Malaysia Bebaskan Bekas Duta Bangladesh Yang Bersatus Pelarian UNHCR

Md. Khairuzzaman menafi tuduhan Dhaka bahawa beliau terlibat dalam pembunuhan empat bekas menteri pada 1975.
Nisha David & Suganya Lingan
2022.02.16
Kuala Lumpur
Share on WhatsApp
Share on WhatsApp
Malaysia Bebaskan Bekas Duta Bangladesh Yang Bersatus Pelarian UNHCR Bekas duta Bangladesh ke Malaysia, Md. Khairuzzaman (dua dari kanan) bergambar dengan peguam serta seorang rakan di Putrajaya, Malaysia selepas dilepaskan daripada tahanan imigresen, 16 Februari 2022.
[Ihsan Ngeow Chow Ying]

KEMASKINI pada 8.45 malam waktu tempatan ETS - 2022-02-16

Pihak berkuasa Malaysia pada Rabu membebaskan tanpa syarat seorang bekas duta Bangladesh ke negara itu setelah ditahan pada minggu lalu kerana disyaki melanggar undang-undang imigresen, kata seorang daripada peguam bekas diplomat itu.

Pegawai imigresen tidak memberikan sebarang sebab di sebalik keputusan mereka untuk membebaskan Md. Khairuzzaman daripada tahanan, kata peguam Ngeow Chow Ying. Sehari sebelum itu, sebuah mahkamah mengeluarkan larangan sementara terhadap kerajaan Malaysia untuk tidak menghantar bekas pesuruhjaya tinggi Bangladesh itu pulang ke negara asalnya.

"Kami menerima panggilan daripada pegawai penyiasat pada 1 petang dan diberitahu bahawa beliau akan dilepaskan. Beliau dibebaskan tanpa sebarang syarat," kata Ngeow kepada BenarNews.

Khairuzzaman telah ditahan Jabatan Imigresen Malaysia di rumah beliau yang terletak berhampiran Kuala Lumpur pada 9 Februari, dengan Dhaka menyatakan bahawa ia telah meminta supaya Khairuzzaman ditangkap "kerana terlibat" dalam pembunuhan empat orang bekas menteri di sebuah penjara kira-kira 46 tahun lalu.

Bekas diplomat itu merupakan pemegang kad agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Pihak berkuasa Malaysia sebelum ini menyatakan bahawa Khairuzzaman ditahan kerana tinggal melebihi tempoh sah visa, tetapi enggan mengulas mengenai status bekas diplomat itu sebagai pelarian.

Khairuzzaman bercakap dengan BenarNews selepas dibebaskan daripada tahanan pada Rabu, dan menafikan dakwaan Dhaka mengenai penglibatannya dalam kes pembunuhan pada 1975.

"Dakwaan itu adalah tidak benar dan sebuah mahkamah di Bangladesh telah membuktikan bahawa saya tidak bersalah," kata Khairuzzaman, yang merupakan bekas pegawai tentera Bangladesh.

"Saya hanya dilantik sebagai pesuruhjaya tinggi [ke Malaysia] selepas saya dibebaskan oleh mahkamah."

Beliau berkata kerajaan semasa Bangladesh menyasarkan dirinya kerana bapa mertuanya merupakan seorang daripada pengasas Bangladesh Nationalist Party, yang merupakan parti pembangkang utama di negara tersebut.

"Saya dilayan sebegini kerana perkara itu. Semua ini adalah tuduhan palsu," kata Khairuzzaman.

"Saya tidak terlibat dengan pembunuhan tersebut, walau sedikit pun. Saya tidak boleh menjadi pesuruhjaya tinggi sekiranya saya mempunyai pembabitan dalam kejadian berkenaan. Sekiranya saya terlibat, adakah kamu rasa Malaysia akan menerima saya sebagai pesuruhjaya tinggi?"

Sejak penahanan Khairuzzaman pada minggu lalu, beberapa NGO dan Pesuruhjaya Tinggi PBB Untuk Pelarian (UNHCR) telah menggesa kerajaan Malaysia supaya berhenti menghantar pulang pelarian ke negara asal mereka.

UNHCR menyatakan bahawa para pelarian tidak boleh dihantar pulang ke negara asal berdasarkan prinsip 'non-refoulement' dengan semua kerajaan digesa untuk tidak memaksa pelarian pulang ke negara di mana kebebasan atau keselamatan mereka mungkin terancam.

Sebelum ini, kerajaan dan Jabatan Imigresen Malaysia telah menyatakan bahawa penahanan Khairuzzaman dibuat mengikut lunas undang-undang.

Usaha berulang kali oleh BenarNews untuk menghubungi pejabat menteri dalam negeri serta Jabatan Imigresen Malaysia pada Rabu tidak mendapat sebarang jawapan.

Phil Robertson, timbalan pengarah Human Rights Watch bagi Bahagian Asia, pada Sabtu lalu membayangkan bahawa Dhaka mahukan Khairuzzaman dihantar pulang ke negara itu atas sebab-sebab politik.

"Kita telah banyak kali melihat tindakan berbentuk dendam dan penindasan hak oleh Perdana Menteri Bangladesh Sheikh Hasina dan kerajaan pimpinannya, yang memburu seteru politik mereka atas apa sahaja sebab termasuk kesalahan kecil yang dibuat pada masa lampau," kata Robertson melalui Twitter. "Selamatkan Mohamed Khairuzzaman!"

'Agenda politik'

Di Dhaka, Menteri Luar Bangladesh A.K. Abdul Momen pada Rabu berkata kerajaan negara itu telah dimaklumkan mengenai pembebasan Khairuzzaman di Kuala Lumpur.

"Sekarang kita akan menggunakan proses perundangan untuk mengekstradisi beliau," kata menteri itu semasa menjawab soalan wartawan.

"Kami cuba membawa pulang penjenayah yang berada di luar negara dengan menggunakan proses undang-undang. Ramai yang telah menjadi orang buruan. Tetapi, jika kami mendapat tahu lokasi mereka, kami akan menggunakan proses perundangan."

Menteri Dalam Negeri Bangladesh M. Shahriar Alam pada minggu lepas berkata Dhaka berharap untuk membawa pulang bekas duta itu dalam masa terdekat.

"Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Undang-Undang akan bersama-sama meneliti sekiranya ada peluang untuk membuka kembali kes [pembunuhan di penjara] terhadap beliau [Khairuzzaman] atau apa-apa langkah yang boleh diambil selepas ini," kata M. Shahriar.

Sebelum dibebaskan, Khairuzzaman serta beberapa anggota tentera lain telah didakwa di mahkamah atas pembunuhan empat pemimpin pengasas Bangladesh di Penjara Pusat Dhaka pada November 1975.

Empat individu berkenaan ialah menteri yang pernah berkhidmat di bawah pemimpin pengasas negara itu iaitu Sheikh Mujibur Rahman, yang merupakan bapa kepada Perdana Menteri Sheikh Hasina yang kini memimpin parti Awami League. Sheikh Mujibur telah dibunuh dalam dalam satu rampasan kuasa tentera di negara itu tiga bulan sebelum insiden pembunuhan di penjara tersebut.

Pada 2004, ketika Bangladesh dipimpin parti BNP yang kini menjadi parti pembangkang, sebuah mahkamah telah membebaskan Khairuzzaman daripada pembabitan dalam insiden pembunuhan pada 1975.

Beliau bertugas sebagai diplomat di Kuala Lumpur ketika Hasina dan Awami League kembali memerintah Bangladesh pada 2009. Khairuzzaman kemudian diarahkan pulang namun beliau memilih untuk tinggal di Malaysia dan menerima kad pelarian UNHCR.

Ketika ditanya pada Rabu mengapa beliau tidak mahu pulang ke Bangladesh pada 2009, bekas duta itu berkata ia adalah kerana beliau sedar dirinya mungkin disasarkan oleh kerajaan pimpinan Hasina.

"Saya tidak mahu pulang ke Bangladesh pada 2009 kerana saya tahu mereka akan mendakwa saya sekali lagi," kata beliau.

"Mereka tidak mempunyai sebarang bukti terhadap saya, ini semua merupakan agenda politik oleh ... kerajaan."

Bekas duta itu berkata beliau kini menunggu dokumen yang diperlukan untuk berpindah ke Amerika Syarikat, di mana isteri dan anak lelakinya kini tinggal di negara itu.

"Sekarang saya menunggu dokumen siap sebelum meninggalkan Malaysia dan pergi ke AS untuk tinggal di sana dengan keluarga saya," kata Khairuzzaman.

"Saya tinggal berseorangan di sini sejak 17 tahun lepas."

Jesmin Papri di Dhaka dan Noah Lee di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.

Lihat Laman Penuh