Malaysia Lancar Serbuan Keselamatan Menjelang Sukan SEA

N. Natha
2017.08.07
Kuala Lumpur
170808-MY-raids-620.jpg Lelaki asing sedang meunggu giliran untuk menaiki trak polis di Kuala Lumpur selepas pihak berkuasa melancarkan operasi menjelang Sukan Asia Tenggara (SEA Games), 7 Ogos, 2017.
[N. Natha/BeritaBenar]

Pihak berkuasa Malaysia menahan lebih 400 orang, kebanyakannya pekerja asing, sebagai sebahagian daripada persiapan keselamatan menjelang acara sukan terbesar di Asia Tenggara pada pertengahan Ogos, kata pegawai pada Isnin.

Tindakan gempur oleh polis pada Ahad di ibu negara Kuala Lumpur berjaya menahan sekitar 409 orang, kata pegawai tertinggi anti-keganasan Malaysia, Ayob Khan Mydin Pitchay, kepada BeritaBenar.

Daripada jumlah itu, 275 telah dibebaskan, 133 ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan melibatkan pelanggaran akta imigresen dan seorang telah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) Malaysia, kata Ayob.

Pekerja asing yang diperiksa itu termasuk warga Bangladesh, India, Pakistan, Nepal, Indonesia, Myanmar, Oman, Yaman, Uzbekistan, Thailand, Nigeria dan Sri Lanka, kata Ayob.

Mereka yang ditahan itu dibawa ke ibu pejabat polis, di mana identiti mereka ditapis menerusi senarai pejuang pengganas asing Interpol dan pangkalan data keganasan Malaysia, kata Ayob.

"Operasi hari ini adalah yang pertama yang akan kami jalankan sempena Sukan SEA," kata Ayob. "Matlamat utama adalah untuk memastikan kawasan sekitar bebas daripada sebarang  ancaman, termasuk unsur-unsur keganasan."

Beliau berkata operasi polis akan memberi tumpuan di Lembah Klang dan di negeri di mana acara sukan itu dianjurkan, termasuk di negeri utara, Kedah dan Pulau Pinang, yang terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia.

Pihak berkuasa Malaysia berada dalam keadaan berjaga-jaga ketika usaha dijalankan untuk meningkatkan keselamatan semasa temasya Sukan SEA ke-29. Pelbagai acara sukan melibatkan 11 buah negara dijadualkan berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos ini.

Jumaat lalu, polis melancarkan latihan serangan komando di Kuala Lumpur sebagai persediaan untuk sukan berkenaan. Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi menyaksikan latihan tersebut.

"Kami bukan hanya bercakap tentang ancaman dari Daesh, tetapi juga sebarang bentuk ancaman dari mana-mana entiti lain yang boleh menjejaskan negara kita dan Sukan SEA," kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar kepada pemberita pada Jun lalu, menggunakan nama lain untuk kumpulan pengganas Negara Islam.

Beratus pegawai gempur Ibukota

Semasa operasi polis selama enam jam pada Ahad, kira-kira 200 pegawai anti-keganasan menyerbu perniagaan dan kawasan perumahan di Masjid India, sebuah kawasan yang dikenali sebagai “Little India of Malaysia” yang juga tempat pertemuan popular bagi warga asing.

Ayob berkata sejak tahun 2013, para pegawai telah menahan dan mengusir 40 warga asing kerana disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pengganas.

Tindakan keras terhadap keganasan dalam tempoh empat tahun yang lalu juga telah menyebabkan penangkapan 310 rakyat Malaysia, menurut data kerajaan yang diperolehi BeritaBenar. Kira-kira 66 suspek telah dibebaskan, kata pegawai.

Keganasan adalah ancaman berterusan dan Malaysia meletakkan segala usaha untuk memastikan keselamatan dan keamanan semua orang di negara ini," kata Ayob.

Semasa serbuan itu, pegawai imigresen turut berjaya mematahkan sindiket memalsukan dokumen residen dan menahan seorang warga Pakistan, kata Ayob

Malaysia mempunyai kira-kira 32 juta penduduk, termasuk hampir 1.8 juta pekerja asing yang berdaftar secara sah dan kira-kira 2 juta pendatang tanpa izin yang bekerja di pelbagai -sektor dari pertanian hingga ke pembinaan.

Sejak 1 Julai, lebih daripada 5,500 warga asing - kebanyakannya warga Indonesia dan Bangladesh - telah ditahan dalam tindakan gempur besar-besaran pendatang haram di Malaysia, yang menjadi tarikan bagi pekerja asing dari negara-negara jiran yang lebih miskin untuk mencari pekerjaan di negara itu.

Pada Isnin, penggubal undang-undang Asia Tenggara mendesak Malaysia menghentikan tindakan gempur terhadap pekerja asing di negara itu.

"Tindakan tidak berperikemanusiaan ini mesti dihentikan," kata Emmi De Jesus, seorang anggota parlimen Filipina, kepada pemberita di Kuala Lumpur selepas mangadakan lawatan untuk mendapatkan fakta selama empat hari ke negara itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini, Ahli Parlimen ASEAN bagi Hak Asasi Manusia memetik De Jesus sebagai berkata kerana tindakan keras yang berterusan di Malaysia, ramai pendatang hidup dalam ketakutan.

"Layanan buruk oleh pihak berkuasa, termasuk penahanan tanpa syarat dalam keadaan yang buruk, merupakan kebimbangan utama kami," katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.