 Mac depan, jawatan pertama diluar bidang tugas yang begitu sinomin dengannya di unit Anti-Keganasan, Cawangan Khas Bukit Aman.

Kenaikan pangkat tersebut diumumkan kepada media dalam satu kenyataan oleh Polis Diraja Malaysia pada Khamis.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador pada Jumaat berkata sudah tiba masanya bagi Ayob Khan ditukar dan dinaikkan pangkat kerana beliau memegang jawatan sebagai ketua unit anti-keganasan sejak empat tahun lepas.

“Kalau saya benarkan beliau untuk kekal buat satu atau dua bulan lagi, orang akan memanggil dia, Datuk Ayob ‘terrorist’ sebab itu sahaja kerja dia kan?” kata Abdul Hamid dalam nada berseloroh semasa ditanya berhubung perlantikan Ayob ke jawatan barunya itu.

Abdul Hamid kemudiannya berkata Ayob perlu didedahkan kepada peranan yang lebih besar kerana beliau sudah menjalankan kerja yang bagus sebagai ketua unit anti-keganasan PDRM.

“Beliau telah jalankan tugasnya dengan sangat baik. Jadi beliau perlu diberikan peluang untuk mengambil peranan yang lebih besar di luar bidang tugasnya… Beliau masih muda,” kata Abdul Hamid dengan nada lebih serius.

Sebelum itu Abdul Hamid semasa menjawab pertanyaan media jika Ayob dinaikkan pangkat kerana pihak pengurusan terpaksa memindah keluar Ketua Polis Johor Mohd Kamaruddin Md Din kerana kejadian melibatkan Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Muar, baru-baru ini, berkata pertukaran dan kejadian yang berlaku hanyalah satu kebetulan.

Pihak berkuasa negara itu telah didakwa gagal mengambil tindakan pantas semasa kejadian di satu majlis yang dihadiri Menteri berkenaan yang pada mula hanya satu majlis biasa tetapi bertukar menjadi tidak terkawal selepas sekumpulan besar individu merempuh masuk ke majlis yang dianjurkan oleh parti politik Bersatu yang Perdana Menteri Mahathir Mohamad adalah pengerusinya.

“Sukar saya nak jawab tetapi kalau dilihat daripada latarbelakang Datuk Kamaruddin, beliau seorang pakar dalam bidang siber dan dalam menangani jenayah siber, pemindahan itu sangat kena pada masanya. Kalau hendak kaitkan degan insiden tersebut.., itu atas pertimbangan anda!

“Sebenarnya sudah sampai masa bagi beliau (Kamaruddin) kembali (ke Bukit Aman). Kita akan buat kesesuaian dan pada masa yang sama kita beri peluang pada Datuk Ayob ke sana untuk timba pengalaman.

Khabar angin berkenaan pemindahan Ayob telah bermula sejak enam bulan lepas dan difahamkan Ayob, 54, cuma mendapat tahu yang beliau akan dinaikkan pangkat dan ditukar ke Johor sebagai ketua polis yang baru hanya pada lewat petang Khamis.

Beliau sebelum itu, diarahkan berjumpa dengan Pengarah Cawangan Khas Mohamed Farid Abu Hassan pada Khamis sebelum bertemu Ketua Polis Negara. Ayob kemudiannya diberikan taklimat dan nasihat oleh kedua-dua pegawai tertinggi tersebut tentang tugasan barunya itu.

Terima dengan hati terbuka

Jawatan Ketua Polis Johor dianggap sebagai ‘kerusi panas’ jika dibandingkan dengan 14 negeri di Malaysia kerana individu yang memegang jawatan tersebut harus berdepan serta perlu berurusan dengan keluarga diRaja Johor yang dilihat lebih lantang berkenaan isu yang melibatkan rakyat negeri tersebut serta urusan negeri.

Ayob pada satu pertemuan dengan BeritaBenar di Kuala Lumpur pada Jumaat berkata beliau dengan hati yang terbuka menerima cabaran baharu itu.

“Ia adalah sesuatu yang baharu kepada saya. Insya-Allah saya akan berusaha melaksanakan tugasan yang diberi sebaik mungkin,” kata Ayob secara ringkas tanpa mahu mengulas panjang mengenai pertukaran tersebut serta perkara-perkara lain yang berkaitan kerana menurut beliau belum lagi melaporkan diri sebagai Ketua Polis Negeri.

“Kita jumpa di Johor, untuk soalan seterusnya,” tambah beliau semasa diminta untuk ditemu ramah.

Ayob graduan Ijazah Sarjana Teknologi Informasi dari Universiti Kebangsaan Malaysia, menyertai pasukan polis pada Disember 1991 dengan tugas pertamanya sebagai pegawai di Jabatan Siasatan Jenayah selama tiga tahun sebaik sahaja menamatkan kursus kepolisian, sebelum dipindahkan ke Jabatan Cawangan Khas Bukit Aman.

Beliau terus berada cawangan khas itu sehingga sekarang dan telah diberikan kepercayaan memegang pelbagai jawatan di jabatan tersebut.

Ayob juga merupakan salah seorang pegawai muda yang ditugas dan diberikan kepercayaan untuk menguruskan meja anti-keganasan yang ditubuhkan pada 1995 sebelum meja tersebut dinaikkan status kepada unit yang lebih besar dengan peruntukkan khas yang diberikan bagi mengendalikan kes berkaitan keganasan di Malaysia.

Bapa kepada dua orang anak yang berasal dari Pendang, Kedah telah dilantik sebagai ketua unit anti-keganasan pada 2016 dan dibawah kepimpinannya, lebih 500 individu yang dipercayai terlibat dalam aktiviti berkaitan keganasan termasuklah militan Negara Islam telah ditangkap.

Dalam tahun yang sama, pengganas yang paling dikehendaki Malaysia, Muhammad Wanndy Mohamad Jedi telah mengeluarkan ancaman bunuh terhadap Ayob dan ancaman berkenaan adalah permulaan terhadap pelbagai ancaman-ancaman berat yang lain terhadap beliau yang diterima daripada ahli dan penyokong IS atas tindakan beliau yang dikatakan agak ‘keras’ dan tiada kompromi dalam menahan individu yang dikatakan terlibat dalam aktiviti keganasan.

Walaupun berdepan dengan ancaman Ayob terus menjalankan tugas beliau dan ada kalanya pergerakan sedikit terbatas sehingga terpaksa dilindungi ketat anggota keselamatan dan atas sebab itu, Ayob jarang kelihatan di tempat awam ditemani ahli keluarga atau isteri beliau yang juga merupakan seorang pegawai tinggi PDRM bagi mengelakkan sebarang bentuk perhatian atau pendedahan yang tidak diingini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.