Malaysia Penjara Warga Bangladesh Kerana Memperdagangkan Manusia

Staf BeritaBenar
2016.06.09
Washington
160609-my-wangkelian620 Polis Diraja Malaysia membawa keluar mayat selepas mengali kubur-kubur haram di dalam hutan Bukit Wang Burma, Wang Kelian di negeri utara Perlis yang bersempadan antara Malaysia dan Thailand, 28 Mei 2015.
AFP

Sebuah mahkamah Malaysia pada Khamis memenjara seorang lelaki Bangladesh selama sepuluh tahun selepas dia mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan menyeludup dan memperdagangkan manusia di kawasan pertemuan 106 kubur haram pada Mei 2015, lapor media tempatan.

Nurul Islam, 32, mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi Kangar, di Perlis negeri utara yang bersempadan antara Malaysia dan Thailand, menyeludup tiga rakan negaranya ke Malaysia melalui kawasan Wang Kelian, di mana kubur –kubur haram itu ditemui, antara Oktober 2014 dan Mei 2015, demikian dilaporkan akhbar tempatan The Sun Daily.

Pesuruhjaya Kehakiman Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman 10 tahun bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak bermula dari tarikh dia ditangkap pada 2 Mei 2016. Pertuduhan itu dibuat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (2007).

Tiga lelaki lain - dua etnik Rohingya dan seorang rakyat Thai - telah didapati bersalah menyeludup beberapa lagi pendatang tanpa izin melalui kem di kawasan bukti-bukau itu, tetapi mereka masih belum dihukum.

Nurul Islam yang memakai baju Melayu merah jambu Melayu dan kopiah, menangis teresak-esak di kandang tertuduh dari bilik mahkamah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa dalam bahasa ibunda beliau. Beliau tidak diwakili peguam, menurut laporan The Sun Daily.

‘Paksa’

Semasa mahkamah mendengar kes pada Khamis, Nurul Islam mendakwa dia dipaksa melakukan kesalahan itu oleh seorang ejen sindiket penyeludupan, yang akan memukulnya jika beliau enggan mengikut arahan. Beliau turut memberitahu mahkamah yang beliau hanya dibayar gaji  RM 1,800 (AS$445) sebulan, menurut akhbar The New Straits Times.

Nurul Islam memohon mahkamah meringankan hukuman kerana beliau mempunyai tiga orang anak kecil dan bapa yang sudah tua untuk ditanggung di negara asalnya.

"Tiada siapa yang akan menjaga mereka apabila saya di penjara. Saya hanya mahu pulang ke negara saya," katanya, menurut The Sun Daily.

Pada Mei tahun lepas, polis telah menggali semula kubur-kubur haram dan menemui 106 mayat yang dipercayai etnik Rohingya dan Bangladesh, dari kem tahanan haram di Bukit Genting Perah dan Bukit Wang Burma, terletak hanya beberapa ratus meter dari sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian.

Awal bulan yang sama, sebuah kubur besar yang mengandungi sekurang-kurangnya 36 mayat ditemui di sempadan sebelah Thailand, yang membawa kepada tindakan keras ke atas penyeludupan manusia oleh Thailand, yang seterusnya turut membawa tercetusnya krisis kemanusiaan dengan kebanjiran hampir 3,000 pendatang Rohingya dan Bangladesh di Malaysia dan Indonesia.

Sembilan puluh dua orang termasuk seorang jeneral sedang didakwa atas kesalahan pemerdagangan manusia di Thailand, selepas tindakan keras diambil pemerintah negara berkenaan.

“Pemerdagangan manusia merupakan perniagaan yang besar di selatan Thailand; ribuan menyeberangi antara sempadan ke Malaysia dan Thailand setiap hari, " kata Glorene Das dari  Tenaganita, sebuah badan bukan kerajaan yang berpangkalan di Kuala Lumpur yang menyokong hak-hak migran, berkata pada Mei 2015 selepas penemuan awal kubur haram itu.

Kehadiran bot penyeludupan manusia dari Myanmar dan Bangladesh telah berkurangan dengan ketara sejak itu, menurut Matthew Smith, Pengarah Fortify Rights yang juga seorang pakar dalam penghijrahan haram di Asia Tenggara.

"Pada masa ini, kegiatan itu telah berkurangan secara drastik dan pada ketika ini tahun lepas, terdapat beribu Rohingya ditahan di kem-kem penyeksaan di Thailand. Hari ini, perkemahan itu tidak lagi wujud, "katanya kepada BeritaBenar dalam satu temu bual pada Mei 2016.

Beliau menyifatkan sebahagian besar penurunan itu berlaku adalah disebabkan tindakan keras oleh kerajaan Thailand dan perubahan politik di Myanmar.

“Pihak berkuasa Malaysia telah gagal mendakwa mana-mana penyeludup yang terlibat dalam pemerdagangan Rohingya. Malaysia hanya mendakwa tiga penyeludup tahun lepas. Ramai penyeludup masih berkeliaran bebas tanpa rasa takut kepada keadilan. Itulah masalahnya,” tambah beliau.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.