Pembangkang: Jawatankuasa Basmi Berita Palsu Boleh Digunakan Sebagai Senjata

Hadi Azmi
2018.02.01
Kuala Lumpur
180201-my-Lim-620.jpg Pemimpin pembangkang dari Parti Tindakan Demokrat Malaysia, Lim Kit Siang semasa berucap pasa satu perhimpunan di sebuah stadium di Kelana Jaya, Selangor, 8 Mei, 2013.
AFP

Penubuhan jawatankuasa membasmi berita palsu oleh parti pemerintah Malaysia menerima kritikan pembangkang yang gusar ianya akan disalahgunakan untuk menganiaya pengkritik-pengkritik kerajaan.

Pemimpin veteran Parti Tindakan Demokratik (DAP) Lim Kit Siang berkata sebagai permulaan parti pemerintah Barisan Nasional (BN) perlu membubarkan jawatankuasa tersebut dan menggantikannya dengan jawatankuasa parlimen dwi-parti.

“Fenomena berita palsu perlu diperangi tetapi ia berkemungkinan besar akan dijadikan senjata oleh pihak berkuasa bagi menganiaya seteru politik, sepertimana Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digunakan sebagai senjata, bukan untuk memerangi rasuah tetapi mengganggu pemimpin Pakatan Harapan (PH).

“Bubarkan jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk membasmi berita palsu dan gantikannya dengan jawatankuasa parlimen dwi-parti  untuk menentukan undang-undang dan mekanisme mengenai berita palsu bagi menangani masalah ini,” Lim Kit Siang berkata dalam satu kenyataan pada Khamis.

Lim menambah jawatankuasa itu yang diketuai Menteri Undang-Undang Azalina Othman Said dan dianggotai oleh menteri kabinet, pihak polis, Jabatan Peguam Negara, ahli NGO dan ahli parlimen tidak memberi keyakinan kepada orang ramai.

Beliau yang menyifatkan penubuhan jawatankuasa itu ibarat "pencuri diminta untuk tangkap pencuri" menyifatkan kerajaan BN dan Perdana Menteri Najib Razak sebagai “pengeluar berita palsu terbesar”, merujuk kepada tuduhan yang dibuat Najib berkaitan dengan DAP yang dikatakan anti-Melayu dan anti-Islam.

“Adakah jawatankuasa khas berita palsu yang diumumkan Azalina itu diberi kuasa untuk meminta Najib menghadap jawatankuasa tersebut untuk menerangkan berita dan maklumat palsu yang beliau telah sebut dua tahun berturut-berturut ketika perhimpunan agung UMNO  dan memberi sokongan kepada peruntukan undang-undang untuk menangani masalah berita dan maklumat palsu,” katanya lagi.

Pada Rabu lalu, Azalina memberitahu media bahawa jawatankuasa itu telah bermesyuarat buat kali pertama pada hari Selasa dengan dihadiri oleh wakil daripada Polis DiRaja Malaysia, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

Beliau berkata perdana menteri juga bersetuju supaya jawatankuasa itu turut disertai badan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan serta anggota Parlimen.

“Ini bagi memastikan usaha kerajaan dalam menangani isu ini mendapat sokongan pelbagai pihak melalui proses bersama dengan semua pihak yang berkepentingan,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Penubuhan jawatankuasa itu diumumkan dua hari selepas Najib mengeluarkan kenyataan bahawa pihak kerajaan sedang mengkaji untuk memperkenalkan undang-undang bagi mengekang berita palsu.

Najib dalam satu majlis bersama penjawat awam di Kelantan pada Ahad berkata berita palsu akan menjejaskan keharmonian pilihan raya umum seperti yang berlaku sebelum ini.

"Kita tidak mahu berita palsu ini tersebar luas. Ini bukan bererti kita kawal internet, internet bebas lagi tetapi kebebasan itu mestilah ada dengan unsur kebertanggungjawaban.”

Katanya, BN pernah menjadi mangsa kepada berita palsu apabila berlakunya penyebaran maklumat mengenai parti itu membawa masuk 40,000 pengundi warga Bangladesh, semasa hari pengundian.

"BN juga pernah menjadi mangsa kepada serangan berita palsu kononnya black out (bekalan elektrik terputus), padahal orang mesti fikir kalau black out pun masih siang hari.

"Kita tutup peti undi pada pukul 5 dan 5.30 (petang), masih cerah lagi, masih boleh kira lagi...ejen kiraan undi pembangkang pun ada kat situ, jadi sistem kita tidak boleh nak tipu sebenarnya," katanya.

Pada 30 Oktober 2017 Najib menuduh mantan perdana menteri Mahathir Mohamad sebagai menyebarkan berita palsu yang mengatakan Malaysia tergolong dalam 10 negara teratas yang menghadapi masalah korupsi.

“Dia menggunakan pelbagai cara untuk menyebarkan berita palsu kepada mana-mana media yang sanggup untuk melaporkan berita tersebut untuk kepentingan politik,

“Apabila dicabar untuk menunjukkan bukti kepada tuduhan-tuduhan ini, dia gagal untuk berbuat demikian,” kata Najib yang ketika itu berucap di majlis makan malam United Nations Association Malaysia (UNAM) di Kuala Lumpur.

Najib turut membidas tuduhan Mahathir bahawa Malaysia sedang terjerumus ke arah pemerintahan diktator dengan mengatakan pihak pembangkang berjaya menguasai tiga buah negeri dan kerajaan pusat membuka ruang untuk rakyat berdemonstrasi menentang pemerintahan beliau.

“Ini bukan tanda-tanda seorang diktator,” katanya lagi.

Dalam pada itu, penubuhan jawatankuasa itu turut mendapat reaksi daripada beberapa anggota parlimen parti pemerintah.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mustapa Mohamed, berkata penubuhan jawatankuasa khas membasmi berita palsu adalah langkah tepat dilakukan kerajaan.

"Kita bukan menyekat kebebasan bersuara sebaliknya mahu pastikan berlaku keadilan supaya tiada mana-mana pihak teraniaya akibat berita palsu," katanya seperti dilapurkan akhbar tempatan Berita Harian pada Khamis.

Manakala akhbar Utusan Malaysia pula melaporkan yang Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Ti Lian Ker sebagai berkata, elemen subversif mula menyusup dan menjadikan media sosial sebagai alat yang sangat berkesan untuk memporak-peranda negara ini.

"Penggubalan undang-undang khas bagi membendung penyebaran berita palsu sangat diperlukan bagi mengawal, membendung dan mencegah daripada berlaku kerosakan kepada masyarakat serta negara.

"Apatah lagi penduduk negara ini terdiri daripada pelbagai kaum yang perlu dijaga keharmonian agama serta hubungan di antara kaum," katanya.

Tambah beliau, umum sedia maklum bagaimana pemberontakan berjaya digerakkan ketika berlaku Arab Spring dengan hanya menggunakan media sosial.

Malaysia bakal menghadapi Pilihan Raya umum ke 14 pada tahun ini yang akan menyaksikan Barisan Nasional berhadapan Pakatan Harapan yang meletakkan Mahathir sebagai calon perdana menteri dan parti Islam PAS yang keluar dari gagasan Pakatan Rakyat pada Julai tahun lepas.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.