BERSATU: Timbalan Menteri Kabinet Muhyiddin Letak Jawatan

Noah Lee & Lex Radz
2020.06.04
Kuala Lumpur, Malaysia
200604-MY-Shahruddin1000.jpg Bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad bersama dengan bekas Timbalan Menteri Kerja Raya Shahruddin Md Salleh(tengah) ditemani bekas Timbalan Menteri Luar Marzuki Yahya pada satu pertemuan di Yayasan Al-Bukhary di Kuala Lumpur, 4 Mei, 2020.
[Ihsan Facebook Mahathir Mohamad]

Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia pada Khamis mengumumkan peletakan jawatannya dari kerajaan sekaligus menarik semula sokongan terhadap Perdana Menteri, dengan alasan satu kesilapan menyertai kerajaan baru, dan penganalisa politik pula memberi amaran akan meningkatkan lagi pepecahan dalam parti pimpinan Muhyiddin Yassin.

Perletakan jawatan itu berlaku pada hari yang sama keputusan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Muhyiddin memecat tiga lagi pemimpin parti dan kemudiannya mengadakan mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Tertinggi parti pada sebelah malam.

Shahruddin Md Salleh, Ahli Parlimen BERSATU bagi kawasan Sri Gading di Johor berkata beliau telah membuat keputusan "kurang tepat" ketika menyertai gabungan Perikatan Nasional yang membentuk kerajaan persekutuan pada hujung Februari lalu.

"Dengan rasminya saya umumkan perletakan jawatan berkuatkuasa hari ini (Khamis). Saya telah melakukan ijtihad politik yang kurang tepat iaitu dengan menyertai Perikatan Nasional.

"Sebagai langkah awal bagi saya membetulkan kesilapan ini, maka saya dengan ini meletak jawatan kerana saya dilantik ke jawatan ini oleh Perdana Menteri dari kerajaan Perikatan Nasional PN," kata Shahruddin merujuk kepada jawatannya sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya dalam satu kenyataan yang luar di laman media sosial pada Khamis.

Shahruddin yang pernah menjadi Setiausaha Politik Muhyiddin telah dipilih oleh Perdana Menteri itu untuk menyertai kabinet Perikatan Nasional, sebagai timbalan menteri turut berkata, “Saya seharusnya meletakan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi- pengundi di Parlimen Sri Gading P149 telah memilih parti Pakatan Harapan dalam Pilihanraya Umum Ke-14,"

Pemimpin parti dipecat

Sejak beberapa minggu kebelakangan ini, BERSATU parti Melayu yang diasaskan oleh bekas perdana menteri Mahathir Mohamad bersama Muhyiddin, kumpulan pemimpin yang berpecah dari parti dominan UMNO, dilihat sedang berdepan dengan pergolakan politik dalaman.

Mahathir dan anaknya Mukhriz yang juga Timbalan Presiden bersama tiga pemimpin kanan parti tersebut telah dipecat daripada parti yang ditubuhkan pada 2016 melalui sepucuk surat rasmi pemecatan bertarikh 28 Mei yang dilihat oleh BeritaBenar.

Pemecatan Mahathir serta ahli Parlimen BERSATU dengan memberi alasan kesemua mereka tidak duduk di bangku blok kerajaan PN sebaliknya duduk di kerusi pembangkang semasa persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mei lalu.

Muhyiddin melalui surat bertarikh 2 Jun 2020 telah memecat tiga lagi pemimpin BERSATU pada Khamis sebelum mempengerusikan mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Tertinggi [MPT] pada sebelah malamnya.

Mereka yang dipecat adalah Setiausaha Agung, Marzuki Yahya, ahli MPT Ahkramsyam Muammar Ubaidah Sanusi dan Timbalan Ketua Perhubungan Negeri Kedah, Anuar Abdul Hamid yang sememangnya diketahui merupakan penyokong kuat Mahathir.

Mesyuarat hampir 3 jam yang diadakan secara tergempar itu dan dihadiri lebih 30 ahli MPT parti  bagaimanapaun tanpa kehadiran Mahathir dan Mukhriz, yang dilaporkan tidak menerima sebarang jemputan.

Selepas selesai mesyuarat Muhyiddin mengelak daripada bertemu media yang kemudiannya dimaklumkan bahawa satu sidang akhbar mengenai pertemuan itu akan dibuat esok.

Penganalisis politik tempatan berkata tindakan menyekat Mahathir daripada menghadiri mesyuarat tertinggi parti itu adalah kerana Muhyiddin tidak mahu pemimpin berusia 94 tahun itu daripada bersuara, berhujah atau mendominasi mesyuarat tersebut.

Awang Azman Awang Pawi, penganalisis politik dari Universiti Malaya melihat tindakan itu juga sebagai boleh memberi ancaman terhadap kestabilan parti di bawah kepimpinan Muhyiddin dengan turut memberi kesan negatif dan penyebab kepada perpecahan dalaman yang teruk parti itu.

"Tindakan Muhyiddin dilihat kurang bijak, mengundang kontroversi serta kritikan yang boleh menyebabkan imej serta reputasinya jatuh...manakala kesannya terhadap parti BERSATU ialah ahlinya berpecah dan bergolak.

"Di peringkat Perikatan Nasional, BERSATU dilihat sebagai parti lemah dikalangan parti-parti yang berada dalam Perikatan Nasional, dan dengan mudah akan ditekan oleh UMNO," kata Awang Azman kepada BeritaBenar semasa dihubungi pada Khamis.

BERSATU adalah satu daripada empat parti komponen utama Pakatan Harapan, gabungan parti politik yang memenangi Pilihan Raya Umum Malaysia Ke-14 pada Mei 2018 dan telah membentuk kerajaan persekutuan di bawah kepimpinan Mahathir sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Gabungan Pakatan Harapan yang terdiri daripada BERSATU,  Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Tindakan Demokratik (DAP) telah berjaya menumbangkan kerajaan Barisan Nasional yang telah berkuasa selama 61 tahun.

Namun, selepas hanya 22 bulan memerintah, Pakatan Harapan ditumbangkan melalui satu gerakan politik yang dinamakan 'Langkah Sheraton', yang menyaksikan Muhyiddin membawa keluar BERSATU bagi membentuk kerajaan bersama-sama Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pada Februari lepas.

Sementara itu Marzuki semasa dihubungi BeritaBenar mendakwa tindakan Muhyiddin membuat keputusan pemecatan itu tanpa memberikan sebarang ruang perbincangan atau melalui proses disiplin parti.

“Mungkin ini adalah satu daripada usaha untuk membersihkan parti daripada tiada mereka yang tidak menyokong atau menentang beliau untuk terus berada di dalam parti. Jadi tindakan ini sekaligus menunjukkan tiada demokrasi dalam parti," tambah beliau.

Hadi Azmi di Kuala Lumpur turut menyumbang kepada laporan ini.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.