Bajet Malaysia 2020 Rangkumi Program Kurangkan Kebergantungan Pekerja Asing

Hadi Azmi
2019.10.11
Kuala Lumpur, Malaysia
191011-MY-2020Budget1000.jpg Perdana Menteri Mahathir Mohamad bersama Timbalan Perdana Menteri Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Kewangan Lim Guan Eng berjalan menuju ke Dewan Rakyat bagi Pembentangan Belanjawan 2020 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, Malaysia, 11 Okt, 2019.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Program yang menumpukan kepada pembangunan modal insan dan mengurangkan kebergantungan Malaysia kepada pekerja asing berkemahiran rendah semasa negara beralih ke arah ekonomi digital adalah sebahagian daripada peruntukan perbelanjaan sebanyak AS$71 bilion bagi 2020 yang dibentangkan kerajaan pada Jumaat.

Belanjawan kedua yang dibentangkan kerajaan gabungan Pakatan Harapan sejak mememangi pilihan raya umum tahun lepas turut merangkumi inisiatif Malaysia@Work, yang mencadangkan supaya mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dengan mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik bagi belia dan wanita Malaysia.

Semasa membentangkan cadangan belanjawan itu kepada Parlimen pada Jumaat, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata insentif yang diberikan melalui inisiatif itu dijangka membantu rakyat Malaysia yang kurang berkemampuan untuk menjadi pekerja berdikari dan dapat menyumbang kepada pasaran buruh.

"Kerajaan menjangkakan bahawa inisiatif Malaysia@Work akan menelan belanja sebanyak RM6.5 bilion (AS$1.55 bilion) selama lima tahun dan mewujudkan tambahan 350,000 pekerjaan bagi rakyat Malaysia serta mengurangkan kebergantungan terhadap lebih 130,000 pekerja asing," katanya.

Hampir 2 juta pekerja asing, termasuk dari Bangladesh dan Indonesia, didaftarkan di bawah Permit Lawatan Kerja Sementara sehingga 31 Ogos lalu, menurut laporan media. Setahun yang lalu, ISEAS - Institut Yusof Ishak yang berpejabat di Singapura, melaporkan bahawa jumlah itu boleh meningkat kepada 3.85 juta orang dengan mengambil kira mereka yang bekerja di Malaysia secara haram.

Di samping meningkatkan persekitaran kerja, Lim berkata kerajaan sedang berusaha untuk menerajui transformasi ekonomi digital menerusi pembangunan rangkaian mudah alih 5G, automasi pintar dan latihan untuk "usahawan mikro dan ahli teknologi mikro".

Belanjawan itu memperuntukkan RM10 juta (AS$ 2.38 juta) untuk memanfaatkan e-Marketplaces dan platform media sosial, kata Lim sambil berkongsikan kejayaan sebelumnya.

"Beratus usahawan mikro digital ini, yang majoritinya adalah wanita dan remaja, mampu menjana pendapatan sebanyak RM23 juta  (AS$5.5 juta) dalam tempoh hanya enam bulan, yang sekali gus mengubah kehidupan mereka" katanya.

Dalam ucapan pembentangan Belanjawan itu di Parlimen, menteri kewangan berkenaan berkata kerajaan menjangkakan pelan perbelanjaan 2020 akan menunjukkan defisit fiskal sebanyak 3.2 peratus apabila perbelanjaan melebihi pendapatan berbanding defisit 3.4 peratus semasa Belanajwan sebanyak RM314.5 bilion (AS$75.1 bilion) bagi 2019.

Semasa mengambil alih pentadbiran kerajaan Malaysia pada Mei 2018, Perdana Menteri Mahathir Mohamad mewarisi sejumlah besar hutang daripada gabungan Barisan Nasional. Gabungan itu dipimpin oleh bekas Perdana Menteri Najib Razak, yang kini berdepan dengan puluhan pertuduhan berhubung kehilangan berberbilion dolar dari dana pembangunan negara, 1MDB.

"Walaupun mewarisi bebanan hutang dan liabiliti melebihi RM1.1 trilion (AS$262.7 bilion) daripada pentadbiran terdahulu, kerajaan tetap komited untuk melaksanakan langkah konsolidasi fiskal secara berperingkat,” kata Lim dalam ucapan Belanjawannya.

Sementara itu, kerajaan menjangka dapat menjimatkan perbelanjaan mengurus sebanyak RM18.8 bilion ringgit (AS$4.49 bilion) dengan menetapkan perbelanjaan sebanyak RM241 bilion (AS$57.57 bilion) berbanding RM259.8 bilion (AS$62 bilion) tahun ini.

Kerajaan akan menaikkan kadar cukai bagi mereka yang memperoleh lebih daripada RM2 juta (AS$477,748) kepada 30 peratus daripada 28 peratus, selain ia tidak bercadang untuk memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), lapor agensi berita Reuters. Tidak lama selepas menyandang jawatan Perdana Menteri, Mahathir Mohamad menghapuskan GST yang diperkenalkan kerajaan Najib.

Parlimen dijangka memulakan perbahasan sebelum meluluskan Belanjawan 2020 itu pada sidang berikutnya, yang akan berakhir pada 28 November.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng semasa membentangkan Bajet 2020 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, 11 Oktober 2019. [S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perbelanjaan keselamatan

Walaupun keseluruhan Belanjawan menunjukkan penurunan sebanyak 5.5 peratus berbanding 2019, kerajaan akan meningkatkan perbelanjaan keselamatan pertahanan dan sektor awam sebanyak RM3 bilion (AS$716.7 juta).

"Fokus utama untuk maju ke hadapan adalah dengan menambah baik kesiapsiagaan pertahanan termasuk meningkatkan mobiliti Angkatan Tentera Malaysia," kata Lim. "Kesiapsiagaan itu termasuk keperluan dalam menangani ancaman baru dan memenuhi perubahan sifat ancaman seperti mempunyai Bot Pemintas Laju untuk menjaga perairan di Sabah."

Selain daripada tuntutan wilayah bertindih di Laut China Selatan di antara Malaysia, China dan negara-negara Asia yang lain, Sabah dikenali sebagai kawasan yang mudah terdedah kepada kegiatan militan dari Mindanao, wilayah selatan di Filipina yang mempunyai sempadan maritim dengan Malaysia. Pelancong dan nelayan menjadi mangsa penculikan yang dikatakan dilakukan oleh ahli kumpulan militan yang berpangkalan di Filipina, Abu Sayyaf.

Lai Yew Meng, penganalisis keselamatan serantau di Universiti Malaysia Sabah, berkata peningkatan peruntukan Belanjawan itu, walaupun berdepan keadaan ekonomi dan fiskal yang agak lembap, menunjukkan kepentingan yang diberikan dalam mengukuhkan keselamatan negara.

"Sama ada jumlah itu cukup atau tidak, ia mungkin tidak begitu penting kerana hakikatnya peningkatan ini dibuat semasa ketidaktentuan ekonomi, yang menunjukkan usaha gigih kerajaan dalam memastikan keselamatan negara kita tidak terjejas," kata Lai.

Aminah Farid di Kuala Lumpur dan Zam Yusa di Kota Kinabalu, Malaysia, turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.