Langkah Malaysia awalkan Belanjawan 2023 tanda PRU diadakan tahun ini - Penganalisis

Tarikh pembentangan dipercepat daripada 28 kepada 7 Okt bermakna pilihan raya mungkin diadakan pada November, kata mereka.
Tengku Noor Shamsiah Tengku Abdullah & Noah Lee
2022.08.26
Kuala Lumpur
Langkah Malaysia awalkan Belanjawan 2023 tanda PRU diadakan tahun ini - Penganalisis Seorang pelanggan mengira wang ringgitnya selepas membuat penukaran di luar sebuah syarikat pengurup wang di daerah pusat perniagaan di Singapura, 25 Ogos 2015.
[Edgar Su/Reuters]

Kerajaan Malaysia pada Jumaat memaklumkan pembentangan Belanjawan 2023 akan dibuat tiga minggu lebih awal daripada yang dijadualkan dan penganalisis menyifatkan ia sebagai petanda jelas bahawa pilihan raya umum mungkin diadakan dalam masa terdekat selepas rang undang-undang kewangan itu diluluskan.

Pengumuman itu dibuat semasa presiden parti pemerintah UMNO minggu ini mengancam untuk memecat Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob sebagai Naib Presiden parti itu jika beliau tidak mengumumkan pilihan raya diadakan secepat mungkin untuk mengambil kesempatan daripada beberapa kemenangan pada pilihan raya negeri baru-baru ini.

Menerusi satu kenyataan pada Jumaat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata Belanjawan 2023 akan dibentang pada 7 Okt, bukannya 28 Okt seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Bercakap kepada media tempatan, Wan Junaidi menafikan kaitan pengumuman itu dengan pilihan raya umum meskipun Presiden UMNO (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu) telah memanggil mesyuarat khas pada Sabtu untuk membincangkan "isu semasa."

Penganalisis politik Oh Ei Sun berkata pembentangan belanjawan lebih awal membawa maksud bahawa pilihan raya mungkin diadakan pada November.

Langkah mempercepat pembentangan belanjawan itu "membayangkan bahawa pilihan raya mungkin diadakan tahun ini tetapi sebelum musim banjir pada akhir Disember," kata penganalisis dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura itu kepada BenarNews.

Bagi Awang Azman Awang Pawi, pengumuman kerajaan itu membawa maksud bahawa Parlimen akan dibubar sebaik sahaja Belanjawan 2023 dibentang.

"Saya melihat langkah ini sebagai petanda yang sangat jelas bahawa pilihan raya umum akan dipercepat," kata penganalisis politik itu yang juga seorang profesor madya di Universiti Malaya kepada BenarNews.

“Pilihan Raya Umum akan diadakan dengan segera kerana saya percaya Perdana Menteri akhirnya akur bahawa jika ditangguhkan, ia akan memberi kelebihan kepada PH,” katanya yang merujuk kepada pembangkang Pakatan Harapan.

Awang Azman merujuk kepada fakta bahawa Ismail Sabri, yang memegang jawatan nombor tiga dalam UMNO, agak keberatan untuk mengadakan pilihan raya mengejut manakala pihak yang diketuai Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi, mendesak agar ia diadakan secepat mungkin.

Penganalisis itu juga berkata PH akan mendapat manfaat kerana mempunyai lebih banyak masa bukan sahaja untuk membuat persediaan malah mengambil kesempatan daripada beberapa rintangan yang dialami oleh UMNO baru-baru ini.

Pemimpin kanan UMNO dan bekas Perdana Menteri Najib Razak telah disumbat ke penjara selama 12 tahun selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi terhadapnya bagi kesalahan rasuah berkaitan kes 1MDB. Selain itu, kerajaan beliau turut mempunyai kaitan dengan projek perolehan kapal tempur pesisir yang bernilai berbilion ringgit namun tidak menghasilkan apa-apa selama lapan tahun.

‘Lembut dan murah hati’

Sementara itu pada Jumaat, Setiausaha Agung UMNO Ahmad Maslan menafikan laporan bahawa pemimpin telah memberi kata dua kepada Ismail Sabri agar beliau memenuhi beberapa tuntutan atau berdepan risiko dipecat daripada menjadi naib presiden parti itu.

Beberapa pengkritik mendakwa Najib dan Zahid, yang juga sedang dibicarakan bagi kesalahan rasuah, menyokong pilihan raya awal supaya boleh mempengaruhi keputusan kes mahkamah membabitkan mereka walaupun telah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan itu.

Pilihan raya lebih awal bermakna rakyat Malaysia boleh menjangkakan belanjawan yang mesra pengundi, kata ahli ekonomi Ramon Navaratnam, yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan.

“Pilihan raya umum mungkin diadakan selepas pembentangan belanjawan yang disifatkan sebagai baik, lembut dan murah hati dengan sokongan padu terhadap golongan miskin,” katanya kepada BenarNews.

Navaratnam, yang pernah berkhidmat sebagai Lembaga Pengarah Bank Dunia di Washington, berkata belanjawan itu akan menjadi populis bagi membantu UMNO, yang menerajui gabungan pemerintah, meraih lebih banyak undi.

Bagaimanapun, demi tadbir urus yang baik dan integriti fiskal, beliau mengingatkan kerajaan supaya berwaspada terhadap tekanan tidak wajar serta ketegangan dari segi defisit dan hutang.

“Jangan terlalu bermurah hati demi belanjawan yang popular. Kita perlu elakkan amalan buruk yang dilakukan oleh Greece, Lubnan dan Sri Lanka,” katanya.

Parlimen Malaysia akan bubar secara automatik pada 16 Julai 2023 dan pilihan raya umum perlu diadakan pada atau sebelum 16 Sept 2023.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.