Kerajaan Persekutuan, Negeri Terima Kecaman Tidak Cekap Tangani Bencana Banjir

Rakyat Malaysia meluahkan ketidakpuasan hati melalui sosial media berikutan kelewatan mendapat bantuan dari pihak berkuasa.
2021.12.20
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Kerajaan Persekutuan, Negeri Terima Kecaman Tidak Cekap Tangani Bencana Banjir Penduduk membersihkan kediaman mereka yang penuh dengan lumpur dan sampah sehingga larut malam selepas air banjir mulai surut, di Kampung Batu 18, Hulu Langat, Selangor, 20 Disember 2021.
[S. Mahfuz/BenarNews]

Ramai warga Malaysia pada Isnin terkesan dengan kemusnahan yang diakibatkan oleh banjir besar dengan melahirkan rasa marah terhadap Putrajaya dan kerajaan negeri kerana kurang kompeten dalam menangani bencana itu selepas hujan lebat berterusan selama tiga hari berturut-turut.

Tempias Taufan Rai yang telah meragut banyak nyawa di Filipina terkena kepada Malaysia sehingga menyebabkan kemusnahan di lapan buah negeri di Semenanjung telah menenggelamkan banyak rumah, menumbangkan pokok-pokok serta tiang elektrik, dan menyebabkan puluhan pengguna jalanraya terkandas di tengah jalan termasuk sesetengah daripada mereka terpaksa memanjat dan duduk di bumbung kereta.

Sementara itu seorang pakar meteorologi dan pemimpin masyarakat mendakwa Jabatan Meteorologi Malaysia telah gagal untuk memberi amaran yang mencukupi kepada semua penduduk, dan keadaan diburukkkan lagi dengan usaha oleh kerajaan serta pasukan penyelamat yang tidak dikoordinasi dengan betul bagi membantu mereka yang terkesan.

“Tidak kisah jika taburan hujan ini adalah luarbiasa, tetapi apa yang penting ialah sepantas mana anda bertindak untuk memberikan bantuan dan pertolongan kepada rakyat. Saya rasa ianya lebih efektif dan berfaedah jika anda mengkoordinasikan dan membahagikan tugasan daripada melakukan tinjauan. Isu masih belum selesai,” menurut pemilik akaun Twitter RazaAbdol yang ditujukan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri.

Menurut Naddy Roslan pula, rakyat tidak menyalahkan anggota bawahan atas kelewatan pergerakkan mereka di kawasan bencana.

“Jangan menaikkan kemarahan kami. Anda tahu apa yang anda telah lakukan. Tiada di antara kami yang menyalahkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), tetapi kami menyalahkan kamu dan @IsmailSabri60.

“Hujan tidak berhenti dari hari Jumaat dan Sabtu jadi sudah dijangka air akan naik. Apa yang anda buat?,” menurut Naddy dalam ciapan beliau di Twitter merujuk kepada ciapan Menteri Pertahanan Hishamuddin Hussin dan Perdana Menteri yang mendakwa ada yang menuduh ATM lambat bertindak.

Sehingga Isnin, banjir itu dilaporkan telah meragut nyawa 11 mangsa dan menyebabkan lebih 65,000 individu dari lapan buah negeri iaitu Selangor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terpaksa dipindahkan dari rumah mereka dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara, menurut pihak berkuasa.

Dari jumlah mangsa yang terkorban, sembilan di Selangor, dan dua di Pahang dengan kawasan Sri Muda di Shah Alam, Selangor merekodkan jumlah kematian tertinggi iaitu seramai enam orang.

Shah Alam adalah antara lokasi paling teruk terjejas, dengan ramai mangsa terpaksa memanjat bumbung rumah dan menunggu sehingga lebih sehari untuk diselamatkan pasukan penyelamat.

Terkandas

Loges, 35, dari Shah Alam bingung mencari jalan keluar setelah terkepung oleh air banjir yang naik mendadak selama dua hari, ibunya pula memerlukan rawatan bagi pembedahan kaki baru-baru ini.

"Kami terus menerus memanggil bantuan, tetapi tiada siapa yang datang. Tetapi kami tidak boleh berbuat apa-apa termasuk mengharung banjir kerana arus yang begitu kuat," katanya.

"Tambahan pula ibu saya baharu menjalani pembedahan kaki baru-baru ini, dan kami tidak boleh meredah banjir kerana risiko jangkitan," tambah pemuda itu sebelum diselamatkan pada Ahad oleh sekumpulan sukarelawan yang mengambil inisiatif sendiri melakukan usaha mencari dan menyelamat di kawasan Shah Alam sejak Sabtu.

Manakala seorang wanita dan anak perempuannya yang berusia dua tahun pula terpaksa diselamatkan dari sebuah pusat perubatan swasta di Shah Alam selepas ia terputus bekalan elektrik dan kehabisan bekalan air minuman.

"Kami terpaksa tidur dalam gelap, dan selepas air minuman habis, saya juga tidak boleh membancuh susu anak saya dan menyebabkannya resah.

"Jadi awal hari ini apabila saya dimaklumkan bahawa kami boleh keluar, kami mengambil peluang itu walaupun terpaksa diselamatkan menggunakan sebuah kayak," kata ibu itu yang enggan dinamakan.

Beliau dan anaknya kemudian telah dihantar ke pusat pemindahan banjir untuk perlindungan.

211220-MY-Inside-Banjir.jpg

Pelajar lelaki Raudhoh Tahfiz Al-Quran dengan pakaian mereka yang disaluti lumpur sewaktu membantu orang kampung membersihkan masjid daripada sisa kotoran akibat banjir yang berlaku 2 hari lepas di Hulu Langat, Selangor, 20 Disember 2021. [S. Mahfuz/BenarNews]

Amaran awal penting

Felo Penyelidik Kanan Institut Sains Bumi dan Samudera Universiti Malaya, Azizan Abu Samah memberitahu BenarNews keadaan buruk terutama di Selangor adalah sesuatu yang dijangka dan penduduk sepatutnya sudah diberi amaran lebih awal supaya bersedia menghadapi banjir.

Amaran awal dan arahan bersedia adalah penting terutama di negeri Selangor kerana ramai penduduknya tidak biasa menghadapi banjir besar, tambah beliau.

"Untuk mengatakan bahawa perkara ini tidak dijangka adalah salah. Pakar meteorologi di Singapura juga sudah memberikan amaran bahawa perkara ini akan berlaku.

"Sekiranya kamu (pihak berkuasa) memberikan amaran yang secukupnya, orang ramai akan dapat membuat persediaan sedikit sebanyak. Orang di Selangor tidak biasa berhadapan dengan banjir besar begini.

"Selain itu, Agensi Pengurusan Bencana Malaysia (NADMA) serta kerajaan negeri juga patut berhubung dengan orang ramai bagi memastikan persiapan dibuat. Ini adalah bencana alam," kata Azizan.

Tambah beliau, warga Sri Muda sudah mengetahui bahawa kawasan mereka mudah dinaiki air, tetapi mereka tidak diberikan amaran dengan betul.

Azizan menyatakan bahawa Malaysia perlu berasa bimbang mengenai perubahan iklim, yang akan membawa lebih banyak hujan. Persiapan termasuk menyediakan sistem perparitan yang lebih bagus mampu mengurangkan kadar air banjir, kata penyelidik itu.

"Kita memerlukan sistem amaran yang bagus. Negara kita adalah negara yang menghadapi lebihan air."

Jacob George, presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam serta pemimpin masyarakat setempat turut memberikan pandangan serupa, katanya kacau bilau berlaku ketika banjir kerana tiada koordinasi dan kawalan yang bagus oleh kerajaan serta pihak berkuasa.

Tambahnya keadaan seperti itu tidak seharusnya berlaku kerana negara mempunyai banyak agensi dan aset untuk mengurus bencana.

"Apa yang berlaku di bawah... apa yang kami boleh katakan ialah, kami sendiri tidak tahu siapa yang mengepalai [operasi menyelamat]. Ini adalah bencana banjir besar yang menyebabkan kemusnahan. Amat sedih melihat apa yang berlaku.

"Kita ada NADMA, kita ada pelbagai aset. Tetapi apa yang tidak ada ialah kepimpinan,” katanya kepada BenarNews.

Tambah beliau, situasi di kawasan terkesan banjir telah menjadi huru hara disebabkan kekurangan bekalan makanan, serta berlakunya belian barangan secara panik oleh mereka yang berkemampuan.

Seorang penganalisis politik dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia pula tidak menolak kemungkinan bahawa kelewatan usaha membantu mangsa banjir mempunyai kaitan dengan motif politik.

"Kita tidak boleh menolak kemungkinan motif politik. Negeri yang diperintah parti berlainan selalunya tidak akan mendapat bantuan dengan cepat dari kerajaan persekutuan," kata Tunku Mohar Mokhtar, merujuk kepada negeri Selangor yang diperintah Pakatan Harapan sementara kerajaan persekutuan pula dipimpin Barisan Nasional.

Beliau memberi contoh banjir yang berlaku di Pulau Pinang pada tahun 2017 apabila Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu terpaksa merayu Putrajaya untuk menghantar bantuan.

"Dengan melewatkan bantuan, pemerintah cuba menunjukkan bahawa parti pembangkang gagal mengurus negerinya dengan baik. Akan tetapi, dalam berbuat demikian, ia juga menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan gagal menjalankan tanggungjawabnya," kata Tunku Mohar.

Masalah berganda

Selain masalah banjir, mangsa dan pihak berkuasa juga berhadapan dengan masalah penularan pandemik COVID-19 di kalangan mereka yang terjejas, termasuk di pusat-pusat pemindahan sementara.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Noor Hisham Abdullah, pihak berkuasa kesihatan telah mengesan 181 kes positif di kalangan mangsa banjir yang dipindahkan ke penempatan sementara, termasuk 117 di Selangor, 52 di Pahang, 6 di Kelantan dan 4 di Kuala Lumpur.

"KKM menjangkakan peningkatan kes COVID-19 berikutan bencana banjir, selepas saringan di PPS merekodkan 181 kes positif," kata Noor Hisham dalam satu Tweet pada Isnin.

Pihak polis pula melaporkan berlakunya kejadian pecah masuk kedai dan kecurian barangan di kawasan berlakunya banjir teruk di Sri Muda, Shah Alam.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Baharudin Mat Taib dalam satu kenyataan media berkata beberapa buah kedai serbaneka di Seksyen 15, Sri Muda seperti 7-Eleven dan pasaraya Mydin telah dipecah masuk pencuri.

"Kejadian dipercayai berlaku tengahari hari ini (Isnin), antara jam 1 dan 2 petang. Tetapi keadaan sekarang sudah terkawal.

"Polis Shah Alam sudah menggerakkan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah dan anggota Pasukan Gerakan Am untuk membuat rondaan jenayah bagi memastikan tidak berlaku lagi kejadian pecah kedai di sekitar kawasan berkenaan," kata pegawai polis itu lagi.

Speaker tolak usul bincang isu banjir di Parlimen

Menurut laporan media tempatan, parti pembangkang peringkat persekutuan cuba untuk membawa isu banjir untuk dibincangkan di Parlimen yang sedang bersidang pada Isnin tetapi ditolak.

Menurut laporan, Speaker Azhar Azizan Harun menyatakan bahawa perkara itu tidak ada dalam aturan mesyuarat.

"Kita tidak boleh melompat dari satu isu ke satu isu tanpa isu itu berada dalam aturan mesyuarat," kata beliau, seperti dipetik oleh radio BFM News dalam Twitter.

Sementara itu, Perdana Menteri Malaysia Ismail Sabri Yaakob pada Isnin mengumumkan beberapa keputusan yang telah dibuat kerajaan bagi menangani isu banjir dengan segera, termasuk bantuan kewangan dan langkah untuk mengepam keluar air banjir di beberapa kawasan terjejas teruk di Selangor.

Kata Ismail, kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk pemulihan pasca banjir, bagi membaik pulih rumah dan infrastruktur yang rosak, manakala setiap ketua isi rumah yang terjejas oleh banjir akan menerima wang ihsan sebanyak RM1,000.

"Kerajaan juga ingin mengumumkan bahawa Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) yang telah bersetuju menyumbang sebanyak RM50.8 juta bagi membantu usaha menangani bencana banjir dan usaha pemulihan pasca banjir," kata perdana menteri.

Nisha David dan Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.