Malaysia, Bangladesh Bincang Kemasukan Pekerja Asing Melalui Tender Terbuka

Ali Nufael
2018.08.14
Kuala Lumpur, Malaysia
180814-MY-BD-Migrantworkers1000.jpg Malaysia mempunyai kira-kira 1.7 juta pekerja asing dengan 221,089 daripadanya adalah warga Bangladesh, demikian menurut statistik dari Jabatan Imigresen sehingga Jun 2017. 14 Ogos, 2018.
[S. Mahfuz/BeritaBenar]

Perdana Menteri Malaysia Mahathir Mohamad pada Selasa mengumumkan bahawa pengambilan pekerja asing warga Bangladesh akan dibuka kepada semua agen dan agensi berdaftar bagi mengelakkan isu monopoli dan penipuan dalam urusan pengambilan pekerja asing dari Bangladesh.

Menurut Mahathir, langkah ini perlu bagi mewujudkan satu bentuk persaingan bagi membuka peluang kepada pekerja asing warga Bangladesh untuk memilih agen dan agensi  yang mereka sukai.

"Hari ini satu perbincangan bersama kerajaan Bangladesh telah berjalan. Perbincangan adalah mengenai urusan pengambilan pekerja yang dibuka kepada semua agen di Bangladesh."

"Di  Bangladesh hanya ada 10 agen atau agensi pengambilan pekerja asing dan ini telah mengakibatkan kepada satu bentuk monopoli. Ada kes di mana mangsa dikenakan bayaran RM20,000, jadi kita mahu perluaskan supaya ada persaingan di antara agensi atau agen pengambilan warga asing. Jadi pekerja asing mempunyai pilihan untuk memilih yang agensi mana  mereka suka," kata Perdana Menteri.

Mahathir berkata, kerajaan baru turut akan mewujudkan satu sistem tunggal yang akan diguna pakai oleh setiap negara yang ingin menghantar rakyat mereka untuk bekerja di Malaysia.

"Kita akan mewujudkan satu sistem tunggal tanpa mengasingkan mana-mana negara. Jadi bukan sahaja Bangladesh, negara Nepal contohnya akan menggunakan sistem yang sama," kata beliau pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Mengenai Senario dan Pengurusan Pekerja Asing di Parlimen, hari ini.

Kementerian Sumber Manusia akan memperhalusi sistem tersebut sebelum dilaksanakan tambah beliau.

Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh

Dalam pada itu, Mahathir juga mengumumkan bahawa kerajaan baru Pakatan Harapan  turut akan menubuhkan satu jawatankuasa bebas yang akan dipengerusikan oleh pegawai tinggi kerajaan bagi menyelesaikan masalah berkaitan proses pengambilan pekerja asing.

Tambah Mahathir, jawatankuasa bebas itu akan diurus-selia oleh Institut Maklumat dan Analisis Pasaran Buruh bagi melihat secara menyeluruh tentang dasar dan pengurusan pekerja asing.

"Malaysia telah berhadapan dengan pelbagai masalah berkaitan pengambilan warga asing. Terlalu ramai yang masuk dan ramai yang masuk tanpa izin. Oleh itu kerajaan akan menubuhkan jawatankuasa bebas bagi menguruskan pengambilan pekerja asing," tambah Mahathir lagi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berusia 93 tahun juga mengumumkan bahawa satu bentuk kerjasama antara Kementerian Dalam Negeri dan Sumber Manusia akan dilakukan kelak.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran dan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Xavier Jayakumar.

Menurut statistik Jabatan Imigresen Malaysia sehingga Jun 2017, seramai 1.7 juta pekerja warga asing yang direkodkan, dan dari jumlah itu, seramai 221,089 merupakan pekerja  warga Bangladesh.

Penyumbang terbesar warga pekerja asing adalah dari Indonesia dengan 728, 870, diikuti oleh Nepal dengan 405, 898.

Pembukaan tender pengambilan pekerja asing bukan jaminan bebas eksploitasi

Tenaganita, organisasi yang banyak memperjuangkan hak pekerja asing memberitahu BeritaBenar tiada jaminan bahawa pekerja asing tidak akan dieksploitasi dengan membuka tender pengambilan pekerja asing kepada agen dan agensi baru.

Pengarah Tenaganita, Aegile Fernandez sewaktu dihubungi BeriatBenar berkata bahawa kerajaan baru tidak mahu mengotakan janji mereka untuk memperkasakan hak buruh asing dan menggesa agar satu pertemuan dijalankan antara kerajaan dan badan bukan kerajaan.

"Saya tidak rasa bahawa idea untuk memperluaskan hak pengambilan pekerja asing itu tepat. Seharusnya kerajaan patut katakan tidak pada agen atau orang tengah. Sepatutnya proses pengambilan pekerja asing dilakukan oleh kerajaan Malaysia dan Bangladesh menerusi hubungun G to G (government to government)."

"Tiada jaminan tidak akan berlaku penyelewengan atau eksploitasi. Kerajaan baru seharusnya komited untuk membela nasib buruh asing. Mereka patut duduk semeja bersama kami serta pekerja asing bagi mendengar keluhan mereka," kata Aegile lagi.

Laporan dari Nepal

Menurut laporan media, Ahad lalu, 50 pekerja warga Bangladesh yang mewakili 270 mangsa penipuan sindiket pekerja asing telah membuat laporan polis berkenaan sebuah syarikat yang dikesan mengaut ‘keuntungan atas angin’ lebih RM2 juta.

Syarikat tersebut telah memperdaya 270 pekerja warga Bangladesh bagi mendapat permit menerusi Program Penggajian dan Penempatan Semula PATI (Program Rehiring) Jabatan Imigresen Malaysia.

Pasport milik mangsa dikatakan turut diambil syarikat berkenaan dengan alasan memudahkan urusan proses Jabatan Imigresen.

Salah seorang mangsa, Mohamad Alagir, 30-an, berkata kebanyakan mereka mula berurusan dengan syarikat berkenaan sejak Mac tahun lalu atas saranan rakan lain yang masing-masing telah ditipu RM8,000 oleh syarikat yang berjanji untuk mendapatkan pekerjaan dan permit kerja yang sah bagi mereka.

Sementara itu, Kulasegaran ketika mengulas dakwaan media Nepali Times berhubung Bestinet Sdn Bhd yang didakwa terbabit sindiket penipuan pekerja dari Nepal, berkata memorandum persefahaman (MoU) akan ditandatangani bagi menyelesaikan isu berkenaan.

Katanya, Kerajaan Nepal sudah meluluskan MoU itu secara dasarnya dan beliau akan membentangkannya dalam mesyuarat Kabinet untuk kelulusan.

Sebelum ini, Bestinet didakwa terbabit dalam skim penipuan telah menafikan bahawa mereka mengaut keuntungan RM185 juta daripada ratusan ribu warga Nepal yang mencari pekerjaan di Malaysia sejak 5 tahun lalu.

Syarikat itu berkata, dakwaan itu disiarkan oleh Nepali Times pada 20 Jun lalu di bawah tajuk “Kleptocrats of Kathmandu and Kuala Lumpur” adalah palsu sama sekali.

Laporan media turut mengaitkan bekas menteri dalam negeri, Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa ahli politik Umno, serta orang tengah Bangladesh yang mengaut keuntungan besar daripada pekerja asing Bangladesh.

“Kerajaan Malaysia bersama syarikat yang disokong ahli politik berkuasa mengambil lebih 5 bilion rupee (RM185 juta) daripada lebih 600,000 pekerja Nepal antara September 2013 dan April 2018,” menurut laporan itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.