Malaysia Gugurkan Pertuduhan Hasutan Terhadap Pengkritik Kerajaan
2016.02.12
Tindakan mengejut yang dilakukan Peguam Negara Malaysia pada Jumaat untuk menghentikan prosiding hasutan terhadap seorang profesor undang-undang negara itu, telah membangkitkan harapan agar kes-kes serupa turut digugurkan.
Profesor Madya Universiti Malaya Azmi Sharom menghadapi pertuduhan hasutan ekoran kenyataannya yang disiarkan dalam sebuah akhbar pada 2014, yang mengkritik campur tangan kerajaan pusat dalam politik negeri Perak pada 2009.
Peguam Negara Mohamed Apandi Ali tidak memberikan sebab mengapa beliau membuat keputusan itu tetapi berkata amalan menilai semula kes-kes di mahkamah telah dan akan terus dilakukan.
"Demi kepentingan keadilan dan selepas meneliti keterangan yang diberikan oleh semua saksi pendakwaan di mahkamah, saya menggunakan budi bicara saya di bawah Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan dan memutuskan untuk menghentikan pendakwaan terhadap Prof Madya Dr Azmi bagi pertuduhan di bawah seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948, "katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada Jumaat.
'Perlu berhati-hati'
Azmi adalah seorang aktivis politik dan pengkritik yang sering mengulas mengenai undang-undang Perlembagaan Malaysia dan perkara-perkara yang berkaitan. Beliau juga merupakan kolumnis tetap untuk akhbar harian tempatan berbahasa Inggeris, The Star.
Ketika dihubungi BeritaBenar, Azmi berhati-hati dalam menyambut baik kenyataan peguam negara itu dan berkata ia belum disahkan "sehinggalah ia dikemukakan di mahkamah".
"Ia belum sah lagi, dan di Malaysia, anda perlu berhati-hati," katanya kepada BeritaBenar, sambil menambah bahawa keputusan muktamad berhubung kes itu akan dibuat pada akhir minggu depan atau pada Isnin, 22 Feb.
Namun, katanya, beliau bersyukur dan gembira kerana "yang munasabah akhirnya dibuktikan."
"Saya fikir saya sepatutnya digugurkan daripada pertuduhan itu, sudah tentu. Saya berterima kasih kepada keluarga, peguam-peguam saya, rakan-rakan dan kepada begitu ramai orang, yang saya tidak kenal, yang amat menyokong perjuangan saya, " katanya.
Dalam kenyataannya, Apandi berkata, sebelum ini, tindakan menghentikan pendakwaan hasutan pernah dilakukan. Beliau memberi contoh kes yang melibatkan Ahli Parlimen pembangkang, Teresa Kok.
Azmi menghadapi hukuman denda maksimum RM5,000 (AS$1,205) dan penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 6 Oktober, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Akta Hasutan adalah sah dan oleh itu, Azmi terpaksa dibicarakan bagi pertuduhan yang dihadapinya.
Pada 14 Jan, pihak pendakwaan menutup kes terhadap Azmi dengan keterangan saksi terakhir iaitu pegawai penyiasat Inspektor Mohd Izwan Paijan.
'Kerlipan cahaya'
Kumpulan masyarakat sivil Malaysia, Gerakan Mansuhkan Akta Hasutan (GHAH) menyambut baik keputusan Peguam Negara, tetapi masih ragu-ragu mengenai motif di sebaliknya.
"Peguam Negara tidak boleh melakukan tindakan ini sebagai aksi publisiti untuk menutup keputusan kontroversi yang membersihkan Perdana Menteri Najib Razak daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.
Akhir bulan lalu, Apandi membersihkan pemimpin Malaysia itu daripada potensi pertuduhan rasuah hampir AS$700 juta yang didepositkan ke dalam akaun bank peribadinya pada 2013, dengan berkata "tidak ada kesalahan jenayah" yang telah dilakukan dan jumlah wang itu adalah "sumbangan peribadi" daripada keluarga diraja Arab Saudi .
GHAH berkata, Apandi mesti menunjukkan "keikhlasan beliau dalam usaha mengubah sistem perundangan di Malaysia."
Sementara itu Timbalan Pengarah Bahagian Asia Human Rights Watch Phil Robertson berkata, Azmi "tidak sepatutnya didakwa dari mula lagi."
"Namun, sekurang-kurangnya sekarang ada kerlipan cahaya lilin di dalam terowong gelap pendakwaan Akta Hasutan yang dilakukan pihak berkuasa Malaysia terhadap banyak peguam, aktivis badan bukan kerajaan, Ahli Parlimen pembangkang, dan ahli akademik," katanya dalam satu kenyataan.
Apandi perlu sedar bahawa adalah salah untuk mengenakan dakwaan jenayah terhadap orang ramai yang menyatakan pandangan politik terhadap kerajaan, kata Robertson.
"Peguam Negara perlu segera menggugurkan kes hasutan terhadap ramai orang yang berdepan dengan pertuduhan itu pada 2015, seperti kartunis Zunar, peguam Eric Paulsen, ahli politik pembangkang N. Surendran, dan berpuluh-puluh orang yang lain," katanya.