Himpunan Rakyat Bersatu Pada Hari Malaysia


2015.09.15
150915-MY-MERAH620 Sukarelawan Melayu duduk dalam pembentukan semasa perhimpunan sulung kumpulan nasionalis Melayu Perkasa di Kuala Lumpur. 27 Mac 2010.
AFP

Kegembiraan meraikan sambutan ulang tahun ke-52 penubuhan Malaysia pada tahun ini, dilihat sedikit tercalar apabila kumpulan yang menggelarkan diri mereka ‘Baju Merah’ akan mengadakan satu perhimpunan yang dipanggil ‘Himpunan Rakyat Bersatu’ di ibu negara pada Rabu.

Banyak pihak mendakwa acara itu berunsur perkauman kerana hanya membabitkan penyertaan orang Melayu dan boleh menjejaskan keharmonian rakyat pelbagai kaum dan agama di Malaysia.

Perhimpunan itu, yang dianjurkan Persatuan Seni Silat Kebangsaan (Pesaka) dan akan disertai 250 badan bukan kerajaan (NGO) lain, diadakan sebagai membantah penganjuran perhimpunan Bersih 4.0 yang diketuai pembangkang, baru-baru ini.

Kira-kira 30,000 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Pesaka dan NGO dijangka berhimpun serta berarak melalui beberapa kawasan pelancong utama sekitar Kuala Lumpur seperti Bukit Bintang, Petaling Street sebelum berhimpun di Padang Merbok.

Presiden Pesaka, Ali Rustam, memberi jaminan perhimpunan itu akan diadakan secara aman, namun berkata, pihaknya tidak akan bertanggungjawab jika berlaku kekecohan.

“Pesaka telah mengingatkan peserta perhimpunan supaya tidak melakukan perbuatan membakar patung atau memijak gambar pemimpin pembangkang seperti yang dilakukan peserta Bersih 4.0,” katanya pada Selasa.

"Siapa yang melanggar (undang-undang), dialah yang bertanggungjawab sendiri. Kita penganjur hanya akan (menguruskan) perhimpunan di Padang Merbok,” katanya.

Menurut Akta Perhimpunan Aman 2012, penganjur yang diberikan kebenaran mengadakan sesuatu perhimpunan hendaklah bertanggungjawab terhadap sebarang kekecohan yang berlaku semasa perhimpunan itu.

16 September adalah tarikh bersejarah buat rakyat Malaysia kerana ia menyatukan Tanah Melayu, Borneo Utara (Sabah, Sarawak) serta Singapura bagi membentuk Malaysia.

Sempena tarikh itu, Malaysia menyambut ‘Hari Malaysia’ setiap tahun dan menjadikannya sebagai hari cuti umum di seluruh negara.

Ali, yang juga bekas Ketua Menteri Melaka berkata, bagi melancarkan perjalanan perhimpunan, seramai 3,000 ahli Pesaka akan mengawal keadaan.

"Sepanjang acara itu, kita susun pelbagai program seperti membaca puisi, ucapan, persembahan seni silat dan sebagainya. Dan saya akan berada di barisan paling hadapan," katanya

Acara itu dijadualkan bermula pada 12.30 tengah hari dan berakhir pada 7 petang.

Pada Isnin, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur memberikan permit kepada Pesaka untuk menganjurkan perhimpunan itu di Padang Merbok.

Susulan kebenaran mengadakan perhimpunan itu, Perdana Menteri Najib Razak meminta peserta perhimpunan mematuhi undang-undang dan tidak melakukan kesalahan mengikut Akta Hasutan 1948.

Beliau mengingatkan mereka supaya tidak membawa sebarang risalah atau poster yang boleh membangkitkan ketegangan antara kaum dan menggugat keamanan negara.

Dalam pada itu, timbalannya Ahmad Zahid Hamidi turut memberi peringatan bahawa polis akan mengambil tindakan jika ada yang mengingkari arahan dan menyentuh sensitiviti kaum.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, polis akan memantau aktiviti perhimpunan ‘Baju Merah’ termasuk memastikan perarakan dari lima tempat ke Padang Merbok tidak dicemari dengan kain rentang, poster atau kata-kata kesat seperti termaktub dalam Akta Hasutan.

"Saya berharap mesej ini difahami semua. Sebagai sebuah negara pelbagai kaum, budaya dan agama, kita harus menghormati antara satu sama lain,” katanya pada Selasa.

Berikutan itu, Polis DiRaja Malaysia menggerakkan sejumlah besar pegawai dan anggotanya untuk bertugas sepanjang perhimpunan itu bagi memastikan ia berjalan lancar dan berdispilin.

"Keutamaan kami ialah memastikan keselamatan rakyat dan harta awam di bandar ini," kata Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar.

Parti komponen bersuara

Minggu lepas, beberapa parti komponen utama Barisan Nasional (BN) iaitu gabungan parti-parti yang kini memerintah Malaysia, menyuarakan kebimbangan bahawa penganjuran perhimpunan ‘Baju Merah’ boleh menjejaskan perpaduan dan hubungan harmoni rakyat Malaysia.

Presiden MCA yang juga Menteri Pengangkutan Liow Tiong Lai berkata, sebarang ketegangan kaum boleh mendatangkan implikasi buruk terhadap pembangunan dan ekonomi negara.

"Kami berharap sesiapapun, jangan menganjurkan program yang menyalahi undang-undang. Buatlah program yang membina dan dapat membangunkan negara kita,” katanya yang menerajui parti Cina utama itu.

Presiden MIC yang juga Menteri Kesihatan Dr S. Subramaniam pula berpendapat, perhimpunan itu boleh mengancam kestabilan dan memusnahkan ekonomi negara.

Menurutnya, parti India itu sentiasa menentang budaya demonstrasi jalanan kerana ia berisiko,*mengundang kejadian tidak dingini, dan boleh memberi kesan negatif kepada kestabilan politik, ekonomi dan keharmoniam kaum di negara ini.

Agensi Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan pada Ahad lalu, sebanyak 773 penjaja dan 500 pekedai di Petaling Street bersetuju menghentikan perniagaan selama sehari pada 16 Sept bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku sempena perhimpunan itu.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kuala Lumpur Ang Say Tee berkata, keputusan itu dilakukan selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan beberapa NGO pada 5 Sept lepas.

"Sebanyak 90 peratus peniaga telah mengambil keputusan untuk menutup perniagaan pada hari berkenaan bagi memastikan keselamatan mereka terjamin selain mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku," katanya.

Pada Jumaat lepas, gabungan Persatuan-persatuan Peniaga dan Penjaja Kecil Wilayah Persekutuan mendesak penganjur perhimpunan itu supaya membatalkannya atau memilih tempat bersesuaian.

Pengerusinya Rosli Sulaiman berkata, lebih 50,000 penjaja kecil bimbang perhimpunan itu akan mengganggu-gugat perniagaan mereka.

"Kuala Lumpur merupakan kawasan tumpuan pelancong. Sudah pasti bila ada perhimpunan besar, ia akan menyusahkan masyarakat peniaga dan penjaja,” tegasnya.

Menurutnya perhimpunan Bersih 4.0 di Dataran Merdeka pada 29 Ogos lepas telah menyebabkan peniaga di kawasan Masjid Jamek, Pudu dan Jalan Tunku Abdul Rahman menanggung kerugian besar.

Baju Hitam

Sementara itu, seramai 2,500 ahli NGO dan kumpulan aktivis secara sukarela akan menempatkan diri di kawasan laluan perhimpunan itu bagi menjaga keselamatan awam terutama kaum bukan Melayu, kata Presiden Pro-Rakyat Khairul Anwar Othman.

Kumpulan itu, yang akan berpakaian Baju Hitam pada hari berkenaan terdiri daripada 2,000 anggota NGO dan 500 anggota Otai Reformis, dan mereka akan "berkampung" di sekitar kawasan Petaling Street dan Bukit Bintang dari pagi sehingga 12 tengah malam pada Rabu.

"Kami ingin beri jaminan bahawa kami tak akan biarkan rakyat Malaysia tidak kira apa bangsa diapa-apakan," katanya selepas menyerahkan memorandum bantahan 20 NGO terhadap perhimpunan Baju Merah kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Jumaat lalu.

Setiausaha Otai Reformis Abdul Razak Ismail berkata memorandum itu dihantar bagi memohon Istana Negara menasihatkan supaya perhimpunan itu tidak diadakan atas faktor keharmonian kaum.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad enggan mengulas mengenai perhimpunan itu tetapi meminta penganjur memastikan tiada perkara buruk berlaku pada perhimpunan itu.

Mahathir, yang kini lantang mengkritik kepimpinan Najib, mengejutkan banyak pihak apabila menghadiri perhimpunan Bersih 4.0 baru-baru ini.

Sebelum ini, beliau mengkritik penganjuran Bersih 1, 2 dan 3 kerana memperjuangkan agenda pembangkang yang diketuai Anwar Ibrahim.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) pula berpendapat rakyat Malaysia bebas untuk mengadakan perhimpunan tetapi perlu melakukannya dengan mematuhi undang-undang.

Pengerusinya Hasmy Agam berkata, peserta perhimpunan perlu sedar bahawa pihak berkuasa mempunyai peranan dan tanggungjawab mengekal dan memelihara keselamatan, keamanan dan ketenteraman dalam negara.

Justeru itu, katanya penganjur perhimpunan itu hendaklah memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa khususnya polis untuk memastikan para peserta mematuhi undang-undang pada setiap masa.

Sambutan Hari Malaysia di peringkat nasional bagi tahun ini akan diadakan di Sabah.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.