Perhimpunan Besar-besaran Di Malaysia Gesa Perdana Menteri Berundur

Oleh Hata Wahari
2015.08.29
150829-MY-BERSIH620 Sekumpulan besar peserta perhimpunan anti kerajaan berpakaian kemeja-t kuning memenuhi satu bahagian di pusat bandar Kuala Lumpur. 29 Ogos 2015.
BeritaBenar

Dalam satu daripada bantahan terbesar terhadap kerajaan, kira-kira 200,000 orang berkumpul di tengah-tengah ibu negara Malaysia pada Sabtu untuk mendesak Perdana Menteri Najib Razak meletakkan jawatan berhubung dakwaan rasuah dan pembaharuan politik serta isu lain, walaupun polis telah memberi amaran untuk mengambil tindakan terhadap perhimpunan ‘haram’ itu.

Antara yang menyertai  perhimpunan besar-besaran itu, walaupun hanya sebentar sahaja, ialah  bekas perdana menteri Mahathir Mohamad, seorang daripada pengkritik paling tegas terhadap Najib dan  berulang kali menggesa penyingkirannya berikutan pembayaran berjuta dolar ke sebuah akaun di bawah nama Najib.

"Teruskan, teruskan," Mahathir dipetik sebagai berkata ketika beliau dan isterinya menyertai perhimpunan itu yang dianjurkan oleh kumpulan pembaharuan Bersih di hadapan bangunan Dewan Bandaraya di pusat bandar Kuala Lumpur.

"Hanya untuk melihat," katanya berseloroh ketika ditanya mengapa beliau memutuskan untuk menyertai perhimpunan itu, yang diadakan menjelangnya sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-58 negara itu pada Isnin.

Pegawai-pegawai kerajaan telah mengakui bahawa Najib menerima hampir US$ 700 juta dalam deposit misteri ke akaun peribadi bank beliau bermula dari tahun 2013.

Tetapi, Najib telah menafikan sebarang  salah laku sejak The Wall Street Journal yang berpejabat di Amerika Syarikat melaporkan bahawa penyiasat, yang menyelesaikan  penyiasatan terhadap pengurusan dana negara yang dibebani hutang, 1Malaysia Development Berhad  (1MDB),  mendapati adanya pemindahan beratus-ratus juta dolar yang tidak dapat dijelaskan.

1MDB menanggung hutang US$ 11 bilion, dan Najib, yang telah memecat pegawai-pegawai yang menyiasat skandal itu,  adalah pengerusi lembaga penasihat dana itu.

Pegawai-pegawai yang rapat dengan Najib berkata, pemindahan wang itu adalah  "sumbangan politik" yang sah daripada sumber Timur Tengah yang tidak dikenali, namun mereka tidak memberikan maklumat lanjut.

Akaun-akaun itu telah ditutup, dan tiada kepastian tentang ke mana perginya wang itu.

Jalan-jalan di Kuala Lumpur dipenuhi dengan orang ramai yang berpakaian kuning, warna rasmi Bersih, yang mahukan perhimpunan dua hari itu menuntut reformasi institusi yang akan menjadikan kerajaan lebih telus dan bertanggungjawab.

Perhimpunan Bersih yang diadakan pada tahun 2011 dan 2012  telah disuraikan  oleh pihak berkuasa dengan menggunakan gas pemedih mata dan meriam air.

Perhimpunan sama  diadakan serentak di bandar  Kuching dan Kota Kinabalu di Kepulauan Borneo serta diadakan oleh para penyokong reformasi Malaysia di beberapa ibu negara asing.

Pada awal Sabtu, Najib mengecam perhimpunan itu yang dianggapnya sebagai tidak menghormati sambutan Hari Kebangsaan pada Isnin ini.

"Adakah mereka cetek dan miskin sangat semangat patriotik dan cintakan tanahair?" Najib dipetik sebagai berkata oleh agensi berita milik negara, Bernama .

Ketua Polis Kuala Lumpur Tajuddin Mohd. Isa berkata, dalam satu kenyataan bahawa perhimpunan besar-besaran itu dilakukan secara ‘aman’ tanpa sebarang kejadian  tidak diingini atau tangkapan.

Pemimpin penganjur Bersih Maria Chin Abdullah menggesa supaya undi tidak percaya dikemukakan terhadap Najib di Parlimen.

“Kami mempunyai mesej kepada ahli-ahli Parlimen dan parti-parti politik dan semua yang ada di Parlimen bahawa kami mahu undi tidak percaya keatas Najib,’’ katanya dalam ucapan pendek beliau di atas kenderaan pacuan empat roda di hadapan Dataran Merdeka pada Sabtu, sambil disambut dengan sorakan dan teriakan “Setuju”.

Sementara itu dalam satu kenyataan hari ini, Pengerusi Transparency International Jose Ugaz berkata kerajaan Najib telah "gagal menangani skandal rasuah yang dihadapinya, dan mereka yang berjawatan tinggi telah bertindak dengan sewenang-wenangnya."

Najib, 62, mengambil alih tampu pemeritahan  pada tahun 2009 dan telah berikrar untuk menamatkan rasuah, autoritarianisme, dan melakukan perubahan terhadap keistimewaan berasaskan kaum untuk etnik Melayu yang menjadi kontroversi. Melayu merupakan kumpulan majoriti di negara pelbagai kaum itu.

Amnesty International telah meminta kerajaan Najib supaya tidak menyekat perhimpunan bantahan itu.

"Ada kekecewaan  besar dengan beberapa isu-isu hak endemik di Malaysia pada masa ini - tindakan keras kerajaan terhadap kebebasan bersuara perlu ditamatkan,”  kata Josef Benedict,  Timbalan Pengarah Kempen Amnesty International dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, polis menahan tiga anggota kumpulan “Anonymous Malaysia” yang dipercayai bertanggungjawab mengugut mahu menggodam sistem komputer dan laman web agensi kerajaan dalam tiga serbuan di Johor Baharu, Johor pada lewat Jumaat.

Tiga ditahan

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial , Kamarudin Md Din berkata, ketiga-tiga lelaki itu berusia antara 18 dan 21 tahun, ditahan dalam serbuan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, hasil risikan bersama CyberSecurity Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Mutimedia Malaysia (SKMM).

“Polis merampas pelbagai peralatan komputer dan komunikasi serta kamera, serta topeng yang digunakan suspek dalam rakaman video ugutan yang tersebar dalam laman Facebook pada 9 Ogos lalu dan yang terbaru dua hari lepas,’’ katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Dalam video terbaru berdurasi 1 minit 28 saat yang dimuat naik oleh 'Anonymous Malaysia' melalui YouTube pada lewat Khamis memaparkan kejadian letupan bom di Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Video itu turut memaparkan tulisan dalam bahasa Inggeris 'Wait Our Blast At Bersih 4.0' (Nantikan Letupan Kami Di Bersih 4.0) pada akhir paparan siaran video itu.

Ketua Polis Negara Khalid Abu Bakar semasa mengulas mengenai video itu pada Jumaat berkata, pihak berkuasa Malaysia mengambil ancaman itu secara serius.

"Sudah pasti kita melihat ini sebagai ancaman serius dan kita tidak pandang ringan ugutan sebegini,” katanya.

Dalam pada itu, laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh diakses, cubaan BeritaBenar dari Washington DC dan Kuala Lumpur pada kira-kira pukul 7.50 malam bagaimanapun gagal dan tertera di skrin “Web firewall security policies that are contrary to the request/respone has been blocked”.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara Bahagian Komunikasi Korporat PDRM,   Asmawati Ahmad semasa dihubungi BeritaBenar di Kuala Lumpur mengesahkan bahawa laman web PDRM tidak boleh diakses.

"Ada percubaan untuk menceroboh laman web PDRM... untuk sementara waktu Polis terpaksa tutup dulu bagi proses baikpulih dan mengukuhkan tembok api laman web kami," kata Asmawati sambil menambah siasatan sedang dijalankan dan penjelasan akan diberikan.

Laman web itu kembali pulih pada kira-kira pukul 9.30 malam.

Muatnaik komen

Tambah komen anda dengan mengisi borang di bawah dalam teks biasa. Komen diluluskan oleh moderator dan boleh disunting mengikut Syarat Penggunaan BeritaBenar. Komen tidak muncul dalam masa nyata. BeritaBenar tidak bertanggungjawab ke atas isi kandungan kiriman. Tolong hormati pendapat orang lain dan lapor ikut fakta.