Follow us

Dalang Sindiket Penjualan Bayi ditahan Polis

Ali Nufael
Kuala Lumpur, Malaysia
2019-03-29
E-mel
Komen
Share
Seorang ibu dari masyarakat orang asli suku kaum Semai mendukung anaknya di rumah mereka di Kampung Bertang Lama, Pahang, 23 Jun 2010.
Seorang ibu dari masyarakat orang asli suku kaum Semai mendukung anaknya di rumah mereka di Kampung Bertang Lama, Pahang, 23 Jun 2010.
[AFP]

Pihak berkuasa Malaysia pada Khamis menahan seorang wanita tempatan yang pernah dihadapkan di mahkamah kerana dipercayai terlibat dalam sindiket penjualan bayi dengan  menggunakan rumah transit bagi wanita terlanjur dan mengandung sebagai pusat bekalan ‘bayi’.

Penolong Pengarah Bahagian Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran Polis DiRaja Malaysia [PDRM] Bukit Aman, Maszely Minhad berkata polis menahan seorang wanita dipercayai dalam kepada sindiket itu, di Kuala Kubu Bharu, Selangor, dekat Kuala Lumpur, pada Rabu.

“Wanita 58 tahun yang dipercayai berselindung di sebalik pusat penjagaan gadis terlanjur itu telah ditahan reman selama enam hari sehingga Selasa depan,” kata Maszely kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Jumaat.

Beliau berkata wanita tersebut pernah ditahan polis sebanyak dua kali sebelum ini dan pernah dituduh di mahkamah pada 2015 tetapi kesnya digugurkan kerana kekurangan bukti.

“Dia ditangkap sebelum ini kerana membuka pusat jagaan wanita mengandung tanpa lesen serta menjadi orang tengah dalam proses mendapat anak angkat tanpa tauliah,” tambah  Maszely.

Menurut laporan akhbar tempatan, tangkapan dibuat susulan tindakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang melakukan pemeriksaan terhadap rumah transit untuk wanita mengandung yang didakwa terlibat dalam sindiket jual beli bayi.

Modus operandi suspek menurut Maszely adalah dengan mengambil kesempatan keatas gadis-gadis yang mengandung luar nikah, selepas bersalin, gadis terlanjur itu perlu menyerahkan bayi mereka kepada pusat jagaan yang sudah mempunyai pembeli.

Susualan penahanan wanita tersebut, dua gadis berusia 18 dan 24 tahun berjaya diselamatkan dari sebuah rumah di Puchong dan Shah Alam pada Khamis.

"Kedua-duanya yang dipercayai menjadi mangsa pemerdagangan itu telah berjaya diselamatkan di bawah Seksyen 44 Akta Antipemerdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan permohonan Perintah Perlindungan Interim (IPO) bagi mereka sudah dibuat di Mahkamah Majistret Selayang.

“Mahkamah telah membenarkan kedua-duanya ditempatkan di Rumah Perlindungan Wanita selama 21 hari sehingga 17 April depan,” jelas Maszely.

Menurut sumber, mangsa juga dipercayai telah diganggu anggota sindiket selepas mendapat tahu bahawa mereka sudah mendedahkan perkara tersebut kepada pihak polis.

Maszely memberitahu BeritaBenar bahawa polis sedang mengesan bayi kepada kedua-dua mangsa bagi mengetahui kepada siapa mereka diserahkan.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 14 ATIPSOM 2007 kerana memperdagangkan kanak-kanak yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda," katanya.

Maszely juga berkata dalam kebanyakkan kes penjualan bayi, polis tidak dapat meneruskan siasatan lanjut kerana mangsa enggan mengaku bahawa mereka dipaksa.

"Dalam kes sebelum ini, apabila kami menyiasat, kami dapati ada unsur pemerdagangan tetapi apabila tiba saat untuk dibawa ke mahkamah, kami gagal meneruskan apabila mangsa enggan mengaku suspek memaksa mereka menjual bayi,

"Ada beberapa kes yang kami kalah dan ada kes yang terpaksa digugurkan oleh pihak peguam negara kerana tiada unsur paksaan,” tambah beliau.

Pegawai polis itu juga memberitahu bahawa terdapat juga dalam beberapa kes sebelum ini, mangsa mengatakan yang wang yang diterima mereka adalah saguhati dan bukannya hasil jual beli.

"Mereka menggunakan istilah saguhati atas bayaran bersalin dan penjagaan bayi," kata beliau.

Harga ribuan


Suraya Ali, Ketua Bahagian Perhubungan Awam Persatuan Pengguna Islam Malaysia, kes terbaru itu merupakan hasil aduan yang dilakukan oleh mangsa kepada badan bukan kerajaan dengan mangsa mahukan keadilan terhadap apa yang berlaku.

“Mereka dipaksa menyerahkan bayi mereka. Dipaksa menurunkan tandatangan pada kertas pemberian hak penjagaan, dalam keadaan tertekan dan mereka lakukannya sedangkan hati tidak merestui. Tambahan lagi bila mendapat tahu ada penglibatan wang di situ, sedangkan hendak masuk ke pusat penjagaan itu juga bukan percuma, mereka perlu membayar 500 ringgit (AS$122.51) setiap bulan sehinggalah mereka melahirkan anak,” kata Suraya.

Menurut beliau lagi, hasil informasi yang diperolehi, sindiket 'menjual' bayi itu dengan mengenakan bayaran antara 5 ribu ringgit (AS$1,225) hingga 15 ribu ringgit (AS$3,675) bergantung kepada kecerahan kulit bayi tersebut kepada keluarga angkat.

“Manakala harga yang dikenakan untuk bayi perempuan juga lebih tinggi berbanding lelaki,” dakwa Suraya.

Menurut aktivis itu juga, proses pengambilan anak angkat tidak memerlukan jumlah wang yang tinggi kerana kos untuk mendapatkan borang mengambil anak angkat cuma 12 ringgit (AS$5) dan yuran untuk mendapatkan borang untuk mendaftarkan bayi pula tidak melebihi 50 ringgit (AS$12.25).

“Dalam proses pengambilan anak angkat, tiada konsep sagu hati dan jika benar ibu bapa angkat ingin meringankan beban ibu kandung bayi, pembayaran bil hospital boleh dibuat terus kepada hospital dan jika betul mereka ingin memberikan wang belanja, wang itu perlu terus diberikan kepada ibu tersebut dan bukannya pusat penjagaan,” kata Suraya yang sehingga kini telah membantu lebih 100 buah keluarga mendapatkan anak angkat.

Beberapa tahun sebelum ini, Malaysia pernah dikejutkan dengan satu dokumentari oleh sebuah stesen televisyen antarabangsa Al-Jazeera yang merungkai sindiket penjualan bayi di dalam negara.

Kebanyakkan bayi yang dijual adalah anak kepada gadis-gadis yang terlanjur dan juga yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Dokumentari itu mendapat liputan yamg meluas tetapi pihak berkuasa menafikan bahawa wujudnya sindiket penjualan bayi yang berleluasa di dalam negara itu.

Lihat Laman Penuh