Peti perlindungan 'baby hatch' selamatkan nyawa bayi terbuang

Meskipun lebih selamat, sediakan tempat perlindungan dikritik sebagai galakkan pembuangan bayi, kata aktivis
Farhana Farush
2025.01.13
Kuala Lumpur
Peti perlindungan 'baby hatch' selamatkan nyawa bayi terbuang Pengurus Advokasi dan Komunikasi Yayasan OrphanCare, Riza Alwi melakukan demontrasi meletakkan patung bayi ke dalam peti perlindungan “baby hatch” di pejabat Yayasan OrphanCare, Petaling Jaya, Selangor, 10 Januari 2025.
[S. Mahfuz/BenarNews]

KEMAS KINI pada 9 malam waktu tempatan ETS - 2025-01-13

"Nama anak saya Jennifer, tolong besarkan dia dengan sebaik-baiknya. Saya sayang dia tapi saya tak boleh jaga, saya tak mampu."

Demikian antara nota ringkas yang ditinggalkan bersama seorang bayi yang baru dilahirkan ketika dia diletakkan di dalam peti perlindungan - ‘baby hatch’ di Yayasan OrphanCare, Petaling Jaya, Selangor pada 2021. 

Tiada siapa tahu siapakah ibu kandung bayi itu. Namun nasib bayi yang diletakkan di peti perlindungan itu mungkin lebih baik berbanding mereka yang dijumpai di tepi tong sampah dengan dihurung semut.

Bagi aktivis perlindungan kanak-kanak, kaedah menyediakan 'baby hatch' sebenarnya dapat menyelamatkan bayi-bayi terbuang daripada risiko bahaya tetapi ada pengkritik menyatakan kaedah itu dianggap sebagai menggalakkan pembuangan bayi dan kelahiran di luar nikah.

Pengurus Advokasi dan Komunikasi Yayasan OrphanCare Riza Alwi berkata peti perlindungan bayi yang disediakan sejak 2010 itu adalah bagi menangani masalah pembuangan bayi serta membantu ibu muda menangani kehamilan tidak dirancang dengan memastikan nasib anak yang tidak mahu dipelihara itu terjaga.

“Penubuhan OrphanCare dan baby hatch merupakan salah satu usaha untuk menyelamatkan nyawa bayi dan mengelakkan mereka daripada dibuang di mana-mana tanpa sebarang pelindungan.

“Setiap kanak-kanak mempunyai hak dibesarkan dalam keluarga dengan suasana sempurna dan bahagia walaupun cuma keluarga angkat,” kata Riza kepada BenarNews.

Sejak ditubuhkan pada 2008, OrphanCare telah menyelamatkan seramai 645 bayi dengan jumlah ketara dalam tempoh empat tahun kebelakangan ini iaitu terdapat 19 bayi pada 2021, 47 (2022), 55 (2023) serta lebih 80 (2024).

Riza percaya kenaikan jumlah kes bayi ditempatkan di peti pelindungan itu disebabkan timbul kesedaran dalam kalangan orang ramai agar mereka tidak membuang bayi.

Beliau berkata inisiatif peti perlindungan bayi turut mendapat kerjasama dengan hospital dan pusat perubatan di Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Perak, Negeri Sembilan dan Johor.

Di pusat 'baby hatch', sebuah kotak dilengkapi sistem penyaman udara dan penggera kecemasan disediakan bagi ‘menyambut’ bayi yang diletakkan di situ.

Sistem penggera akan berbunyi secara automatik sebagai indikator bahawa terdapat bayi di dalam peti perlindungan itu. 

Kata Riza sebahagian besar bayi diserahkan melalui 'baby hatch' itu diambil sebagai anak angkat selain dipelihara ibu kandung sendiri selepas mereka menjalani sesi kaunseling.

Selain itu, terdapat kes dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) apabila berdepan dengan situasi tertentu seperti sakit.

Menggelar bayi-bayi yang diselamatkan sebagai ‘Anak Malaysia yang dilupakan’ dan ‘anak syurga’, Riza berkata mereka terpaksa berdepan dengan stigma dan persepsi negatif masyarakat bahawa 'baby hatch' menggalakkan orang berzina dan membuang bayi.

Beliau menjelaskan masyarakat perlu sedar terdapat antara kes bayi dihantar ke 'baby hatch' kerana ibunya menjadi mangsa rogol selain mengalami tekanan mental dan ekonomi.

“Usaha dijalankan OrphanCare melalui baby hatch ini juga memberi ruang kepada ibu hamil yang dalam kesusahan datang berbincang supaya menerima bantuan sewajarnya termasuk pemeriksaan di hospital dan psikologi,” katanya.

BABY_HATCH_02.jpg
Bayi yang ditinggalkan lebih selamat diletakkan di dalam peti perlindungan “baby hatch” di pejabat Yayasan OrphanCare, Petaling Jaya, Selangor, 10 Januari 2025. [S. Mahfuz/BenarNews]

Anak angkat

Bagi memastikan kebajikan bayi terjaga, Yayasan OrphanCare bekerjasama dengan JKM supaya semua proses pengambilan anak angkat dilakukan secara sah mengikut undang-undang.

“Kita bukan agensi mengambil anak angkat tetapi kita cari ibu bapa angkat terbaik untuk bayi tersebut, sebab itu proses pemilihan keluarga angkat untuk bayi kita lakukan dengan teliti dan tegas.

“Walaupun senarai pemohon panjang dan ada yang terpaksa menunggu sehingga bertahun lamanya, kita pastikan mereka yang membuat permohonan anak angkat benar-benar layak untuk memelihara bayi terbabit,” kata Riza.

Bagaimanapun beliau menepis dakwaan segelintir pihak yang menganggap mereka sebagai penjual bayi.

“Kita bukan jual bayi dan pusat ini bukan berasaskan keuntungan. Segala kos pengurusan serta pembiayaan operasi bergantung sepenuhnya pada sumbangan orang ramai serta korporat,” kata Riza.

Kes buang bayi meningkat

Keperluan tempat perlindungan bayi yang terbuang seperti dilakukan OrphanCare dilihat penting apabila statistik pihak berkuasa menunjukkan kes pembuangan bayi kian meningkat sejak kebelakangan ini. 

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual Wanita dan Kanak-Kanak Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Siti Kamsiah Hassan berkata kes pembuangan bayi di negara ini meningkat kepada 609 kes dalam tempoh lima tahun dari 2019 hingga 2024 dengan sebanyak 375 bayi ditemui meninggal dunia manakala 234 hidup.

“Kawasan paling kerap bayi dibuang adalah kawasan rumah diikuti hospital atau klinik, bangunan kedai, pejabat, kebuk sampah, longkang, kumbahan, dalam tandas, tepi jalan, masjid atau surau, sungai dan tali air serta semak," katanya kepada BenarNews.

Beliau berkata terdapat juga bayi ditinggalkan di hentian bas, stesen komuter, stesen minyak, tanah perkuburan dan taman permainan.

Jelas beliau negeri Selangor merekodkan kes pembuangan bayi tertinggi dalam tempoh tersebut dengan 143 kes manakala Johor (84), Sabah (67), Kuala Lumpur (60), Perak (42), Kedah (36), Pahang dan Sarawak masing-masing 34 kes. 

Tambahnya Terengganu pula merekodkan 27 kes, Melaka (22), Kelantan (21), Pulau Pinang (18), Negeri Sembilan (17) dan Perlis (empat).

Siti Kamsiah berkata beberapa faktor dikenal pasti sebagai punca pembuangan bayi antaranya kehamilan luar nikah yang masih dianggap sebagai tabu oleh masyarakat Malaysia.

“Ibu yang mengandung luar nikah sering menghadapi tekanan sosial dan stigma tinggi menyebabkan mereka berasa malu atau takut untuk mendedahkan kehamilan tersebut.

“Kurangnya pendidikan seksual menyebabkan pendedahan keterlaluan kepada bahan lucah atau berunsur seksual dan mendorong kepada perlakuan seks bebas terutamanya golongan remaja serta kanak-kanak belasan tahun," ujarnya.

BABY_HATCH_07.jpg
Seorang lelaki mengendong bayi yang bakal menjadi anak angkatnya di pejabat Yayasan OrphanCare, Petaling Jaya, Selangor, 10 Januari 2025. [S. Mahfuz/BenarNews]

Jalan pintas

Siti Kamsiah berkata terdapat juga individu yang mengambil jalan pintas dengan membuang bayi mereka kerana faktor kewangan hingga mereka merasakan tidak mampu untuk menyara anak.

"Sesetengah individu mungkin tidak mampu menyara anak baru lahir kerana mempunyai beban kewangan lalu mengambil jalan pintas membuang bayi tersebut,” katanya.

Sementara itu, beberapa pertubuhan bukan kerajaan menganggap baby hatch amat penting dilaksanakan kerana ia menjadi ‘payung' menyelamatkan nyawa bayi selain memberi peluang kepada mereka untuk memiliki masa depan lebih cerah.

Presiden Gabungan Pertubuhan Wanita Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCWO), Anita Aqeela Hiong berkata masyarakat perlu terbuka mengenai isu baby hatch supaya sokongan emosi dan kaunseling boleh diberikan kepada ibu bapa bayi terbabit.

Bagaimanapun, beliau berkata kesedaran mengenai pendidikan seksual dan perancangan keluarga perlu dilaksanakan supaya dapat mengelakkan masalah kehamilan tidak dirancang atau tidak diingini.

“Kita (juga) perlukan pihak berwajib untuk memantau dan memastikan baby hatch berfungsi sebagaimana yang sepatutnya,” katanya kepada BenarNews.

Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene A Das berkata terdapat pihak berpendapat baby hatch menggalakkan pembuangan bayi atau meningkatkan masalah sosial.

Namun pandangan itu masih gagal menangani apakah punca yang mendorong ibu bayi tersebut meletakkan anak mereka di peti perlindungan bayi.

“Pendidikan seks yang menyeluruh, akses kepada perkhidmatan kontraseptif dan program sokongan berasaskan komuniti adalah sangat penting.

“Kami percaya usaha bersama dalam menangani stigma sosial, jurang sistemik dan risiko eksploitasi adalah penting untuk melindungi bayi,” katanya.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.