Laporan NGO: Malaysia Kini Destinasi Pemerdagangan Seks Kanak-kanak Rohingya

Nisha David & Kamran Reza Chowdhury
2019.12.20
Kuala Lumpur & Dhaka
191220-MY-BD-Rohingya1000.jpg Kanak-kanak pelarian Rohingya menghadiri sekolah yang dikendalikan UNICEF di kem pelarian Balukhali di Bangladesh, 27 Ogos, 2018.
[AP]

Malaysia telah menjadi destinasi memperdagangkan gadis Rohingya dengan penyeludup pergi ke kem-kem pelarian di Bangladesh dan menjanjikan kehidupan yang lebih baik di negara Asia Tenggara melalui tawaran pekerjaan palsu, kata sebuah badan bukan kerajaan berpangkalan di Kuala Lumpur dalam satu laporan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Gabungan Hak Kanak-kanak Malaysia (CRCM), sebuah badan bukan kerajaan di Kuala Lumpur, mengeluarkan laporan 101 muka surat, enam bulan selepas Jabatan Negara Amerika Syarikat mendakwa bahawa kumpulan jenayah Bangladesh mengambil wanita dan kanak-kanak perempuan Rohingya dari kem pelarian pada waktu malam, mengeksploitasi mereka dalam pemerdagangan seks dan kemudiannya mengembalikan mereka pada waktu siang.

"Di Malaysia, kanak-kanak, kebanyakannya dari Asia Selatan dan Tenggara, di pemerdagangkan untuk melakukan kerja-kerja domestik atau hamba seks," kata CRCM dalam laporannya itu.

"Malaysia juga menjadi destinasi untuk pemerdagangan seks. Penyeludup akan pergi ke kem pelarian di Bangladesh dengan menjanjikan gadis Rohingya kehidupan yang lebih baik di Malaysia melalui penawaran peluang pekerjaan kepada mereka. Walau bagaimanapun, mereka kemudiannya dipaksa untuk melakukan hubungan seks," kata laporan itu lagi.

Seorang pegawai kanan Bangladesh dan pemimpin Rohingya mengesahkan kepada BeritaBenar pada Jumaat bahawa pemerdagangan wanita dan kanak-kanak Rohingya dari kem pelarian sedang berlaku.

"Suatu kumpulan sindiket pemerdagangan manusia mengumpan wanita dan kanak-kanak Rohingya dengan pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik, dan kemudiannya menyeludup mereka ke Malaysia," kata Menteri Dalam Negeri, Asaduzzaman Khan. "Dalam beberapa kes, mereka membuat pasport Bangladesh yang palsu untuk pergi ke Malaysia."

Tetapi sejak Bangladesh tidak mengeluarkan pasport kepada pelarian, yang dianggap sebagai manusia tanpa negara, penyeludup akan menyeludup mereka keluar melalui jalan laut, kata Asaduzzaman.

"Para penyeludup mempunyai jaringan di kedua-dua negara - di kem dan di Rakhine [Myanmar] - untuk membawa gadis dan wanita Rohingya," kata menteri itu kepada BeritaBenar.

"Tetapi baru-baru ini trend telah menurun kerana pengawasan yang ketat oleh agensi penguatkuasaan undang-undang," katanya. "Kami telah menangkap banyak penyeludup dan memfailkan dakwaan keatas mereka."

Laporan CRCM yang dilancarkan pada Jumaat itu, berbetulan dengan satu lagi laporan yang akan dikeluarkan oleh kerajaan di mana Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh semasa majlis pelancarannya berkata, Putrajaya kini berada di peringkat akhir menyediakan laporannya sendiri tentang status hak kanak-kanak di negara itu.

Yeoh berkata laporan kerajaan, akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Konvensyen Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) tahun depan, dan turut akan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk dikaji sebelum ia diserahkan kepada kabinet untuk diluluskan.

“Laporan ini sudah lama kita tidak hantar, iaitu sejak kali pertama pada 2006. Jadi, Timbalan Perdana Menteri (Wan Azizah Wan Ismail) telahpun memberikan arahan untuk kita sediakan laporan ini, dan dikemukakan pada tahun hadapan,” kata agensi berita Bernama yang memetik Yeoh sebagai memberitahu wartawan di ibunegara Malaysia.

Lebih sejuta orang Rohingya kini tinggal di kem-kem pelarian di Bangladesh, termasuk kira-kira 740,000 yang melarikan diri semasa pasukan keselamatan Myanmar melancarkan serangan balas di negeri Rakhine selepas pemberontak menyerang pos kawalan polis dan tentera pada 2017.

Kumpulan hak asasi manusia telah mendokumenkan kes-kes rogol, pembunuhan dan pembakaran rumah serta kampung Rohingya di Rakhine, manakala Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendakwa bahawa tentera Myanmar telah melakukan serangan itu dengan “niat untuk melakukan genosid.” Para pegawai di Naypyidaw telah menyangkal kesemua dakwaan itu.

Mohammad Noor, seorang pemimpun Rohingya, memaklumkan BeritaBenar bahawa penyeludup kekal “aktif” di kem pelarian Kutupalong di daerah Cox’s Bazar, Bangladesh.

"Ya, penyeludup aktif di kem-kem terbabit,” katanya. “Ramai wanita dan kanak-kanak perempuan yang masuk ke dalam perangkap penyeludup kerana kami tidak mempunyai masa depan. Jadi, mereka berani ke Malaysia dengan apa cara sekalipun.”

Beliau berkata “sesetengah orang” di kem-kem pelarian dipercayai terlibat dalam penculikan dan kecurian bayi yang dihantar oleh penyeludup manusia ke Malaysia.

Tiga hari lepas, katanya, seorang kanak-kanak perempuan berusia 2 tahun bernama Nur Begum, anak Mohamad Ibrahim, telah dilaporkan hilang.

“Kami mendapat tahu bahawa seorang wanita telah memberi makanan kepadanya, dan kanak-kanak itu kemudian tidak sedarkan diri,” kata Noor. “Kemudian wanita itu melarikan diri dari kem tersebut bersama mangsa.”

Masyarakat majoriti Buddha di Myanmar tidak mengiktiraf Rohingya sebagai antara kumpulan etnik rasmi negara itu. Ia telah menafikan kerakyatan kepada kumpulan itu di Myanmar sejak 1982, yang secara efektif telah menjadikan mereka orang tidak bernegara. Beberapa percubaan untuk menghantar pulang orang Islam Rohingya telah menemui jalan buntu.

Pada awal bulan ini, Human Rights Watch menuduh Bangladesh menghalang kanak-kanak Rohingya daripada mengakses pendidikan di luar kem-kem pelarian bagi mengekang mereka daripada berintegrasi dengan komuniti tempatan.

NGO selar “kesedaran terhad” Malaysia terhadap hak kanak-kanak

CRCM berkata dalam laporannya bahawa setakat 2018, lebih 163,800 pelarian dan pencari suaka telah mendaftar dengan agensi pelarian PBB atau UNHCR di Malaysia. Antara mereka adalah 42,481 kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun, katanya.

Laporan NGO itu telah menyelar “Kesedaran terhad” Malaysia terhadap hak kanak-kanak dan penguatkuasaan lemah undang-undang perlindungan kanak-kanak dengan mendakwa bahawa “ketiadaan satu dasar untuk melindungi pelarian di Malaysia telah meletakkan ramai pelarian dan pencari suaka dalam keadaan terdedah, seperti ditangkap dan ditahan.”

Meskipun terdapat sejumlah besar pelarian yang menetap di Malaysia, negara itu bukan penandatangan Konvensyen Pelarian 1951 dan tidak mewujudkan satu kerangka domestik atau pentadbiran yang menggariskan hak-hak pelarian, menurut laporan itu.

Laporan Pemerdagangan Manusia Jabatan Negara AS 2019 (TIP) menyebut bahawa kerajaan Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina “tidak memenuhi sepenuhnya standard minimum bagi menghapuskan penyeludupan namun sedang melakukan usaha-usaha yang signifikan untuk berbuat demikian,” sekali gus menjelaskan mengapa ia menyenaraikan Dhaka di Tier 2 Watch List, hanya setingkat daripada ranking terbawah.

Laporan TIP turut meletakkan Kuala Lumpur di bawah Tier 2 Watch List dengan alasan bahawa ia “tidak menunjukkan usaha-usaha yang dipertingkat secara keseluruhan berbanding tahun sebelumnya” dalam perjuangan menentang penyeludupan.

Meskipun terdapat dakwaan sedemikian oleh Jabatan Negara AS, “usaha yang amat sedikit telah dilihat dilakukan kerana hanya terdapat sedikit pengakuan oleh kerajaan [Malaysia] mengenai aktiviti penyeludupan manusia bagi tujuan buruh atau seks,” menurut laporan CRCM itu.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.